Saturday, October 08, 2011

Bajet 2012: Pembangkang mati akal: DS Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tuduhan pembangkang bahawa Bajet 2012 tidak realistik, menunjukkan mereka mati akal dan tidak mempunyai jawapan bagi menyerang kerajaan.

Beliau berkata Bajet 2012 yang dibentangkan semalam merupakan sesuatu yang boleh dan mampu dilaksanakan oleh kerajaan serta bukan hanya janji-janji kosong.

"Untuk Bajet 2012 kita guna pakar-pakar dari Kementerian Kewangan, Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan lain-lain, bukan pak pandir. Semua pandai-pandai dan ada kelulusan Phd.

"Bajet kita bukan untuk sedapkan hati rakyat, kita tidak tipu rakyat. Sebaliknya ia merupakan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya semasa berucap pada majlis lawatan mesra rakyat di Ladang Tuan Mee, Ijok di Kuala Selangor hari ini..

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bajet yang diumumkan kerajaan hari ini sebagai tidak realistik kerana tidak dapat menangani defisit belanjawan yang semakin bertambah.

Katanya, peningkatan defisit itu tidak pernah ditangani walau dalam bentuk perbelanjaan, dan ketua umum PKR itu mengesyaki BN akan membentangkan satu belanjawan tambahan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Jelas ia merupakan helah pilihan raya," kata Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Sementara itu, perdana menteri berkata Belanjawan 2012 dibentangkan bertujuan supaya kerajaan dapat membina rakyat dan mensejahterakan negara.

Beliau berkata kerajaan juga terlebih dahulu telah mengkaji dengan mendalam apakah sebenarnya keperluan rakyat.

"Dalam gagasan dan falsafah 1Malaysia saya telah gariskan beberapa tunggak, antaranya dasar kita mesti bersifat keterangkuman, erti kata di setiap ceruk pelusuk negara tidak kira bandar atau desa, tidak kira mana-mana kumpulan etnik atau kaum setiap warganegara Malaysia mesti mendapat pembelaan dan perlindungan daripada kerajaan.

"Sesuai dengan prinsip itu maka Belanjawan 2012 yang dibentangkan semalam telah menepati prinsip asas yang antaranya ialah untuk menentukan semua golongan dan kelompok masyarakat mendapat faedah," katanya.

"Seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2012 semalam juga, setiap isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan akan menerima RM500. Ini bermakna setiap keluarga yang tinggal di estet di seluruh negara akan menerima RM500 pada tahun depan," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar, Presiden MIC Datuk G. Palanivel, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M.Kayveas dan barisan kepemimpinan BN Selangor.- Bernama

No comments:

Blog Archive