Thursday, August 20, 2009

Mana Yang Bahaya Nik Aziz ke Jeff Ooi?

Tulisan-tulisan melalui blog dan media aliran perdana mengenai DAP sebagai parti anti-Islam sedikit sebanyak membuka mata rakyat tentang parti yang di agungkan oleh Nik Aziz itu.

Polis sebagai alat mententeramkan rakyat terpaksa mengambil keputusan untuk memanggil Ketua Pemuda DAP Loke Siew Fook dan ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi untuk disiasat bawah Akta Hasutan 1948.
.
Tindakan pihak polis ini adalah susulan selepas Perdana Menteri Najib Razak meminta pihak berkuasa menyiasat kes-kes terbabit akibat desakan agar Akta Hasutan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan terhadap pemimpin-pemimpin DAP yang dikatakan menghina agama islam.
.
Kenapa kah Dap dituduh sebagai anti islam? Mari kita semak kes-kes dakwaan menghina Islam secara lebih perinci. Kes pertama, Jeff Ooi yang disiasat bawah Akta Hasutan padahal beliau hanya menyifatkan Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai pertubuhan ekstremis, dan beliau telah menarik balik ulasan terbabit atas arahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
.
Sama ada JIM pertubuhan ekstremis atau tidak terpulanglah kepada tanggapan masing-masing. Yang penting, kita harus bersikap liberal dan menghormati kebebasan bersuara setiap rakyat Malaysia membuat kritikan dan kritikan balas. Tidak dapat dinafikan bahawa kritik-mengkritik atau berdebat secara rasional dan membina menjadi amalan lumrah dalam sesebuah demokrasi yang matang. Mendesak agar Akta Hasutan atau ISA digunakan untuk menindas kebebasan bersuara jelas sekali bertentangan dengan semangat demokrasi, tidak kira dengan apa alasannya.
.
Dalam peristiwa kafir-mengkafir antara PAS dan Umno, yang diuji ialah dakwah dan ajaran Islam yang lebih sempurna, bukan kekuatan Akta Hasutan atau ISA. Malah apabila cadangan Nik Aziz Nik Mat agar Kelantan PAS bekerjasama dengan kerajaan persekutuan BN diputarbelitkan sebagai hasrat PAS ingin bekerjasama dengan Umno, tok guru begitu marah sekali sehingga menengking: Pergi jahanamlah Umno!
.
Semantara itu apabila Nik Aziz mengatakan bahawa orang Umno tidak beriman dan penyokong Umno tidak akan masuk syurga, maka Nik Aziz tidak dianggap sebagai menghina islam. Sedangkan tuduhan Nik Aziz ini lebih berat dibanding tuduhan Jeff Ooi. Lagipun Jeff Ooi hanya mengarahkan tuduhannya kepada JIM. JIM bukan pertubuhan yang mengwakili islam, walaupun pertubuhan itu disertai oleh orang islam.
.
Namun, tiada pihak yang menganggap kenyataannya itu sebagai menghina Melayu atau Islam, dan mendesak agar tok guru didakwa bawah Akta Hasutan atau diambil tindakan ISA.
.
Logiknya mudah saja: mengkritik Umno tidak boleh disamakan dengan mengkritik orang Melayu atau Islam; justeru, mengkritik JIM atau ahlinya juga tidak boleh disamakan dengan mengkritik Islam. Sekalipun pertubuhan Islam berasa terhina, ia juga tidak boleh disamakan dengan Islam pada keseluruhannya telah dihina! Lantaran itu, jika Ooi menyifatkan JIM sebagai pertubuhan ekstremis, maka terserahlah kepada JIM untuk respons. Oleh kerana JIM tidak sama dengan Islam, maka tidaklah logik jika ulasan itu diperbesar-besarkan dan disamakan dengan Islam telah dihina, lalu didesak agar Akta Hasutan atau ISA diambil terhadap Ooi.
.
Dalam kes exco kerajaan Selangor Ronnie Liu daripada DAP dituduh sebagai campur tangan dalam tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merampas minuman keras di kedai 7-11 di Seksyen 8, Shah Alam, penjelasan Liu juga perlu diambil kira. Menurut Liu, penjualan bir yang kandungan alkoholnya kurang daripada 8.8 peratus, mengikut Akta Eksais 1976 yang digunapakai sekarang, tidak memerlukan lesen. Ia bermakna serbuan dan rampasan bir oleh MBSA sebenarnya salah di sisi undang-undang yang dikuatkuasakan sekarang, dan kesalahan ini telah diakui oleh pihak berkuasa yang terbabit. Sebagai ahli exco yang bertanggungjawab untuk menyelia portfolio terbabit, Liu padahal hanya menjalankan tugasnya untuk membetulkan tindakan yang salah di sisi undang-undang, supaya bir yang dirampas itu dipulangkan kepada pemilik kedai terbabit.
.
Dalam hubungan ini, Liu tentu tidak boleh dituduh sebagai menghina Islam. Yang menghairankan, inisiatif untuk membelasah Liu secara terbuka bukan datangnya daripada Umno atau BN, tetapi seorang lagi exco Selangor merangkap pesuruhjaya PAS negeri Dr Hasan Ali. Nampaknya kes ini mungkin ada udang di sebalik balik batu! kerana akhirnya Dr Hassan Ali berdamai dengan Ronnie Liu.
.
Kes ketiga yang lebih menggemparkan berkaitan dengan ahli parlimen Rasah dan ketua Pemuda DAP Anthony Loke Siew Fook. Beliau dituduh menulis beberapa artikel menghina Islam dan juga Sultan Perak serta Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Antara lain, ahli parlimen Kulim, Zulkifli Noordin, membelasah laman sjsandteam.wordpress.com yang memuatkan kenyataan akhbar Loke dan kemudiannya menyiarkan komen, yang menurut pemimpin PKR itu, menghina agama Islam dengan bahasa kesat, lucah, biadab dan melampau terhadap Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah. Loke mengaku beliau mengeluarkan kenyataan akhbar yang bertajuk "Ridhuan Tee harus minta maaf daripada keluarga Teoh Beng Hock" untuk mengecam penulis kolum itu kerana membuat "ulasan yang kejam dan tanpa hati perut berkaitan isu bayi Teoh yang belum dilahirkan" dan "menyeru agar Dr Mohd Ridhuan segara meminta maaf daripada keluarga Teoh, China Press dan Nanyang Siang Pau".Namun beliau menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan pemunya laman web yang tidak bertanggungjawab serta komen-komen terbabit. Dalam laman Rocky’s Bru, "artikel asal" yang didakwa ditulis oleh Loke telah disiar semula, sekali lagi tanpa pengesahan dengan Loke (sama ada beliau penulisnya seperti yang didakwa). Maka terletuslah hamburan sumpah seranah dan caci maki rasisme yang amat melampau sekali, lantas menjadi perdebatan dan konfrontasi aneka jurusan antara mereka yang berbeza latar belakang ideologi dan politik, dan terbahagi menjadi dua kumpulan besar, iaitu pro-Umno dan anti-Umno.
.
Dalam surat kepada Rocky, Loke dengan sekeras-kerasnya menafikan beliau pernah menulis artikel menghina Sultan Perak dan Raja Nazrin seperti dituduh.Tambahnya, beliau tidak tahu-menahu tentang laman web sjsandteam.wordpress.com (telahpun ditutup)sebelum ini. Satu-satunya blog miliknya lokesiewfook.blogspot.com. "Saya tidak pernah menulis sebarang artikel untuk menghina keluarga diraja, Melayu atau Islam di sepanjang hayat saya. Ada usaha hendak menfitnah Pemuda DAP dan saya dengan sebaran penipuan bahawa kami ini anti-Islam dan anti-keluarga diraja. "Saya tidak tahu gerangan siapakah yang mengendalikan laman web terbabit, saya tiada sebarang hubungan dengannya. Sebagai seorang pengendali laman web yang bertanggungjawab, menjadi harapan saya kamu membuat pengesahan mengenai faktanya sebelum membuat sebarang dugaan."Saya akan membuat aduan polis hari ini (masa itu)untuk menafikan saya yang menulis artikel terbabit, dan saya harap kamu akan siarkan penjelasan saya untuk menjernihkan suasana. Terima kasih," kata Loke seperti diterbitkan di Rocky's Bru. Rocky sudah menyiarkan surat Loke dalam lamannya seperti yang diminta dan Loke juga telah membuat aduan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi untuk menafikan beliau pernah menulis artikel untuk menghina Islam, Sultan Perak dan Raja Nazrin seperti yang dituduh.
.
Jika sekiranya benar apa yang dikatakan oleh Loke tersebut, maka asas untuk menuduhnya sebagai anti-islam tidak kuat, sebaliknya kerajaan dalam hal ini perlu berhati-hati menangani isu seumpama ini, agar tidak nampak sangat bahawa kerajaan terlalu berat sebelah. Isu seumpama ini perlu disemak dengan teliti, di mana kah kebenarnya, agar supaya persatuan yang mengatas namakan islam, boleh memudaratkan sistem yang telah sedia ada.

No comments:

Blog Archive