Thursday, February 12, 2015

Sodomi II: Sebahagian Keputusan Mahkamah Persekutuan

MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya pada Selasa menolak rayuan akhir Anwar Ibrahim terhadap kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, hampir tujuh tahun lalu.

Keputusan muktamad itu dicapai secara sebulat suara oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Dengan keputusan itu, Anwar, 67, yang merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh hilang kelayakan sebagai wakil rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

(Wakil rakyat boleh tersingkir daripada kerusinya jika didenda melebihi RM2,000 atau dipenjara untuk tempoh lebih dari setahun).

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diperintah menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh bermula pada Selasa 10 Februari 2014.

Yang turut bersidang, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Hakim Arifin ketika membacakan ringkasan penghakiman setebal 54 muka surat antara lain menyatakan, mahkamah berpuas hati bahawa Mohd. Saiful Bukhari, 30, merupakan saksi yang berkata benar dan boleh dipercayai.

Ujar beliau, Mahkamah Rayuan bersetuju dengan penemuan fakta Mahkamah Tinggi bahawa bekas pembantu peribadi Ketua Pembangkang itu merupakan saksi yang terbuka dan jujur sepenuhnya.

“Mohd. Saiful Bukhari bukan rakan sejenayah ataupun pihak yang merelakan dirinya diliwat, bahkan merupakan mangsa dalam kejadian tersebut,’’ ujar beliau ketika membacakan ringkasan penghakiman selama kira-kira dua jam 15 minit.

Pada 7 Mac tahun lalu, Mah­kamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun setelah mendapati Anwar bersalah meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Pemimpin pembangkang itu bagaimanapun tidak dikenakan hukuman sebatan atas faktor usia.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut.

Panel bersidang turut bersetuju dengan dapatan dua mahkamah terdahulu bahawa wujud bukti keterangan yang mencukupi bagi menyokong keterangan mangsa selaku saksi pendakwa pertama bahawa Anwar telah meliwatnya.

Hakim Arifin selanjutnya berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan yang munasabah.

Mahkamah turut menyatakan, Dr. C. Jeyaindran telah memeriksa Anwar tiga minggu selepas kejadian liwat dan ketika itu perayu mengaku mengadakan hubungan seks dengan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail seminggu selepas kejadian.

Doktor berkenaan menyatakan, Anwar tidak mengadu kepadanya bahawa dia mengalami sakit belakang ketika beliau menjalankan pemeriksaan perubatan terhadapnya.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa keterangan pembelaan yang menyatakan Anwar tidak mampu melakukan aktiviti liwat, adalah tidak berasas.

Hakim Arifin juga menyentuh mengenai bukti keterangan saintifik yang dikemukakan oleh pendakwaan bahawa air mani Anwar dijumpai pada bahagian bawah dan atas dubur Mohd. Saiful Bukhari.

“Satu-satunya penjelasan logik terhadap penemuan air mani ini adalah Mohd. Saiful Bukhari semestinya telah diliwat oleh Anwar,’’ ujar Ketua Hakim Negara.

Pada akhir ringkasan penghakiman itu, Hakim Arifin menyatakan, keterangan tidak bersumpah Ketua Pembangkang itu kurang memberi kesan kepada pembelaan.

No comments:

Blog Archive