Monday, January 31, 2011

Punca Melayu Islam lemah dan berpecah kerana Nik Aziz: Tun Mahathir


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menggunakan apa juga peluang yang ada untuk memburukkan musuh politiknya di Malaysia termasuk sanggup mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew.

Beliau berkata Menteri Besar Kelantan itu rela mempertahankan Kuan Yew, yang juga bekas Perdana Menteri Singapura, dengan menganggap cadangannya supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam.

"Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal (Singh), (Lim) Kit Siang, (Lim) Guan Eng. Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju" katanya dalam entri terbaru beliau di www.chedet.co.cc pada Isnin.

Dr Mahathir berkata zaman sekarang berbeza dengan zaman British di mana ketika itu, ramai pembesar Melayu minum arak dan ada pekerja Melayu yang minum todi.

Namun, katanya hasil perjuangan nasionalis Melayu, negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam.

"Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang kerajaan untuk kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam," katanya.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir, hasil terbesar PAS dan Nik Abdul Aziz ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini.

"Penubuhan PAS itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam Umno untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam.

"PAS turut memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia sekali lagi apabila PAS mengadakan solat Jumaat dua Imam, larangan terhadap perkahwinan orang PAS dengan orang Umno, larangan anggota PAS menghadiri kenduri orang Umno dan pengasingan kubur orang PAS daripada orang Umno, seolah-olah di Akhirat juga PAS ingin pecah belah orang Melayu Islam terus berlaku," katanya.

Dr Mahathir berkata apabila PAS bertanding pada pilihan raya 1955 dan seterusnya hingga 1986, ia mendakwa bahawa Umno yang bekerjasama dengan orang bukan Islam, mereka menjadi kafir.

"Ini juga memecahkan perpaduan orang Islam di Malaysia," katanya.

Menurutnya apabila PAS bergabung tenaga dengan Semangat 46 dan DAP pada pilihan raya 1990 dan 1995, parti Semangat 46, iaitu serpihan daripada Umno, mendapat nafas dan orang Melayu Islam terbahagi kepada tiga kumpulan.

"Alhamdulillah, Semangat 46 kembali semula kepada Umno dan perpaduan orang Melayu Islam dalam Umno dipulih semula. Tetapi apabila Timbalan Presiden Umno dikeluarkan daripada parti, Nik Aziz dengan cepat memberi sokongan kuat kepadanya supaya parti serpihan yang ditubuh boleh menarik keluar sebahagian daripada anggota Umno dan penyokongnya supaya parti orang Melayu Islam yang terbesar ini menjadi lemah.

"Hasil daripada sokongan Nik Aziz, orang Melayu sekali lagi berpecah tiga. Tidak cukup dengan ini, Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan (Rakyat)," katanya sambil menambah PAS sanggup mengetepikan soal kafir kerana ingin menjadikan Pakatan Rakyat musuh kuat Umno.

Dengan cara ini, katanya Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.

"Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Bahawa satu daripada ajaran Islam yang penting ialah orang Islam itu bersaudara, tidak dihiraukan oleh Nik Aziz," katanya.

No comments:

Blog Archive