Wednesday, May 20, 2009

Masyarakat Kampung Rampayan Ulu Kempunan Bantuan Kerajaan

Keresehan masyarakat kampung Rampayan ULU, Kota Belud telah terbongkar ekoran lawatan Datuk Musbah Jamli; pembantu menteri pertanian dan asas tani negeri Sabah ke kampung itu baru-baru ini.

Cadangan kerajaan negeri untuk membangun peternakan lembu tenusu dan daging di Tandu Magarang dan Lok Padang mungkin tidak menjadi kenyataan dan akan menjadi angan-angan, ekoran padang ragut yang sepatutnya tersedia, telah tiada ekoran pentahulian tanah-tanah tersebut oleh Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah kepada individu tertentu yang berkerja di Pejabat Daerah Kota Belud dan juga mantan wakil rakyat Kota Belud- Datuk Yahya Lampong.

Keluasan yang hampir 2000 ekar, padang ragut yang sepatutnya milik masyarakat kampung dipercayai telah berpindah milik kepada individu tersebut bersama-sama keluarga terdekatnya.

Kerakusan individu-individu tertentu dengan tidak mengambil penduli kepentingan ramai, telah menjadi api dalam sekam dan pecah menanti belah bagi kebanyakan penduduk “tunganai” kampung Rampayan Ulu.

Akibat kegelojoan individu-individu ini, maka masyarakat kampung tersebut merasakan, bahawa ketidakadilan telah wujud dan terjadi- sehingga mereka merasa geram dan jelak, akibatnya sasaran mereka adalah kepada kerajaan yang memerintah.

Mereka menuduh dan sepatutnya demikian, bahawa kerajaan yang memerintah adalah pilih kasih kerana tidak mengutamakan rakyat yang ramai, tetapi memberi keistimewaan kepada individu-individu tertentu seperti Datuk Yahya Lampung dan individu penjabat jawatan tertentu di Pejabat Daerah Kota Belud.

Seorang wakil penduduk Encik Hakim Haji Salleh, menyuarakan keadaan ini cukup membimbangkan, kerana cadangan yang dipelopori oleh Datuk Musbah, merupakan usaha ADUN Tempasuk itu untuk mengurangkan kesengsaraan hidup masyarakat Kampung Rampayan Ulu akan terbantut.

Masyarakat kampung Rampayan Ulu, merupakan salah satu kampung yang termiskin dan daif di Kota Belud, yang mana sejak sekian lama, kehidupan mereka hanya tergantung kepada laut. Memandangkan mutakhir ini,hasil laut telah hampir pupus akibat tindakan nelayan pukat tunda yang dilesenkan oleh kerajaan melalui Jabatan Perikanan Negeri Sabah.

Keterhadan tangkapan hasil laut, mengakibatkan pendapatan masyarakat kampung Rampayan Ulu menjunam sehinggakan status miskin turun dua anak tangga kepada status daif.

Ketiadaan padang ragut, usaha ADUN Tempasuk akan hanya tercatit di atas kertas putih serta bahan arkib.

No comments:

Blog Archive