Showing posts with label Pas dikuasai Anwar. Show all posts
Showing posts with label Pas dikuasai Anwar. Show all posts

Saturday, February 04, 2012

Hassan Ali kata 72% kepimpinan PAS dikuasai golongan sekular

MUAR 4 Feb. – Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mendakwa 72 peratus kepimpinan Pas kini dikuasai oleh golongan sekular yang sanggup ”tidur sekatil” dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, sejumlah 28 peratus lagi adalah golongan ulama yang sanggup mengenepikan perjuangan asal Pas untuk menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercita-cita mahu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Saya berpendidikan sekular tetapi saya mahu Pas terus dipimpin oleh golongan ulama yang berpendidikan dari Mesir dan Jordan,” katanya pada ceramah anjuran Pertubuhan Kemajuan dan Integriti Melayu Muar (Pekim) di Bukit Naning, di sini, malam tadi.

Pada ceramah yang dihadiri kira-kira 3,500 orang itu, Hasan turut mendedahkan bagaimana kepimpinan Pas cuba memujuknya supaya berlembut dan mengikut sahaja arahan pakatan pembangkang yang tidak setuju dengan tindakannya membanteras gerakan mengkristiankan orang Islam di Selangor.

"Mereka minta saya bersabar dengan mengatakan apabila sudah dapat tawan Putrajaya, waktu itulah baru dikuatkuasakan undang-undang Islam,” katanya.

Hasan dalam ceramahnya mendakwa pakatan pembangkang tidak mahu mendengar perkataan Islam, Melayu dan raja serta mereka akan mendidik anak-anak dengan didikan secara liberal jika diberi peluang. – BERNAMA

Monday, June 13, 2011

Kepimpinan baru Pas dikuasai kumpulan Erdogan

Keputusan pemilihan jawatankuasa pusat PAS awal bulan ini menggambarkan bahawa 'tsunami' kumpulan Erdogan atau pro-Pakatan Rakyat telah melanda parti Islam itu.

Kemenangan Mohammad Sabu adalah bukti kokoh kemenangan kumpulan erdogam atau kumpulan penyokong Anwar.

Kemenangan Mohamad yang bukan daripada golongan ulama juga pertama kali berlaku dalam tempoh 20 tahun selepas konsep kepimpinan ulama diperkenalkan oleh parti Islam itu sekitar tahun 1980-an.

Manakala bagi tiga naib presiden yang baru dipilih pula, dua daripadanya - exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dan ahli parlimen Datuk Mahfuz Omar - daripada kumpulan itu.

Manakala anggota parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub pula walaupun diletakkan dalam 'chai' (senarai) kumpulan ulama, pendekatannya tidak jelas kelihatan memihak kepada mana-mana pihak.

Mahfuz dan Salahuddin merupakan penyandang jawatan itu manakala Husam pula pernah menjawatnya sebelum itu.

Asakan padu Erdogan turut menyingkirkan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai selebriti PAS dan calon pilihan kumpulan ulama, Ketua Penerangan Idris Ahmad.

Di peringkat jawatankuasa pusat pula, sekurang-kurangnya 10 daripada 18 yang dipilih juga daripada kelompok Erdogan atau cenderung kepada kepimpinan Mohamad.

Tsunami besar ini selari dengan trend pemilihan dalam pemilihan muktamar di mana hampir semuanya dimenangi golongan wakil rakyat dan profesional.

Walaupun kemenangan Mohamad boleh dikatakan bukan mutlak kerana beliau hanya mendapat kira-kira satu pertiga sokongan perwakilan, keputusan ini masih boleh dilihat sebagai isyarat penting bahawa akar umbi PAS mahukan perubahan.

Ia juga sejajar dengan penegasan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya anggota parti itu bersedia "sepenuh kudrat" bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, perubahan dalam PAS tidak boleh dianggap bahawa perwakilan menolak sepenuhnya penguasaan ulama dalam parti itu. Ini kerana, perwakilan berjaya diyakinkan bahawa institusi itu tetap terpelihara melalui Majlis Syura Ulama.

Menurut anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad dalam sebuah seminar berhubung pemilihan parti di Kuala Lumpur sebelum ini mendedahkan, ketika menyokong konsep kepimpunan ulama kira-kira 20 tahun, mereka merujuknya kepada penubuhan Majlis Syura Ulama.

Ia bukannya bermaksud pemimpin semua peringkat dalam PAS mestilah terdiri daripada golongan ulama, tambahnya.

Mohamad juga akan menghadapi tugas pertamanya sebagai orang nombor dua dalam parti dengan menjayakan perhimpunan bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil bulan depan.

Dengan kejayaannya mengumpulkan 40,000 - antara perhimpunan terbesar setakat ini - pada tahun 2007, Mohamad dijangka akan menonjolkan keupayaan sebenarnya sebagai pemimpin akar umbi.

Malah, cakap-cakap di kalangan perwakilan, sudah ada gurauan bahawa dengan kemenangan Mohamad, PAS patut mewujudkan biro baru iaitu "biro demonstrasi".

Sementara itu, kemenangan Mohamad juga dilihat bakal mengukuhkan kedudukan PAS dalam Pakatan, sekali gus memainkan peranan lebih besar, khususnya dalam pembahagian kerusi pilihan raya.

Dengan pemimpin yang tegas seperti Mohamad, dibantu Husam dan Mahfuz, PAS kini tidak boleh lagi dianggap sebagai 'budak kecil' ketika duduk sebaris bersama rakannya PKR dan DAP.

Keadaan ini jauh berbeza dengan sebelum ini di mana Nasharudin sering dikaitkan dengan peribadi lembut dan lemah dalam membuat keputusan dalam mesyuarat.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu juga mempunyai hubungan yang baik dengan DAP, terutamanya dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang sering dirujuknya sebagai "adinda saya".

Bagaimanapun, sama ada formula ini akan berjaya dalam pilihan raya umum depan, mungkin hanya Mohamad dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang dapat menjawabnya.

Blog Archive