Latest News

Kerajaan mahu struktur semula subsidi bahan api

Kerajaan sedang meneliti untuk menstruktur semula pemberian pelbagai bentuk subsidi terutama berkaitan minyak dan gas, agar dapat memenuhi matlamat membantu golongan berpendapatan rendah.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata setakat ini kerajaan belum memutuskan mekanisme terbaik mengenai perkara itu.

"Kita mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan daripada mana-mana pihak untuk dimasukkan dalam pembentangan bajet tahun 2013," katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk di Kampung Perupuk, di Bachok hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Pergerakan Pemuda Umno yang mahu kerajaan menstruktur semula pemberian subsidi kepada rakyat bagi membolehkannya disalur terus kepada golongan sasar.

Ketuanya Khairy Jamaludin dilapor berkata langkah itu perlu memandangkan kaedah sedia ada dilihat tidak begitu proaktif kerana lebih memberi faedah kepada golongan berpendapatan tinggi terutama subsidi petrol dan diesel.

Mengulas lanjut, Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata banyak pihak bersuara mengenai perkara itu namun tidak mengemukakan cadangan mereka.

Katanya langkah kerajaan mengapungkan petrol RON97 dan mengekalkan subsidi bagi RON95 dengan harapan dapat membantu golongan berpendapatan rendah juga tidak banyak membantu.

Ini kerana katanya sebilangan besar golongan berpendapatan tinggi turut menggunakan RON95 untuk kereta mewah mereka yang memerlukan petrol pada kuantiti besar.

Akibatnya kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan besar kira-kira RM30 bilion setahun manakala RM20 bilion daripada itu bagi tujuan subsidi minyak dan gas, kata beliau.- Bernama

0 Response to "Kerajaan mahu struktur semula subsidi bahan api"

Blog Archive