Showing posts with label Ucapan Najib. Show all posts
Showing posts with label Ucapan Najib. Show all posts

Thursday, December 01, 2011

Ucapan Najib-bukti Umno bukan parti rasis: Tun Mahathir

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sebagai ucapan yang amat baik kerana ia memperjelaskan bahawa Umno bukan parti rasis.

Dr Mahathir berkata ucapan perdana menteri telah menyedarkan rakyat bahawa Umno bukan sahaja memperjuangkan semangat orang Melayu tetapi juga perjuangan untuk menjamin kelangsungan bangsa-bangsa lain di negara ini.

"Ia ucapan yang amat baik. Beliau (Najib) memperingati ahli-ahli Umno berkenaan sejarah Umno.

"Bagi orang yang tuduh Umno rasis, beliau menegaskan Umno bukan sebuah parti rasis...Ia (Umno) bukan sahaja membantu orang Melayu, tetapi ia juga membantu orang lain (bangsa lain) juga," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas ucapan dasar Najib pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Najib dalam ucapannya berkata apa yang yang dicapai hari ini bukan dibina dalam tempoh singkat tetapi menerusi perjuangan, pengorbanan dan kerja keras oleh pemimpin-pemimpin semua bangsa termasuk Iban, Kadazan, Orang Asli dan Siam bagi memastikan generasi muda mempunyai masa depan cerah.

Ditanya sama ada beliau berpendapat pilihan raya umum semakin dekat, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu dan sekiranya betul, menurutnya perkara itu terserah pada Najib.

"Saya tidak tahu, saya fikir Umno sudah agak bersedia. Tetapi saya tidak tahu sama ada beliau akan mengadakan pilihan raya atau tidak, itu di luar pengetahuan saya. Beliau tidak pernah beritahu saya. Terserah kepada PM," katanya.

Najib, sejak kebelakangan ini telah membayangkan bahawa pilihan raya umum ke-13 mungkin diadakan tidak lama lagi dan menggesa anggota Umno meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Tuesday, August 30, 2011

Najib kecam penghina pejuang negara

Datuk Seri Najib Razak menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang penyataan dan usaha oleh mana-mana pihak yang ingin mempersenda atau memperlekehkan pengorbanan mulia para wirawan dan wirawati negara serta keluarga mereka.

"Dalam syiar meriahnya perayaan dan besarnya jiwa kemerdekaan, saya menyeru kepada semua agar tidak sekali-kali melupakan pengorbanan, darah, keringat dan air mata bapa-bapa kita para pejuang kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan negara dari dahulu hingga sekarang.

"Kita berasa kesal kerana mereka sebaliknya pula memperagungkan Parti Komunis Malaya yang anti Tuhan, anti agama dan anti Nasional," katanya dalam perutusan khas Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ke-54 yang disiarkan melalui RTM di Kuala Lumpur, malam semalam.

Seruan beliau berikutan kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu baru-baru ini yang memperkecilkan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan dan memperagungkan pengganas komunis.

Perdana Menteri juga mengingatkan apa yang telah dikecapi kini semuanya tidak terjelma dengan berwenang-wenang ataupun kekal bestari jika bahtera keramat kemerdekaan Malaysia tercinta ini terbiar hanyut tidak dikemudi dengan tulus, tidak dihargai dan musnah tanpa dipelihara.

"Jadi, di atas segala-galanya, bagi memastikan apa yang terlimpah dan tercurah ke atas kita dan bumi Malaysia kekal berkesinambungan, maka perpaduan nasional perlu terus dibajai dan diperkukuhkan. Mudah-mudahan jua atas keinsafan ini makin tersepuh dan menebal semangat patriotisme dan kecintaan yang kukuh kepada pertiwi di setiap sanubari kita," katanya.

Beliau berkata sempena perayaan Aidilfitri dan kehangatan menyambut Hari Kemerdekaan pada Rabu ini, membawa permaknaan dan pengertian yang mendalam tentang betapa besarnya kurniaan Ilahi Malaysia yang makmur serta bebas dari sebarang ancaman dan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

"Kedua-dua perayaan ini menpunyai signifikan begitu besar kepada negara yang mempunyai kemajmukan amat kompleks seperti Malaysia di mana bukan sahaja wujud perbezaan daripada segi etnik tetapi juga teranyam indah dengan kepelbagaian agama, budaya, bahasa dan taraf sosioekonomi," katanya.

"Hakikatnya bahawa, Malaysia telah dan sedang dirahmati nikmat keamanan juga kemakmuran tidak mampu disangkal oleh mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga akan terus mengambil tindakan memperbaiki dan memperelok secara berperingkat dalam membantu rakyat menangani fenomena kenaikan kos hidup.

Katanya, pelbagai langkah awal telah diambil, termasuk menjadikan matlamat menangani kos hidup semakin meningkat sebagai satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan menwujudkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata, antara beberapa inisiatif awal bagi membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung ialah Kedai Rakyat 1Malaysia yang menawarkan barangan keperluan yang mampu dibeli dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

Di samping itu, Klinik-Klinik 1Malaysia pula rawatan asas boleh diperolehi dengan bayaran RM1 serta Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) dengan peruntukan berjumlah RM1.4 Bilion kepada 500,000 warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal serta balu polis atau tentera yang berkelayakan.

Beliau berkata kerajaan juga akan meneruskan dasar memberi subsidi secara langsung atau tidak langsung, terutamanya subsidi bahan makanan terpilih seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan gula.

Begitu juga dengan bahan bakar seperti Petrol RON95, Diesel dan LPG serta perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, katanya.

"Akan tetapi, kita berhasrat melakukannya dengan lebih cermat dan bijaksana tanpa menjejaskan kesihatan fisikal negara dengan mendukung prinsip bahawa mereka yang lebih memerlukan dan berkelayakan akan didahului serta diutamakan," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun fenomena kenaikan harga bahan makanan bersifat global, namun kerajaan tetap akan berusaha mencari mekanisme terbaik bagi menangani masalah tersebut dan kos kehidupan yang tinggi.

Mengenai Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang, katanya ia membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan program yang bakal digubal serta dilaksanakan akan benar-benar mampu membantu rakyat.

Dalam pada itu, Najib menegaskan usaha kerajaan tidak terhenti kerana melalui Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada awal Oktober, akan mengumumkan langkah-langkah susulan bersifat lebih komprehensif bagi menangani masalah yang memberi kesan kepada isi keluarga yang berpendapatan rendah dan pertengahan.

Beliau yang bangga dengan pencapaian negara, mengibaratkan Malaysia sebagai sebuah oasis di tengah-tengah dunia berkecamuk sedang dilanda badai politik serta kegoncangan ekonomi yang bertali arus.

"Hari ini, seperti yang kita maklum, ketika gergasi ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat dan juga beberapa negara anggota Kesatuan Eropah yang dikelompokkan sebagai ekonomi maju sedang bergelut dengan krisis kewangan serius sehingga memerlukan penyelamatan atau 'bailout'.

"Sebaliknya, Malaysia hasil pengurusan yang berhemah serta cekap, masih mampu bukan sahaja untuk mengembangkan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baru tetapi juga untuk memberikan setengah bulan bonus kepada 1.4 juta penjawat awam yang menelan belanja RM2 bilion menjelang sambutan istimewa perayaan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan," katanya.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan rakyat agar tidak sesekali terbuai dan berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai setakat ini kerana matlamat tertinggi kerajaan adalah untuk mendahulukan kebajikan seluruh rakyat, sebagai suatu urutan keutamaan yang telah menjadi wawasan nasional sejak negara mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata kerajaan terus melaksanakan pelbagai program proaktif bagi memastikan pencipataan kekayaan baru, pertumbuhan ekonomi berterusan dan penciptaan pekerjaan berganjaran tinggi selaras dengan kemahiran yang semakin meningkat.

"Apa yang diimpikan adalah sebuah negara yang makmur dan sejahtera di mana setiap individu sanggup bekerja keras, meningkatkan kemahiran secara istiqomah dan beriltizam menggunakan segala peluang dengan bijak agar dapat mencorak sebuah kehidupan bahagia berkelangsungan hingga cucu cicit kita kelak," katanya.
- Bernama

Blog Archive