Latest News

Karpal pula ramal: Parlimen bubar Januari 2012

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai pilihan tetapi untuk membubarkan Dewan Rakyat seawal Januari tahun depan, bukan untuk kepentingan rakyat tetapi demi survival politiknya.

Katanya, bukan menjadi rahsia lagi bahawa cubaan menikam Najib seperti penerbitan sebuah buku yang membidas pentadbirannya dilakukan oleh ahli-ahli dalaman Umno sendiri.

Turut memburukkan lagi keadaan, kata Karpal beberapa pemimpin kanan BN menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah kerana mendakwa tiada ruang bersuara dalam Umno.

"Tidak syak lagi, bahawa pilihan raya umum semakin dekat... saya jangkakan sekitar Januari.

"Ini kerana tekanan yang dikenakan ke atas PM semakin mendesak, sebagai contoh dari kumpulan Amanah dan juga dari dalam partinya sendiri. Mereka kata, dia tidak layak untuk jadi PM.

"(Justeru), dia (Najib) tidak mempunyai pilihan tetapi membubarkan Dewan Rakyat supaya pilihan raya umum dapat diadakan. Ini bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk survival diri sendiri," kata Karpal pada satu sidang akhbar semalam.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Najib akan membubarkan parlimen pada suku pertama tahun depan walaupun jangka hayat pentadbirannya tidak akan berakhir sehingga 2013.

Awal bulan ini, sebuah buku berjudul ‘Kesilapan-kesilapan Najib’ yang memaparkan apa yang didakwa sebagai kegagalan Najib selaku presiden Umno dan sebagai Perdana Menteri kini berada di pasaran.

Buku yang ditulis bekas pemimpin Umno, Wangsa Maju, Shahbudin Husin menuntut supaya Najib mengorbankan dirinya dan meletakkan jawatan sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.

0 Response to "Karpal pula ramal: Parlimen bubar Januari 2012"

Blog Archive