Showing posts with label Isu Felda. Show all posts
Showing posts with label Isu Felda. Show all posts

Monday, November 28, 2011

Tangani cepat masalah FELDA

Dilihat sebagai bantahan terbuka kali pertama, badan yang mewakili peneroka Felda hari ini menggesa Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berundur secara terhormat dan mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunaikan permintaan itu jika inginkan undi pilihan raya umum ke-13.

Gesaan itu dibuat pada satu sidang media di Ampang hari ini oleh Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP), yang diiktiraf secara rasmi oleh Felda, mendakwa mewakili 1.6 juta warga peneroka dan sekitar 120,000 peneroka dari 11 wilayah Felda di seluruh negara.

Desakan itu dibuat ketika pentadbiran Najib bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan mengharapkan sokongan padu peneroka Felda yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat Umno-BN.

Selain menggesa Isa, yang mengetuai Felda sejak setahun lalu, JKPP juga menggesa Pengarah Seranta Felda Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, Datuk Sabri Ahmad agar berundur sama.

Desakan itu memuncak ketika proses menyenaraikan Felda Global Ventures sedang giat dijalankan.

Langkah penyenaraian itu diumumkan oleh Najib ketika membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.

Sidang media itu dikendalikan oleh Pengerusi JKPP Shamsuddin Othman (gambar) yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah Felda.

Turut hadir pada sidang media hari ini ialah sembilan naib pengerusi JKPP Wilayah.

Pada sidang media hari ini, Shamsuddin, 59, menyenaraikan masalah dan isu dihadapi oleh pihaknya termasuk dakwaan ketua peneroka itu dihina oleh Isa, ketiadaan maklumat yang cukup mengenai proses penyenaraian dan tindakan Seranta Felda ‘Umno’ mengganggu peneroka.

Kenyataan media itu, Shamsuddin mendakwa bahawa Tan Isa Samad pada satu taklimat mengenai proses penyenaraian di Kuala Pilah pada 12 November lalu telah menghina Shamsuddin dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu”, “jika saya jumpa saya akan lutu dia”.

Thursday, August 26, 2010

Kini giliran Felda Umas-umas Tawau Sabah- Ada ura-ura ikut jejak Felda Kelantan

Akhirnya 354 peneroka Felda Kemahang Tiga dari Kelantan mendapat khabar gembira apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Felda membayar mereka RM11 juta kerana menipu peneroka berkenaan berhubung gred buah kelapa sawit.

Berasaskan keputusan tersebut Felda Umas-umas Tawau akan juga membuat saman terhadap Felda kerana selama inipun mereka merasakan tertipu isu pembayaran.

Sunday, July 04, 2010

Tuduhan Pembangkang Felda Muflis Satu Penghinaan Pada Warga Felda

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tuduhan pembangkang kononnya Felda bankrap merupakan satu penghinaan kepada golongan peneroka dan institusi yang banyak membangunkan masyarakat Melayu.

Tegas Perdana Menteri, tuduhan tersebut merupakan pendustaan besar yang dilakukan pembangkang kepada masyarakat peneroka dan luar bandar.

Berikutan itu, beliau menegaskan Felda tidak pernah bankrap sebaliknya akan terus membela dan membangunkan masyarakat peneroka termasuk generasi kedua dan ketiganya.

''Perbuatan ini (tuduhan Felda bankrap) adalah menghina sebuah institusi yang banyak membantu peneroka menjadi golongan yang berjaya," katanya.

Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) di sini hari ini.

Najib menegaskan, tindakan PKR itu merupakan salah satu agenda yang dijalankan untuk menghancurkan Felda yang berjaya membangunkan ekonomi orang Melayu sejak 50 tahun lalu.

Selama ini, menurut beliau, Felda merangka pelbagai program untuk membangunkan golongan peneroka dan anak-anak mereka dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan kemahiran.

Kerajaan juga, tambah beliau, sentiasa meneliti pengurusan aset Felda secara sistematik supaya matlamat membangunkan peneroka tidak pernah tersasar.

''Kita (kerajaan) sentiasa meneliti asetnya betul-betul. Kita ada bermacam-macam program untuk membangunkan peneroka," katanya.

''Saya akan terangkan pada hari peneroka nanti. Hari ini saya simpan sikit. Saya tunggu pada Hari Peneroka pada 7 Julai nanti, apakah jasa, aset dan program yang dijalankan Felda selama ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Najib berkata, laporan Suara Keadilan itu menimbulkan kemarahan kepada peneroka kerana ia tidak berasas sama sekali.

''Rata-rata peneroka mencurahkan rasa marah bahawa mereka menganggap ini satu penghinaan kepada institusi yang disayangi mereka," katanya.

Ditanya mengenai tindakan KDN yang tidak memperbaharui permit Suara Keadilan itu: ''Kita ada undang-undang, saya serah kepada pihak berkuasa untuk buat pertimbangan sewajarnya."

Sehubungan itu, beliau menggesa pengamal media supaya menyiarkan laporan yang bertanggungjawab supaya ia tidak menimbulkan keresahan kepada rakyat dan negara.

''Kalau kita menerbitkan sesuatu akhbar, kita mesti ada rasa tanggungjawab bahawa apa yang disiarkan tidak memudaratkan kepentingan negara dan rakyat.

''Apatah lagi kalau cerita itu boleh menimbulkan kemarahan rakyat atau cerita itu tidak benar sama sekali," tegasnya.

Sementara itu, di Termeloh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu akan menjelajah di semua tanah rancangan Felda bagi menangkis persepsi negatif berikutan tindakan provokasi parti pembangkang terhadap agensi itu sejak kebelakangan ini.

Menurut Khairy Jamaluddin, tindakan perlu dilakukan memandangkan parti pembangkang seperti PKR dan Pas sedang berusaha mengganggu perpaduan masyarakat peneroka Felda di negara ini.

Menurut beliau, pembangkang kini mengatur strategi 'menyerang' Felda kerana mereka mengetahui bahawa warga peneroka merupakan penyokong kuat UMNO dan kerajaan selama ini.

Tambah beliau, pembangkang telah mengeksploitasikan pelbagai isu seperti kedudukan kewangan agensi itu bagi tujuan mengelirukan masyarakat peneroka dan cuba merendahkan reputasi Perdana Menteri.

Friday, June 18, 2010

Isu Felda: Ahmad Maslan Kekurangan Data Akhirnya Penjelasannya Makan Diri Sendiri

Pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong yang juga timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004 mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat dakwaan salahurus dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Beliau yang hari ini menemani ahli parlimen Klang, Charles Santiago membuat laporan ke SPRM berhubung kemerosotan rizab tunai Felda yang menjunam daripada RM4.08 billion pada 2004 kepada hanya RM1.35 billion pada tahun lalu.

Dalam aduannya, Santiago meminta SPRM menyiasat penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan bahawa jumlah rizab tunai Felda susut sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

Ahmad dalam jawapannya di Dewan Rakyat pada 16 Jun berkata, walaupun jumlah rizab berkurangan, nilai aset yang dimiliki oleh Felda tetap meningkat.

Ahmad juga berkata, rizab tunai tersebut digunakan untuk program kebajikan peserta rancangan dan juga untuk membina ibu pejabat Felda yang baru.

Sementara itu, Tan yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri yang kementeriannya bertanggungjawab ke atas Felda berkata bangunan baru berkenaan bertaraf "lima bintang" dan terletak bersebelahan Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura.

Felda, katanya telah membayar pendahuluan sebanyak RM230 juta kepada Naza TTDI, pemaju yang bertanggungjawab membina bangunan baru dengan kos RM662 juta.

Beliau juga mendedahkan bahawa wujudnya satu rancangan pada 2006 untuk menggantikan ibu pejabat Felda sedia ada di atas tapak yang sama di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Rancangan itu akan hanya membabitkan kos pembinaan RM220 juta kerana tanah itu dimiliki Felda sendiri, kata Tan yang berkhidmat di kementerian tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004.

"Tender untuk meruntuhkan bagunan lama telahpun dibuka," katanya dalam ketika bercakap kepada wartawan di perkarangan pejabat SPRM hari ini.

"Perdana Menteri (pada ketika itu) Tun Abdullah Ahmad Badawi juga telah bersetuju untuk merasmikan majlis pecah tanah itu," katanya lagi.

Beliau seterusnya mempertikaikan apa perlunya bangunan baru itu dibina dengan kos RM662, sedangkan ia boleh dibina dengan satu pertiga daripada kos berkenaan.

Blog Archive