Wednesday, June 03, 2009

Mogok atau Mengabai Sembahyang Ibadat

SEMBAHYANG ATAU SOLAT tiang seluruh ibadat dibanding ibadat lain seperti berzakat dan menunaikan haji kerana Rasulullah SAW menerima perintah itu secara terus daripada Allah tanpa perantaraan Malaikat Jibrail iaitu ketika baginda melalui peristiwa Israk dan Mikraj. Perintah Allah itu diterima ketika baginda berada di Sidratulmuntaha.

Apabila Allah mewajibkan semua umat Islam bersolat, Rasulullah tidak pernah berkompromi dengan umatnya dalam soal mengerjakan ibadat tersebut malah mereka yang tidak mahu menunaikannya dianggap telah melakukan satu pekerjaan fasik.

Persoalannya sekarang berapa ramai di antara kita yang menyedari mengenai kepentingan untuk bersolat? Berapa ramai di antara kita yang cukup sembahyangnya sebanyak lima kali sehari semalam? Lebih malang lagi berapa ramai di antara kita yang langsung tidak mendirikan solat?

Tidak dinafikan pada zaman ini hambatan terhadap kerja-kerja keduniaan terlalu hebat. Manusia dipaksa bekerja kuat untuk mencari rezeki dan kesenangan dunia. Mereka disibukkan dengan kerja-kerja keduniaan dan semuanya itu merupakan ujian Allah untuk menentukan siapakah di antara mereka yang masih taat dengan perintah Allah.

Allah sengaja menganugerahkan mereka dengan pelbagai nikmat. Mereka terlalu leka bekerja hingga sanggup meninggalkan solat. Mereka menganggap wang, kedudukan dan jawatan adalah lebih penting.

Sungguh menyedihkan kerana mereka yang diberikan pelbagai kemewahan dan kesenangan dunia ini tidak mahu sujud kepada Allah. Lebih menyedihkan lagi mereka yang tergolong dalam kumpulan itu berada di sekeliling kita.

Ketika hampir ajalnya Rasulullah ada menyatakan bahawa orang tidak bersolat mereka akan mati dalam kehinaan iaitu rohnya dicabut dengan kasar dan tanpa belas kasihan.

No comments:

Blog Archive