Latest News

Polisi berasaskan kaum masih perlu: Tun Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah lebih baik pembangunan negara dilewatkan sedikit daripada memansuhkan dasar berasaskan kaum yang membawa risiko berlakunya rusuhan kaum di negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan,ada berkemungkinan jika masalah kaum tidak menghantui Malaysia, pertumbuhan negara akan bertambah pesat.

Sebaliknya beliau turut berkata, mengenepikan masalah bangsa dalam negara berbilang kaum juga tidak menjamin kepesatan pembangunan.

Dr Mahathir turut mempersoalkan samaada pengambilan kira bangsa dalam perniagaan di Malaysia melalui dasar Dasar Ekonomi Baru (DEB) benar-benar mengemukakan satu halangan bagi pertumbuhan ekonomi negara.

DEB, yang mula dilaksanakan pada tahun 1971, ditamatkan secara rasmi pada 1990, namun kebanyakan daripada program dibawahnya masih diteruskan.

Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkata, bahawa beliau merancang untuk menghapuskan subsidi dan kuota-kuota Bumiputera di bawah pembaharuan ekonomi, tetapi usaha-usaha tersebut menerima bantahan, terutamanya daripada kumpulan yang memperjuangkan hak orang Melayu.

Antara pengkritik-pengkritik Najib termasuklah Dr Mahathir sendiri, yang telah berulangkali membuat panggilan untuk meneruskan kesinambungan dasar-dasar berasaskan bangsa di bawah DEB, dan memberi amaran ketegangan antara kaum akan bertambah jika dasar-dasar itu dimansuhkan.

Menulis dalam blognya pada tahun 2010, Dr Mahathir berkata: “Saya boleh dilabelkan sebagai seorang yang bersifat perkauman tetapi ketakutan digelar sedemikian tidak akan menghalang saya daripada usaha untuk apa yang saya fikir terbaik untuk negara ini.

Namun begitu, jelasnya lagi dalam blognya, Chedet, Dr Mahathir berkata apabila agihan kekayaan begitu luas di antara kaum, besar kemungkinan permusuhan akan berlaku antara kaum yang miskin dengan kaum yang kaya.

"Permusuhan ini sudah tentu akan menyebabkan ketegangan dalam masyarakat dan menjadikan negara tidak stabil dan terdedah kepada huru hara dan rusuhan.

"Keadaan seperti ini akan menghalang pelaburan, dagangan dan perusahaan. Dalam iklim seperti ini ekonomi tidak mungkin tumbuh dengan baik. Pembangunan akan terjejas," jelasnya dalam artikel bertajuk "Kaitan Bangsa dengan Bisnes".

0 Response to "Polisi berasaskan kaum masih perlu: Tun Mahathir"

Blog Archive