Saturday, November 07, 2009

Melayu Perlu Diajar Dahulu Baru Terngadah: Bacalah: Wahai Melayu Ambilah Iktibar

KENAPA sejak kebelakangan ini isu berkaitan Melayu dan Islam kerap ditimbulkan dan dibincangkan termasuk di kalangan pemimpin bukan Melayu? Malah ia diikuti dengan kritikan dan desakan terutama daripada pemimpin bukan Islam pembangkang dan ada hingga sampai ke tahap mencabar dan menghina syariat Islam.

Hal-hal yang berkaitan arak dan mengaitkan Islam dan gerakannya sebagai ekstremis jika tidak disekat pasti akan menimbulkan kesan yang tidak baik kepada masyarakat majmuk di negara ini.

Ramai yang cukup maklum dan sedar bahawa orang Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini dan Islam adalah agama rasmi.

Namun begitu langsung tidak ada halangan untuk kaum lain mengamalkan agama, budaya dan adat resam mereka termasuk membina rumah ibadat di kawasan orang Melayu walaupun penduduk bukan Melayu hanya dua atau tiga orang sahaja.

Orang Melayu yang beragama Islam pula tidak segan silu dan tidak ada pantang larang untuk berbelanja di kedai-kedai bukan Melayu terutama di musim-musim perayaan tanpa ada sebarang rasa prejudis.

Semua ini boleh berlaku kerana ada sikap toleransi dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Melayu amat menghormati kehadiran kaum lain dan tidak pernah menghalang apa juga yang dilakukan dalam kehidupan seharian mereka.

Namun sejak kebelakangan ini apabila kuasa politik Melayu sedikit terhakis ekoran keputusan Pilihan Raya Umum 2008, terdapat suara-suara lantang mengkritik kaum majoriti ini.

Bukan setakat Melayu yang dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif terdapat juga cubaan menyerang Islam secara langsung dan tidak langsung.

Ada antara kritikan itu lebih menjurus kepada cacian dan penghinaan kepada Melayu dan Islam. Atas alasan hak dan kebebasan individu untuk bersuara, perkara ini kelihatan semakin serius apabila satu demi satu isu yang menghina dan mempermainkan Islam dibangkitkan.

Di Selangor misalnya, bandar raya Shah Alam yang dibangunkan sebagai sebuah bandar Melayu dengan kini mula dirobek dengan pelbagai isu termasuk isu arak.

Pendakwah Islam kini mula dikritik dan dicaci secara terbuka semata-mata kerana menegur kelompok tertentu.

Apabila ini semua berlaku siapa yang hendak kita salahkan? Apakah puncanya? Jika sebelum ini isu-isu sensitif berkaitan dengan agama dan kaum jarang disentuh tetapi mengapa kini dibicarakan secara terbuka terutama yang membabitkan isu Islam dan Melayu?

Adakah ini bahang perkauman di negara ini semakin meluap-luap dan sukar untuk dibendung?

Jika diteliti sebab dan musabab perkara ini berlaku, jari kesalahan mungkin boleh dituding kepada orang Melayu itu sendiri.

Misalnya di Selangor, walaupun menteri besarnya adalah melayu dan beragama islam, namun perkembangbiakan tempat maksiat seperti pub-pub, kedai-kedai pejudian dan sekaliguis menjual arak hari demi hari bertambah banyak.

Gejala ini ekoran perubahan pucuk pimpinan negeri selepas Mac 2008, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menjadi terajunya (Pas hanya melukut di tepi gantang).

Serentak itu perubahan pun berlaku sedikit demi sedikit. Sehingga menteri besar mencadangkan penggunaan wang zakat orang Islam untuk memajukan negeri. Jika tidak adanya bantahan sultan Selangor adalah pasti wang zakat yang sememangnya hanya untuk orang islam akan digunakan untuk benda lain.

Rasanya jika orang Melayu di Selangor kekal menyokong BN dan UMNO tentunya perkara ini tidak akan berbangkit. Ini merupakan harga yang perlu dibayar ekoran daripada perubahan yang diinginkan pada 2008.

Kesalahan tidak semestinya dibebankan kepada rakyat melayu Selangor, akan tetapi juga kepada mantan MBnya Dr Khir Toyo dimana cara pentadbiraanya condong menghina bangsanya sendiri. Misalnya pemberian hadiah penyapu kepada MBT yang gagal mencapai target pungutan wang cukai pintu. Namun hakikatnya, para pembayar cukai tersebut majoritinya adalah kaum melayu itu sendiri.

Umno yang kononnya mewakili kaum melayu, ternyata ditolak oleh bangsanya sendiri. Jika dilihat kepada kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, 41 daripada 56 kerusi DUN, majoriti pengundinya adalah Melayu. Maka boleh dikatakan di sini, apa yang berlaku di Selangor termasuk hal yang berkaitan dengan penghinaan terhadap Islam dan Melayu berpunca daripada orang Melayu itu sendiri.

Melayu yang menjadi penyebab jika kaum itu dan agama Islam dihina dan diinjak-injak. Peristiwa penangkapab Dr Asri oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) awal minggu ini, adalah contoh bagaimana melayu dan islam itu sendiri memberi ruang kepada bukan melayu dan islam memandang rendah kaum majority ini.

JAIS dalam menjalankan tugasnya hanya mampu memandang benda-benda besar, akan tetapi benda-benda kecil tercicir.

Seperti kata Dr Asri, kenapa JAIS tidak menjalankan operasi menangkap orang yang tidak sembayang? Sedangkan Solat itu adalah tiang agama, kenapa tidak diberi penekanan. Sedangkan individu yang ingin menyampaikan ilmu agama dan berkongsinya dengan sesama agama itu lah yang menjadi perhatian, atas sebab hanya satu “tanpa tauliah JAIS”.

Pepatah menyatakan: "Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat, bersatu teguh bercerai roboh". Inilah akibatnya apabila kita tidak menghargai apa yang dimiliki. Begitu juga di Perak. Di mana majoriti pengundi di 38 daripada 59 DUN-nya adalah Melayu.

Malah di seluruh negara, kawasan Parlimen yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu jauh lebih banyak daripada bukan Melayu. Tetapi mereka tidak menggunakan kuasa sebagai pengundi itu untuk memastikan kuasa politik terus kekal.

Dengan alasan sudah tidak yakin lagi dengan perjuangan UMNO maka mereka melakukan perubahan pada pilihan raya umum lalu. Hasilnya ialah apa yang berlaku hari ini.

Terdapat segelintir pemimpin daripada parti tertentu yang mula berani bermain dengan api perkauman dan agama. Segala bantahan dan kutukan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu sudah tidak ada maknanya.

Jika mereka turut berdemonstrasi hingga tumpah darah sekali pun tidak mampu mengubah apa yang berlaku.

Pada tahun 2008, ini yang mereka mahukan - perubahan. Bila berlaku perubahan kuasa sudah tentu wataknya juga akan berbeza.

Sebab itu orang Melayu perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah mereka lakukan pada pilihan raya 2008 itu.

Dalam bidang ekonomi, Melayu memang ketinggalan, kini jangan sampai kehilangan kuasa politik.

Lihatlah apa yang berlaku di beberapa negeri yang dikuasai pembangkang. Lihat apa yang berlaku di Perak ketika pembangkang berkuasa untuk seketika selepas pilihan raya umum lalu.

Segala serangan, kritikan, penghinaan dan apa juga tanggapan negatif yang dilemparkan kepada orang Melayu dan Islam merupakan pengajaran yang berguna pada masa depan.

Tidak guna bangkit menyalahkan individu tertentu kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina Melayu dan Islam. Ini kerana mereka berani berbuat demikian disebabkan tindakan orang Melayu itu sendiri.

Ketidakupayaan Melayu untuk bersatu dan kecenderungan untuk menghukum pemimpin sendiri membolehkan pihak lain mengambil kesempatan daripada kelemahan yang berlaku untuk kepentingan mereka.

Jadi, tidak perlu menjadi seperti anjing yang menyalak bukit kerana ia tidak mampu mengubah apa-apa. Tunggulah tiga atau empat tahun lagi jika mahu melakukan perubahan iaitu pada pilihan raya umum akan datang.

Itupun jika Melayu sudah mendapat pengajaran daripada apa yang berlaku sekarang. Belajarlah daripada kesilapan ini.

KENYATAAN Mursyidul Am Pas : Kita bebas berkata apa sahaja jika kita jahil mengenai sesuatu perkara. Termasuk bukan islam menghina islam,kerana mereka tidak tahu islam. Dan mungkin memang begitulah yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu. Jika dibaca secara tersurat mahupun tersirat, maknanya tetap sama.Pemimpin yang digelar Tuan Guru itu mengeluarkan kenyataan mengelirukan. Tetapi ia pasti dapat diterima oleh pakatan pembangkang. Mengelirukan kerana beliau menegaskan, tidak salah sekiranya pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan menghina Islam. Alasannya mudah. DAP bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam. "DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam,'' tegasnya.

Jika kenyataan pembelaan oleh Nik Abdul Aziz terhadap DAP itu dijadikan pegangan, maka, maknanya kita juga boleh menghina agama lain. Jika ada yang melenting, berikan sahaja jawapan mudah. Kita jahil mengenai agama tersebut. Sekiranya kenyataan Nik Abdul Aziz itu diterima pakai, maka "kejahilan" boleh menjadi alasan kuat untuk kita bebas menghina mana-mana agama.

Itu adalah hujah yang diberikan oleh Menteri Besar Kelantan itu ketika cuba menangkis kritikan hebat orang Melayu dan umat Islam terhadap sikap segelintir pemimpin DAP kebelakangan ini.

Bayangkan jika kenyataan tidak bertanggungjawab itu dipersetujui oleh semua orang. Soal sensitiviti akan diketepikan. Maka tidak akan ada lagi sebarang usaha untuk "menjaga hati".

Kita bebas mengkritik apa sahaja walaupun sehingga ke tahap menghina. Jika ada yang marah, jawab sahaja kita tidak faham tentang agama itu. Tidak perlu pun untuk mengeluarkan permohonan maaf.

Tetapi bayangkan sekiranya seorang pemimpin UMNO mengeluarkan kenyataan menghina agama Kristian, Buddha, Hindu atau Sikh. Adakah Nik Abdul Aziz akan mengeluarkan kenyataan yang sama? Adakah beliau akan membela pemimpin UMNO tersebut dan memberitahu rakan satu pakatannya bahawa pemimpin UMNO itu boleh berbuat demikian kerana beliau tidak faham mengenai agama tersebut?

Adakah pembelaan itu akan dilakukan oleh Nik Abdul Aziz. Rasanya tidak mungkin. Jauh panggang dari api. Penulis tidak faham apa sebenarnya yang dirasai oleh Nik Abdul Aziz. Adakah beliau tidak sensitif walaupun agama suci anutannya ini diperlekehkan dan dirujuk dalam ayat berbentuk makian dan carutan sekali pun?

Adakah beliau tidak sedar kesan buruk yang sedang menanti? Seperti biasa apabila timbul sesuatu isu membabitkan sensitiviti agama, Tuan Guru ini akan menempelak pemimpin UMNO.

Dalam kenyataannya, beliau menyalahkan sikap "pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam". Dan yang dimaksudkannya itu pastinya pemimpin dari UMNO.

Menurutnya sikap itu menyebabkan agama itu tercemar dan telah disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam. Tidak sedarkan beliau bahawa pemimpin yang dikatakannya menolak Islam itulah, yang kini tampil mendesak tindakan tegas agar Islam tidak lagi dihina?

Namun apakah peranan Pas dalam soal ini? Ke mana perginya ulama-ulama dalam parti itu? Adakah fenomena menjaga hati rakan satu pakatan membuatkan mereka terus menjadi seperti harimau kehilangan taring?

Sampai bilakah mereka akan terus diibaratkan seperti kucing yang telah dikembiri? Sanggupkah mereka membiarkan penghinaan itu dibuat dari semasa ke semasa tanpa berani bersuara hanya kerana ingin menjaga perpaduan di dalam pakatan?

Sampai bila lagi ulama-ulama di dalam Pas akan terus berdiam diri? Adakah menjaga hati rakan di dalam pakatan lebih penting daripada mempertahankan maruah agama?

Kenapa Nik Abdul Aziz dan pemimpin Pas yang lain tidak boleh menjadi seberani Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Bukankah menegakkan kebenaran itu tuntutan agama? Jika salah perlu dikatakan salah, bukan sebaliknya. Ketepikan soal "menjaga hati", ini soal maruah Islam.

Harussani nampaknya sentiasa konsisten dalam semua kenyataannya. Tegas dan tidak pernah beralah pada desakan biar pun kedudukannya mungkin menjadi taruhan. Pastinya bagi beliau, yang penting adalah agama dan apa yang bakal dijawab olehnya di hadapan Tuhan nanti.

Maka kenyataannya tidak pernah berunsur "menjaga batang leher sendiri". Ketegasan Harussani boleh dilihat apabila beliau menegaskan bahawa mereka yang tidak menghormati institusi raja dan agama Islam boleh keluar dari negara ini.

Katanya, kedua-dua perkara termaktub di dalam Perlembagaan. Seperti kata Harussani, setiap orang Islam wajib mempertahankan agama daripada dihina.

Malah umat Islam tidak boleh menyokong penghinaan itu dengan apa pun alasan. Maka hujah bahawa orang bukan Islam boleh menghina Islam hanya kerana dia tidak memahami Islam tentu merupakan hujah yang tidak masuk akal.

Jadi, apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz untuk membetulkan keadaan ini? Beliau sekadar menegaskan Pas akan berusaha meningkatkan kefahaman DAP terhadap Islam. Katanya, Pas sebagai rakan kepada DAP dalam pakatan pembangkang, mengambil pendekatan memberi penerangan kepada pemimpin-pemimpin parti itu supaya mereka lebih memahami Islam. J

ika kenyataan itu boleh diterima, maka maknanya Pas cuba memberi kefahaman tentang Islam kepada rakan-rakan bukan Islam di dalam pakatan dengan mendekati mereka melalui "forum, wacana dan perbincangan". Namun rasanya Pas tidak melakukannya.

Sekiranya ia mengambil pendekatan-pendekatan tersebut, sudah pasti apa yang dilakukan oleh Pas itu telah menemui kegagalan.

Bayangkan pakatan Pas dengan PKR dan DAP telah pun dijalin sejak sekian lama. Adakah tempoh tersebut masih belum cukup untuk Pas memahamkan pemimpin DAP mengenai Islam?

Atau mungkinkah pendekatan Pas itu tidak mendapat sambutan? Maka, rakan-rakan di dalam pakatan itu masih terus jahil tentang Islam dan akhirnya bebas menghina Islam hanya semata-mata kerana mereka 'tidak faham'.

Sepatutnya Nik Abdul Aziz telah memberitahu rakan-rakan di dalam pakatan bahawa lebih baik untuk mereka berdiam diri sekiranya mereka tidak arif mengenai Islam.

Tuan Guru ini sepatutnya memberitahu rakan-rakannya bahawa sikap bodoh sombong tidak menguntungkan sesiapa.

Namun nampaknya Nik Abdul Aziz dan Pas gagal berbuat demikian. Mungkin mereka tidak berani bersuara kerana bimbang tidak dapat merasai kuasa yang dijanjikan oleh DAP dan PKR.

Jadi, apa lagi yang boleh diharapkan daripada Mursyidul Am Pas ini jika beliau menganggap isu serangan terhadap Islam hanya melibatkan serangan ke atas kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO.

Beliau sendiripun sejak awal-awal lagi telah menyatakan keengganan untuk campur tangan dalam isu kontroversi rakan-rakan sepakatannya sama ada di Selangor mahu pun di Pulau Pinang.

Mungkin umat Islam dan rumpun Melayu yang tercalar hati akibat penghinaan oleh segelintir pemimpin DAP ini hanya boleh mengharap tindakan undang-undang seperti yang disyorkan oleh Polis Diraja Malaysia.

Apa yang pasti, kita tidak lagi memerlukan permohonan maaf kerana ia pasti akan berulang jika tiada tindakan tegas dikenakan ke atas puak-puak yang biadap terhadap Islam ini.

No comments:

Blog Archive