Latest News

Hari-Hari Akhir Ops Daulat: Felda salur Bantuan

Felda menyalurkan pelbagai bantuan berjumlah kira-kira RM120,000 kepada peneroka dan keluarga mereka termasuk penduduk kampung serta anggota keselamatan, di Felda Sahabat, berhampiran Kampung Tanduo berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, sejak berlakunya insiden pencerobohan itu, Felda telah bertindak menyalurkan pelbagai bantuan kepada peneroka dan keluarga mereka serta penduduk kampung yang terlibat.

“Beberapa pegawai Felda telah dihantar ke sana bagi menguruskan bantuan makanan dan minuman serta bantuan lain kepada peneroka dan penduduk kampung berkenaan.

Difahamkan, sumbangan makanan dan minuman disediakan oleh Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda, sebuah persatuan yang dianggotai oleh penerokawati di Felda.

Antara bentuk bantuan lain yang disalurkan Felda termasuklah kemudahan tandas bergerak, sistem perairan dan pengurusan bekalan yang berkaitan dengan tenaga elektrik.

Difahamkan, terdapat kira-kira 3,500 ahli keluarga peneroka termasuk 872 peneroka, yang tinggal di kawasan penempatan antara Felda Sahabat 1 dan 5.

Manakala kawasan Felda Sahabat 16 iaitu kawasan yang paling hampir dengan tempat pertempuran dan pencerobohan kumpulan Sulu, diuruskan oleh anak syarikat Felda iaitu Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang tidak melibatkan peneroka.

Mengenai bantuan atau kemudahan lain, Mohd Isa berkata, ia bergantung pada keadaan di sana dan nasihat daripada anggota keselamatan.

“Kita juga menunggu laporan daripada pegawai Felda di sana mengenai situasi yang dihadapi peneroka yang berada di Felda Sahabat,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada terdapat penafsiran berbentuk bantuan lain atau pampasan untuk peneroka yang menerima kesan daripada insiden yang berlaku di Lahad Datu, Mohd Isa berkata, tiada perancangan mengenainya pada masa ini.

“Kita perlu tunggu dahulu laporan daripada pegawai-pegawai di sana. Setakat ini, belum ada maklumat yang memerlukan kita untuk mengadakan rancangan itu.

“Dalam keadaan sekarang di Lahad Datu, para pegawai sukar untuk membuat sebarang tafsiran. Ini bergantung pada keadaan dan keperluan sekiranya perlu. Jika ada perancangan yang lain, kita akan maklumkan kemudian,” katanya.

Difahamkan, FGV turut memberikan sumbangan kepada peneroka dan keluarga mereka serta penduduk kampung di sekitar gugusan Felda Sahabat.

Mohd Isa berkata, aktiviti peneroka di Felda Sahabat pada masa ini berjalan seperti biasa.

"Tengok tempat dan keadaan, kalau tempat itu pihak polis dan tentera kata boleh beroperasi kita akan jalankan tapi kalau kata tidak boleh, kita tak jalan," katanya.

0 Response to "Hari-Hari Akhir Ops Daulat: Felda salur Bantuan"

Blog Archive