Sabtu lalu di Alor Gajah Melaka, seorang remaja berumur 17 tahun, Hafiz Abdul Ghani anak sulung kepada 10 adik beradik mati kerana dipukul oleh bapanya sendiri; hanya disebabkan bapanya tercabar, apabila anaknya itu meminta izin untuk mencari kerja agar dapat membeli juadah untuk berbuka puasa untuk adik-adiknya.
Hafiz dikatakan tidak tahan melihat adik-adiknya yang hanya minum air kosong dan bubur untuk berbuka puasa.
Ayah Hafiz yang berkerja sebagai buruh, hanya mampu membeli makanan seperti itu untuk anak-anaknya.
Namun, di kalangan masyarakat kita, terutama pada bulan ramadhan ini, sering kali kita menyaksikan bagaimana pembaziran berlaku di sana sini terutama di hotel-hotel apakah hotel mewah atau tidak berbintang. Sering juga kita melihat majlis berbuka puasa yang dianjurkan terutama oleh para pemimpin, bukan sahaja mengiurkan bagi mereka yang tidak dijemput pada majlis itu; juga kenampakan bagaimana sifat berpoya-poya berlaku yang mengarah kepada pembaziran.
Kata orang, kalau mahu melihat bagaimana mewahnya seseorang itu, maka tunggu bulan puasa; tunggu masa berbuka puasa. Demikian juga untuk melihat bagaimana miskinnya sesebuah keluarga itu lihat apa yang dihidangkan semasa berbuka puasa. Contoh seperti yang berlaku pada keluarga Hafiz- berbuka dengan air kosong dan bubur. AYT yakin, keluarga Hafiz tidak sendirian dalam keadaan ini, masih ramai di luar sana, yang belum diketahui statusnya, mungkin lebih buruk daripada keadaan keluarga Hafiz.
Di negara kita berdekad-dekad telah berbilion dibelajakan untuk menaik taraf rakyat; selain itu berbilion wang zakat terkumpul untuk memperbaiki keadaan mereka yang tidak bernasib baik. Pertanyaannya, kemana sudah wang itu? Dibelanjakan di mana?
Kita sering mendengar, bahawa kerajaan kita atau badan-badan NGO sering memberi sumbangan; dan berita sumbangan itu bukan sahaja disiarkan di dada-dada akhbar, malah disensasikan, tujuannya agar si pemberi sumbangan itu menjadi hero. Namun, disebalik itu, ramai lagi rakyat yang menderita seperti keluarga Hafiz walaupun berada di depan mata, tetapi mata kita silau; seperti kata pepatah Gajah Diseberang Laut Nampak, kuman dibibir mata tak nampak, Kera dihutan disusukan, anak dipangkuan dibiarkan kelaparan. Sebabnya, kerana ego mengejar nama.
No comments:
Post a Comment