Showing posts with label Ibrahim ali. Show all posts
Showing posts with label Ibrahim ali. Show all posts

Sunday, December 22, 2013

Pertubuhan PERKASA: Hanya Duri Dalam Umno

HATI-HATI terhadap pendekatan Pertubuhan Perkasa (Perkasa) sebuah NGO yang dipimpin Ibrahim Ali. Samada pertubuhan itu menjadi faktor sokongan melayu kembali kepada Umno atau BN pada PRU-13 lalu merupakan satu tanda tanya.

Satu fakta nyata, bahawa dua pemimpin tertinggi pertubuhan itu yang bertanding di kawasan majoriti melayu pada PRU-13, ternyata ditolak oleh kaum melayu. Apa ertinya itu? Perkasa bukanlah faktor penyebab kembalinya kaum melayu Semenanjung menyokong Umno atau Bn.

Melihat kepada trend pemilih pada dua pilihanraya umum 2008 dan 2013, faktor sokongan melayu tidak semestinya menyebabkan Bn masih menguasai Putrajaya. Jumlah kerusi Umno di Semenanjung hanya 73 daripada 107 kerusi yang ditandingi atau 56 peratus daripada 166 jumlah kerusi Parlimen di Semenanjung.

Daripada 166 kerusi itu, 38 kawasan adalah majoriti kaum cina, 9 majoriti India dan 12 kerusi kawasan bukan bumiputera. Ertinya, 59 kawasan adalah kawasan bukan melayu.

Fakta melalui PRU-13 lalu, daripada 166 kerusi Parlimen di Semenanjung, 82 atau 49.4 peratus dimenangi Pakatan Rakyat. Bayangkan kalau MCA tidak mampu menyumbang kerusi? dan semua kawasan bukan melayu di menangi Pakatan Rakyat? Pakatan Rakyat tidak memperlukan sokongan Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pendekatan Perkasa yang ekstrem tidak akan mampu membawa kaum melayu yang menjadi penyokong tegar pembangkang menyokong Umno atau Bn, sebaliknya akan mendorong kaum lain menolaknya. Fakta menunjukkan, bahawa status quo keputusan PRU-12 diteruskan pada PRU-13, malah Bn kehilangan 7 kerusi Parlimen, daripada Sarawak 7 dan Sabah 2, walaupun Bn di Semenanjung menambah dua kerusi berbanding tahun 2008.

Tindakan Perkasa mungkin positif bagi kaum melayu di luar bandar di Semenanjung, tetapi membawa impak negatif yang besar bagi pengundi bumiputera di Sabah dan Sarawak serta kaum bukan melayu di Semenanjung.

Impak negatif terhadap pendekatan Perkasa yang kononnya ultra melayu dalam Umno adalah kekalahan beberapa kerusi di Sabah seperti Parlimen Penampang, Dun Kedamaian dan Dun Tamparuli.

Pemimpin Bn terutama para pemimpin Umno kena mengambil iktibar daripada fakta-fakta yang disebutkan, jika Bn tidak mahu mengalami kata peribahasa Menang sabung kampung tergadai.
 
Pendirian Perkasa yang berkaitan dengan agama merupakan perkara sensitif bagi pengundi Sabah dan Sarawak.  Atas sebab itu, jika Perkasa, masih kelihatan berafiliasi dengan Umno, ada kemungkinan besar, gabungan 13 parti itu akan kehilangan sokongan pengundi bukan melayu di Semenanjung dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Jangan mimpi bagi Bn untuk merampas 82 kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat di Semenanjung, malah pakatan 3 parti itu boleh menambah kerusi. Fikir-fikirkan lah.

Sunday, April 21, 2013

Ibrahim Ali seperti 'ayah' - kata Che Johan

Che Johan Che Pa - calon BN bagi Parlimen Pasir Mas yang tidak menyerahkan kertas pencalonannya pagi tadi - berkata beliau menarik diri bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru, yang akan menyebabkan peluang BN meraih kerusi itu tipis. 

"Saya mengambil langkah untuk menarik diri... lebih-lebih lagi saya akan bertanding melawan Datuk Ibrahim Ali yang juga semua orang anggap seperti ayah dengan anak, sebagai mentor politik. 

"Kalau saya mengambil keputusan meneruskan juga maka kedua-dua kami akan terkorban kalah dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Che Johan berkata walaupun berat hati untuk membuat keputusan sedemikian, namun langkahnya itu demi kepentingan BN dalam usaha merampas kembali Kelantan daripada kerajaan PAS. 

Che Johan berkata beliau sedia berjumpa dengan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjelaskan sebab beliau mengambil tindakan mengejut itu, dan akan menjawab segala persoalan yang dibangkitkan nanti.

Beliau juga meminta supaya semua penyokong BN terus bekerja keras dan memastikan kerusi Parlimen Pasir Mas dimenangi oleh Ibrahim yang didakwanya 'rakan BN'. 

Ibrahim pula berkata beliau terkejut dengan tindakan Che Johan menarik diri dan tidak menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon. 

"Kedudukan ini lebih meyakinkan saya untuk memenangi kawasan itu di samping menumbangkan PAS di kawasan ini," katanya. 

Ibrahim turut menafikan wujud konsprirasi di sebalik keputusan Che Johan untuk menarik diri.

"Saya difahamkan Che Johan hadir ke dewan penamaan calon dengan membawa borang dengan penuh persediaan cuma tidak menyerahkan borang sehingga tempoh penamaan calon tamat," katanya. 

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan Che Johan yang dikenali sebagai 'anak buahnya' dalam politik, terhutang budi dan mahu memberi laluan mudah kepadanya.

Ibrahim memenangi kerusi tersebut pada 2008 atas tiket PAS dengan mengalahkan calon BN Ahmad Rosdi Mahmad dengan majoriti 8,991 undi.- Bernama

Saturday, April 20, 2013

Hasrat Ibrahim Ali Tercapai- Mempertahan Parlimen Pasir Mas

Di luar jangkaan ramai, kerusi Parlimen Pasir Mas menyaksikan pertembungan satu sama satu antara calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali dengan calon PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, anak menteri besar Kelantan. 

Persaingan kedua-duanya disebabkan calon BN untuk kerusi tersebut, Che Johan Che Pa, tidak menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon biarpun hadir sama pagi ini.

Presiden PERKASA mendapat sokongan bulat daripada mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mempertahankan kerusi tersebut. 

BN sebelum ini memilih Che Johan walaupun Ibrahim disebut-sebut bakal terpilih sebagai calon, seperti naib presidennya dalam PERKASA Datuk Zulkifli Noordin.

Ibrahim pada 16 April, hari yang sama selepas BN mengumumkan calon, dengan kecewa akhirnya mengisytiharkan akan mempertahankan kerusi itu sebagai calon bebas.

Justeru, jika berlaku pertembungan tiga penjuru, pemerhati politik berpendapat, keadaan yang berlaku tidak akan menguntungkan BN dan berpotensi memecahkah undi mereka sendiri.

Ia pasti mewujudkan keadaan serba-salah bagi penyokong mereka sama ada mengundi BN atau Ibrahim - wakil rakyat lama mereka yang pro-BN.

Friday, February 01, 2013

Ibrahim Ali bukan ahli Umno, bukan jurucakap Umno: Chedet

Datuk Ibrahim Ali boleh jadi menyokong Umno akan tetapi beliau bukanlah jurucakap parti tersebut, kata penaung Perkasa Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha untuk meredakan ketegangan agama menjelang Pilihan Raya 2013.

Ibrahim yang lantang itu adalah pengasas Perkasa dan presiden yang tercetus akibat ancaman pembakaran bible, terbaru dalam kontroversi “Allah”.

Ibrahim, ahli parlimen sayap kanan Melayu itu, mencetuskan kekecohan minggu lalu apabila beliau dilaporkan menggesa umat Islam agar membakar kitab suci penganut Kristian dalam bahasa Melayu jika menggunakan “Allah” sebagai tujukan kepada tuhan mereka.

“Allah” itu perkataan Arab yang ramai orang Islam di sini percaya hanya eksklusif kepada komuniti mereka.

“Adalah malang Ibrahim Ali perlu mencadangkan membakar bible yang baru dicetak,” tulis Dr Mahathir dalam blog chedet.cc malam tadi. “Itu boleh menjadi cara kita menjauhkan diri dari penerbitan yang tidak diingini. Ia tidak boleh dilakukan kepada Bible sepertimana ia tidak boleh dilakukan kepada Al-Quran.

“Tetapi apa yang Ibrahim katakan tidak mencerminkan pandangan Umno. Malangnya, beberapa ahli politik ingin menjadikannya begitu dalam usaha untuk mendapat keuntungan politik,” bekas perdana menteri itu menambah.

Dr Mahathir, yang masih mempunyai pengaruh besar dalam Umno, dengan cepat menegaskan parti tunjang pemerintah Barisan Nasional (BN) itu percaya “Allah” adalah eksklusif kepada Islam tetapi “ia tidak menyokong pembakaran bible berbahasa Melayu yang menggunakan perkataan ini”.

“Saya menganggap cubaan untuk mengaitkan sokongan Ibrahim kepada Umno bersamaan dengan apa yang beliau katakan adalah pendirian Umno sebagai nakal,” kata bekas presiden parti itu.

“Ibrahim bukan ahli Umno. Beliau boleh menyokong Umno tetapi beliau bukan seorang jurucakap Umno.”

“Walaupun kita boleh mempunyai perbezaan politik, kita tidak perlu mengambil jalan keluar dengan menggunakan perbezaan agama untuk memenangi pilihan raya. Ia adalah pedang bermata dua dan orang-orang yang hidup dengan pedang akan mati oleh pedang.

“Biarkan kontroversi ini diselesaikan secara tertutup oleh orang-orang yang bertanggungjawab. Jangan benarkan pelampau mengambil alih dan mengeksploitasi isu-isu agama,” katanya dan merayu kepada semua pihak untuk menghentikan “penyalahgunaan” mereka dalam isu sensitif ini.

Perdana menteri paling lama berkhidmat selama 22 tahun itu mengingatkan bahawa kontroversi “Allah” telah telah diselesaikan tahun lalu “melalui penerimaan bahawa Kristian Sabah dan Sarawak boleh terus untuk menggunakan perkataan Allah dalam bible bahasa Melayu mereka dan dalam pengajaran tetapi tidak boleh digunakan di seluruh negara”.

Pemimpin berumur 87 tahun itu memainkan peranan penting dalam potensi krisis keimanan daripada meletus apabila pertikaian kalimah “Allah” mula-mula timbul pada awal 1980an — sejurus selepas beliau mengambil alih jawatan perdana menteri.

Umat Islam dan pemimpin Kristian telah bertelagah dalam isu penggunaan kalimah “Allah” walaupun penghakiman Mahkamah Tinggi 2009 memutuskan umat Islam tidak mempunyai hak eksklusif kepada perkataan Arab itu.

Umat Islam adalah kumpulan agama terbesar di Malaysia sebanyak 60 peratus, manakala minoriti Kristian hanya di bawah 10 peratus daripada 28 juta rakyat Malaysia.

Perdebatan timbul semula bulan lalu selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang dalam perutusannya sempena Hari Natal mendesak kerajaan persekutuan agar menarik semula pengharaman terhadap penggunaan kalimah Allah dalam bible berbahasa Melayu.

Monday, January 23, 2012

Ibrahim Ali dilarang masuk negeri Selangor?

Ibrahim Ali (Tengah)
Menteri besar Selangor akan berbincang dengan penasihat undang-undang negeri dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan terhadap Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang mengkritik keras perubahan portfolio agama negeri itu.

Setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin berkata, mereka tidak akan akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap Ibrahim kerana "keceluparan melampau" yang didakwa semata-mata untuk mendapatkan publisiti murahan.

"Bercakap tanpa iman; penuh dendam dan nafsu serakah. Ini merupakan penghinaan kepada seluruh rakyat Selangor yang seharusnya Ibrahim Ali dihalang dari menjejakkan kakinya di negeri berdaulat ini," katanya.

Ibrahim semalam dilaporkan berkata, pengambil alihan portfolio hal ehwal Islam Selangor oleh Khalid bertujuan untuk memberi jalan kepada kegiatan "tidak bermoral" dan memelihara kepentingan kumpulan ahli perniagaan menjelang pilihan raya.

Ibrahim menjelaskan, pemecatan Hasan dan pengambil alihan portfolio berkenaan merupakan "tamparan hebat" kepada PAS, dan menggelarnya "kekalahan untuk Islam dan kemenangan untuk liwat", lapor sebuah portal berita.

Dalam kenyataannya hari ini, Faekah berkata, ungkapan liwat yang digunakan menggambarkan betapa kotornya pemikiran "politikus tua" itu.

"Tindakan Datuk Ibrahim Ali yang cuba menunjuk pandai dengan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Selangor dalam isu pelantikan exco kerajaan negeri yang baharu dan rombakan portfolio hal ehwal Islam jelas menunjukkan beliau seorang ahli politik yang kehabisan modal dan sedang mencuba sedaya upaya untuk menjadikan dirinya masih relevan di arena politik tanah air," katanya.

Faekah juga berkata, kritikan Ibrahim itu merupakan satu penghinaan kepada Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam negeri yang memberi perkenan kepada perkara itu.

"Menuduh bahawa Tan Sri Khalid akan merelakan kegiatan tidak bermoral atas perkiraan politik seolah-olah mempersenda kedua-dua institusi agama tersebut termasuk baginda Sultan.

"Pada perkiraan Ibrahim semua ahli politik akan menggadai maruah demi undi sebagaimana dirinya yang sanggup mengkhianati PAS walaupun parti tersebut mengutipnya setelah dicampak oleh Umno," katanya merujuk kepada kemenangan Ibrahim dalam pilihan raya umum lalu atas tiket PAS.

Sunday, May 15, 2011

Punca penganut bukan islam melakukan tuntutan melampau kerana Anwar: Ibrahim Ali

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali malam tadi memberi komuniti Kristian amaran bahawa beliau akan melancarkan “perang jihad” jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.

Bercakap di hadapan sekitar 200 hadirin pada satu ceramah di Kampung Changkat Gombak, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata, beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.

Meskipun mengadu keletihan ekoran sembilan ceramah bermula dari Kelantan sejak malam kelmarin, Ibrahim juga berkata, darahnya sedang mendidih ekoran laporan terbaru kononnya wujud konspirasi antara pengikut Kristian dengan pemimpin-pemimpin agama dan ahli politik pembangkang.

“Di Kelantan sebelum ini, saya mengisytiharkan di depan polis, saya memberitahu pasukan keselamatan yang hadir bahawa jika mereka mahu menghantar mesej saya kepada (ibu pejabat polis) Bukit Aman, silakan.

“Sila rakamkan kata-kata saya, jika ada mana-mana pihak di Pulau Pinang khususnya paderi-paderi Kristian yang didokong oleh DAP Pulau Pinang, jika mereka terus dengan agenda mereka yang sudah pun diketahui sekarang, saya bersedia untuk menawarkan, jika mereka mahukan perang salib, kami boleh adakan.

“Ini selari dengan semangat Sultan Saladin Ayubi... jika mereka adakan perang salib, kami boleh,” kata ketua pertubuhan bukan kerajaan ini, yang mendakwa bergerak atas platform mahu membela kepentingan dan hak kaum Melayu.

Dalam ucapannya, Ibrahim juga memberi amaran agar bukan Islam tidak memandang mudah sikap berdiam diri umat Islam sambil menegaskan, umat Islam sebenarnya mengutamakan keamanan dan keharmonian.

“Kami sudah bersedia. Berdiam diri bukan bermakna kami takut, kami telah berdiam diri sebab kami utamakan keamanan dan keharmonian.

“Tetapi orang-orang ini, jika mereka merasakan keamanan yang mereka nikmati selama ini tidak cukup atau kestabilan dan kemajuan negara tidak cukup dan mereka mahu melakukan sesuatu yang kita tidak pernah terfikir, teruskan... kami bersedia,” katanya lagi.

Ibrahim mendakwa bukan Muslim kini seolah-olah berani dan tidak risau untuk bertindak sedemikian kerana mereka merasakan ada sokongan daripada ramai Muslim liberal dan pemimpin-pemimpin politik seperti Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Ini pandangan saya. Jika saya tidak tepat, ia hak saya. Jika saya kasar, saya minta maaf. Dosa saya, saya tanggung.

“Tetapi mengapa ini berlaku sekarang selepas 53 tahun? Jawapannya anda tahu, punca utama ialah Anwar,” katanya lagi.

Ucapan Ibrahim kali ini berkisar pada kontroversi terbaru ekoran laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian agama rasmi?” pada 7 Mei lalu, mendakwa paderi-paderi Kristian dan pemimpin-pemimpin DAP berkonspirasi mahu memansuhkan Islam sebagai agama persekutuan dan melantik orang Kristian sebagai perdana menteri.

Pemimpin-pemimpin DAP dan Kristian menafikan kandungan laporan sedemikian.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Kristian Khamis lalu bagi meredakan keadaan, tetapi Ibrahim menegaskan malam tadi bahawa laporan akhbar milik Umno itu adalah betul.

Ibrahim merujuk kepada laporan polis dibuat oleh seorang anggota DAP Islam kelmarin mendakwa dia tahu cerita sebenar apa yang berlaku ketika pertemuan di sebuah hotel di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Mereka menuduh Utusan Malaysia tetapi dari awal lagi, saya mengatakan ia sahih. Ia benar.

“Mengapa? Ini kerana Ahli Parlimen yang hadir pada pertemuan itu adalah Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi. Beliau Ahli Parlimen macam saya dan saya tahu dari lagak dan pertuturan yang dia gunakan,” katanya.

Ibrahim juga mengulangi dakwaannya minggu lalu bahawa anggota bekas Parti Komunis Malaya (PKM) menggunakan kumpulan lokal untuk berkonspirasi menggantikan Islam sebagai agama persekutuan negara ini.

Katanya, penyokong-penyokong PKM telah menyeludup masuk ke dalam parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan agama dan persatuan bisnes selepas ia meletakkan senjata pada 1989 bagi meneruskan aktiviti mereka.

Blog Archive