Setahun Abdullah dipersalahkan oleh bekas pemimpin, pemimpin serta ahli-ahli Umno terhadap prestasi teruk BN dalam pilihan raya umum ke-12. Peralihan kuasa yang dirancang telah didesak supaya dipercepatkan sehingga terpancul amarah dari mulut Abdullah terhadap Muhyiddin Yasin, "Apakah Muhyiddin tidak sabar-sabar nak jadi Timbalan Perdana Menteri?"
Kemuncak segala penghinaan terhadap beliau tentulah apabila bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir keluar dari parti Melayu itu hanya kerana tidak mahu berpresidenkan Abdullah.
Penganut Mahathirisme yang fanatik percaya apabila berundurnya Abdullah, maka kuatlah Umno dan BN. Mahathir diarak di dua Bukit bagai baru turun dari kayangan. Mereka percaya, pemulihan sokongan sudah berlaku. Pakatan Rakyat, kalau tidak hilang deposit pun, sekurang-kurangnya akan kalah teruk.
Nampaknya, apa yang diyakini tidak berlaku. Pakatan Rakyat di dua Bukit menang dengan majoriti yang lebih besar berbanding dulu!
Nah! sekarang hakikat atau faktor berkurangnya sokongan rakyat terhadap BN bukan kerana mana-mana individu dalam Umno, tetapi faktor-faktor lain yang sungguh kompleks yang telah berakar umbi tanpa jawapan.
Jika dilihat hasil pilihanraya di dua Bukit, maka penolakkan penggundi terhadap BN boleh diasaskan kepada beberapa faktor:-
Pertama, kebangkitan pengundi muda melayu. Mereka betul-betul tidak memberi ruang kepada BN. Di banyak daerah mengundi, BN kuat di saluran 1 tetapi teruk di saluran akhir. Tinjauan dilokaliti sepanjang pilihan raya berlangsung, para pemuda melayu yang banyak berhimpun di markas Pakatan Rakyat.
Kedua, pengundi bukan Melayu. Nampaknya keampuhan komponen parti BN yang mewakili penggundi bukan melayu tidak terserlah lagi. Lihat tiga contoh daerah mengundi Di Bukit Selambau di mana pengundi Indianya adalah yang tertinggi. United Petani (75% India) Pakatan- 427, BN- 236, Petani Para (69.89 %) PR-107, BN-97 dan Bukit Rusa (71.22%) PR-260, BN-185. Bagi kaum Cina yang mewakili 20 peratus pemilih, langsung tiada masalah. Dari awal hingga ke akhir sokongan mereka padu untuk Pakatan.
Ketiga, pengundi Umno yang hilang kesetiaan. Ada penggundi UMNO yang hilang kesetiaan, walaupun jumlahnya belum membesar, jika kita lihat undi yang diperoleh oleh Mejar (B) Anuar Abd Hamid. Hasil gerak kerja dalaman ahli-ahli Umno yang memprotes, Mejar (B) Anwar mendapat 475 undi, merupakan undi tertinggi di kalangan calon bebas. Dia adalah ahli Umno yang ikut Dr Mahathir keluar dari parti tersebut tahun lalu.
Keempat, pengundi yang berpendidikan. Terdapat ramai pengundi berpendidikan yang kebanyakan mendiami kawasan bandar iaitu di taman perumahan. Sebahagian besar taman-taman perumahan tersebut terdapat majoriti pengundi Melayu. Daerah mengundi yang terdiri dari taman perumahan ialah Taman Ria Utara, Taman Ria Jaya, Taman Ria Selatan, Taman Peruda, Taman Bandar Baru, Taman Tasek Apong, Jalan Badlishah, Sungai Lalang, Taman Desa Aman, Bandar Laguna Merbok dan Ambangan Height. Pakatan Rakyat menang di semua daerah mengundi tersebut!
Bukan tujuan untuk menghina, tetapi ianya realiti; BN hanya menang di daerah mengundi Kuala Sin, Batu Belacan, Kampung Sungkap dan Bukit Selambau yang kebanyakannya rendah taraf pendidikan. Rupanya masyarakat yang ketinggalan taraf pendidikan adalah asset kepada BN.
Kelima, faktor menabur peruntukan. Setiap pilihanraya, BN menabur dan meluluskan berbagai projek, dengan tujuan untuk mendapatkan undi. BN lupa, bahawa faktor ini merupakan isu yang telah dicanangkan oleh parti lawan dari awal-awal lagi bahawa cara-cara ini berunsur rasuah dan salahguna kuasa penggunaan wang rakyat.
Keenam, faktor pendekatan, cara BN mendekati penggundi masih berpijak kepada Tuan, masih bersifat elitis bukan kepada kekitaan, bukan kepada kesamaan.
Ketujuh, faktor kuasa, cara BN mendekati penggundi menggambarkan hanya pemimpin BN saja yang boleh mengatasi permasalahan yang telah bertahun-tahun telah wujud.
Kelapan, rasa bosan rakyat terhadap para pemimpin BN yang hanya tahu menabur janji semasa pilihanraya, sedangkan permasalahan mereka telah lama disalurkan kepada pihak kerajaan tanpa mendapat penyelesaian walaupun telah diberi mandat sejak beberapa pilihanraya yang lalu.
Kesembilan, Pemimpin BN masih menggunapakai isu lapok yang telah berkali-kali ditolak rakyat. Misalnya mengulang-ulang hal peribadi orang-orang tertentu. Menuduh parti lawan hanya pandai bercakap, tetapi tidak dapat laksanakan janji. Tetapi BN lupa, janji-janji parti lawan di 5 Negeri yang mereka kuasai, rakyat dapat menilai betapa rancaknya pelaksanaan janji-janji walaupun memerintah setahun jagung.
Berasaskan faktor-faktor yang disebutkan di atas, pengurangan sokongan terhadap UMNO dan BN di Semenanjung bukan kerana faktor Abdullah, tetapi faktor UMNO dan BN secara keseluruhan. Mahukah, pimpinan sekarang merubah kaedah yang telah mendarah daging ini kepada cara pendekatan baru, yang benar-benar baru yang belum pernah dipraktikkan??. Apakah Pimpinan BN sekarang, telah mempunyai formula atau rumus yang jitu meraih sokongan golongan muda dan berpendidikan. Mampukah komponen BN yang mewakili kaum Cina dan India meraih semula sokongan kaum mereka kepada BN, tanpa meniupkan sentimen perkauman. sama-sama kita tunggu, apabila hasil KPI( Key Performance Indicator) dikeluarkan enam bulan dari sekarang.
No comments:
Post a Comment