Showing posts with label Cara Pas. Show all posts
Showing posts with label Cara Pas. Show all posts

Sunday, June 27, 2010

Sombongnya PAS

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad menegaskan, parti itu tidak gentar dengan kemasukan 40 orang yang berlatar belakang agama menyertai Umno.

Katanya, kalau beribu-ribu menyertai Umno pun PAS tidak takut, lebih-lebih lagi yang menyerahkan borang semalam adalah mereka yang tidak diketahui langsung dari mana kedudukan mereka di tengah-tengah masyarakat.

“Saya cuba hubungi rakan di Fakulti Islam UKM untuk bertanya seorang yang masuk menyertai Umno itu pensyarah Fakulti Islam, rakan saya beritahu, beliau pun tidak kenal,” ujarnya.

“Jikalau beliau yang menjadi pensyarah senior di Fakulti Islam UKM pun tidak kenal, macam mana pula Pak Mat di Dabong, Gua Musang dan Mak Minah di Hulu Tembeling Pahang hendak kenal,” ujarnya sinis.

Tegasnya, perjuangan PAS bukan menentang peribadi tetapi menentang dasar Umno.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang memimpin Umno, PAS akan tentang selagi mempertahankan dasar Umno yang membawa perkara munkar dan mengkhianati amanah negara dan rakyat.

PAS, jelasnya tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan Umno parti yang tidak betul.

Beliau berkata, PAS yakin mereka yang berlatar belakang agama dalam Umno tidak ke mana akhirnya kerana hanya akan menjadi kupang tembaga yang digunakan ketika hendak melawan hujah PAS.

“Itu pun bukan secara berdepan. Mereka hanya berani bercakap ketika seorang diri tanpa di pihak lawan. Beberapa kali PAS ajak berdebat sampai hari ini tidak pernah disahut,” katanya lagi.

Tambahnya, PAS juga yakin bahawa Umno bukan tempat untuk orang agama berjuang.

Sekadar menyebut beberapa nama mereka di dalam Umno yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dan pengaruh yang lebih hebat daripada 40 orang yang baru menyerah borang menyertai Umno, beliau bertanya ke mana perginya mereka yang berkenaan.

Antaranya ialah Dr Hamid Othman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA Madinah, Phd UK), Dr Yusof Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad di persada politik umno.

Justeru, ujarnya PAS merasa hairan ketika kapal Umno hendak tenggelam dan penyakit barah Umno sudah sampai kepada peringkat keempat untuk ditalqinkan, tiba-tiba ada mereka yang berlatar belakang agama bersama-sama dengan Umno untuk karam sama.

“Sewaktu anak-anak muda yang memakai subang sebelah dan wanita yang tidak bertudung bersama gerakan untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaaan Pakatan Rakyat, tiba-tiba mereka yang belajar agama boleh bersekongkol dengan Umno.

“Parti yang rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO Yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunei,” katanya.

Tegasnya, PAS yang berpegang kepada dasar Islam, ulama yang muttaqin menjadi rujukan akan terus mara ke hadapan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran.

Friday, May 21, 2010

Disebabkan DAP dan PKR Lemah Maka Pas Sudi Berkerjasama: Nik Aziz

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana parti lawan itu lebih kuat daripadanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pengalaman lepas juga mengajar PAS agar tidak mengulangi kesilapan bekerjasama dengan Umno sebelum disingkir daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

"...kita ditendang begitu sahaja apabila kita tidak diperlukan. Pengalaman itu sudah cukup memberi pengajaran kepada kita, kita tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang lebih kuat daripada kita," kata Nik Abdul Aziz pada kuliah mingguannya, di sini pada Jumaat.

Nik Abdul Aziz berkata PAS mempertimbangkan faktor kekuatan setara itu berasaskan prinsip 'menang-menang' yang hanya boleh dicapai jika kedudukan kedua-dua parti sama kuat.

"Islam mengajar supaya kita bekerjasama dengan pihak lawan, jika kedudukan kita sama kuat barulah kerjasama itu mencapai matlamat, kalau tidak kita mudah ditindas," katanya.

Beliau juga mempertahankan kerjasama PAS dan DAP yang disifatkannya telah banyak membantu masyarakat Cina memahami Islam dan tidak lagi menganggap masyarakat Islam sebagai golongan ekstremis.

DAP juga katanya menerima Islam sebagai asas perjuangan PAS.

Thursday, May 06, 2010

Sindrom Penafian Adalah Cara Pas Mendapat Sokongan

Sindrom penafian seakan-akan sudah sinonim dengan PAS. Ada saja isu-isu yang timbul membabitkan parti politik itu akan segera dinafikan sama ada oleh pemimpin-pemimpin PAS sendiri mahupun oleh akhbar dan media rasmi parti tersebut hatta penulis-penulis blog yang pro kepadanya.

Rentetan beberapa isu di bawah ini menunjukkan bahawa sindrom penafian itu memang wujud di dalam PAS.

Isu 1: Krisis kepimpinan

Krisis yang mula berputik semasa proses pemilihan Muktamar PAS yang lalu bilamana wujudnya “dua kem” yang satunya didokong dan direstui oleh Presiden manakala satu lagi dilihat lebih cenderung kepada Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertembungan antara calon pro-Presiden, Nasharuddin Mat Isa dan Salahudin Ayub dengan “anak didik” kepada Nik Aziz dan Datuk Husam Musa yang menyaksikan calon pro-Presiden itu menang jawatan yang ditandingi, sedikit sebanyak telah memberi gambaran kepada umum bahawa PAS telah diresapi krisis kepimpinan.

Sungguhpun begitu, ia segera dinafikan oleh pemimpin PAS yang mengatakan bahawa mereka mengamalkan konsep musyawarah di dalam sebarang tindakan dan kalah atau menang dalam sesuatu proses pemilihan merupakan perkara biasa di dalam amalan demokrasi.

Sindrom penafian pernah digunakan oleh PAS di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Manek Urai yang lalu apabila telah menafikan wujudnya “krisis” antara Nik Aziz dan Nasharuddin walaupun umum melihat seolah-olah Nasharuddin “dihalang” datang dan berkempen semasa PRK tersebut.

Namun pada saat akhir, Nasharuddin dibenarkan datang dan gambarnya bersama Nik Aziz sedang makan bersama disebarkan untuk menyakinkan pengundi di kawasan tersebut bahawa tiada “krisis” antara keduaduanya. Tenyata taktik itu berjaya menguntungkan PAS yang menang tipis dengan majoriti 65 undi sahaja.

Isu 2: Kerajaan Perpaduan

Isu kerajaan perpaduan dipeloporkan sendiri oleh pemimpin PAS menjelang Muktamarnya yang lalu. Umum melihat isu itu menyebabkan berlaku pertembungan idea antara kumpulan yang inginkan kepada kepentingan perpaduan demi Melayu-Islam, manakala di satu pihak lagi berharap ia tidak direalisasikan demi kepentingan parti dan politik yang sempit meskipun pada masa yang sama, Presiden dan Timbalan Presiden Umno melalui kenyataan yang disiarkan oleh akhbar amat mengalu-alukan, malah “menghulur tangan” demi kerajaan perpaduan yang dilihat mampu memulihkan perpaduan orang Melayu dan Islam serta mengekalkan konsep Ketuanan Melayu.

Apabila berlaku perbezaan pendapat di dalam kepimpinan PAS, maka sindrom penafian ini sekali lagi digunakan dengan menuduh Umno yang mengutarakan isu kerajaan perpaduan itu untuk kembali mendapat sokongan orang Melayu.

Isu 3: Muktamar Agung Khas

Muktamar Agung Khas (EGM) yang dicadangkan oleh Nik Aziz bagi “membersihkan” pemimpin-pemimpin yang pro kepada isu kerajaan perpaduan seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar, sekiranya tidak dilakukan, ia mungkin akan menyebabkan parti PAS berpecah.

EGM pula digunakan untuk mendapat pandangan ahli terutamanya perwakilan bagi mendapat keputusan sama ada menerima atau menolak kerajaan perpaduan dengan Umno.

Bagi menutup isu itu, sekali lagi sindrom penafian digunakan. Pendokong PAS mengatakan isu EGM yang ditulis di dalam blog Nik Aziz (http://www.blogtokguru.com) bukan hasil tulisan Nik Aziz sendiri tetapi orang lain yang menulisnya.

Isu 4: Peletakan jawatan Abdul Ariffahmi sebagai CEO PMBK

Umum telah mengetahui kemelut dalaman yang melanda Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang pada ketika itu diterajui oleh Abdul Ariffahmi selaku CEO yang juga menantu kepada Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan.

Peletakan jawatan itu dilihat oleh PAS sebagai satu keputusan yang berintegriti seperti mana laporan di dalam Harakahdaily, bertarikh 24 November 2009 bertajuk “Keputusan Nik Aziz bukti ketinggian integriti dan moral” yang memetik kenyataan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu sidang media bersama Nik Aziz.

PAS yakin dengan tindakan Nik Aziz mengarahkan peletakan jawatan Ariffahmi itu bukan untuk kepentingan beliau dan keluarga, sebaliknya mengutamakan masa depan dan perjuangan parti dan beliau amat menyanjung tinggi integriti yang ditunjukkan oleh Nik Aziz itu.

Isu 5: Pendedahan Kickdefella

Terkini, isu peruntukan RM4 juta dana yang disalurkan melalui Global Media Channel Sdn. Bhd. (GMC) di dalam operasi gerak saraf (OGS) bertujuan memburuk-burukkan dan melemahkan imej mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan pusat.

Ia juga ditulis untuk mengekalkan kerajaan PAS di Kelantan oleh penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang juga bekas Pegawai Perhubungan Awam PMBK. Pendedahan itu mengejutkan banyak pihak.

Dan seperti mana isu-isu terdahulu, PAS telah secara rasmi menafikan parti itu terlibat melalui kenyataan akhbar yang dibuat oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali yang mengatakan pucuk pimpinan PAS tidak tahu menahu mengenai kewujudan syarikat perunding media, GMC.

Selanjutnya beliau berkata, PAS tidak ada kena mengena dengan pendedahan oleh Syed Azidi dan bukanlah agenda PAS untuk menjatuhkan individu serta memburukkan pemimpin. Kewujudan GMC hanya diketahui selepas pendedahan oleh Syed Azidi.

Menurut Mustafa, tugas PAS adalah untuk menjatuhkan Barisan Nasional dan Umno melalui kaedah demokratik (pilihan raya), bukannya dengan cara menjatuhkan pemimpin tertentu.

Sebaliknya, Syed Azidi mendakwa seperti mana yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 5 Mei 2010 dengan mengatakan penafian PAS mengenai kewujudan GMC adalah untuk melindungi lima individu yang menjadi penyumbang dana sebanyak RM4 juta bagi menjalankan operasi gerak saraf itu.

Di dalam akhbar itu juga dinyatakan, beliau yakin Mustafa mengetahui soal GMC kerana beliau pernah merasmikan seminar mengenai media di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur pada 2007 bagi mewakili GMC.

Sehingga kini, siasatan telah dan sedang dilakukan oleh SPRM. Sekiranya pendedahan oleh Syed Azidi itu tidak benar, seharusnya PAS mengambil tindakan mahkamah terhadap penulis blog itu bagi membersihkan imej parti itu.

Apapun, pada hakikatnya, PAS adalah juga sebuah parti politik yang mempunyai matlamat yang sama dengan lain-lain parti politik untuk memenangi pilihan raya dan berusaha membentuk kerajaan.

Daripada sekelumit isu yang dinyatakan di atas, tidak mustahil ia berlaku di dalam sebuah parti politik, tetapi demi survival parti, PAS sering mengamalkan sindrom penafian semata-mata untuk mengaburi rakyat dan berselindung di balik nama PAS itu sendiri. Rakyat seharusnya bijak menilai yang mana kaca dan mana pula permata! — Utusan Malaysia

Blog Archive