Saturday, November 11, 2023

KATAK POLITIK MASIH MENGHANTUI POLITIK TANAH AIR

ARENA politik negara kembali menghangat apabila empat Ahli Parlimen daripada BERSATU mengumumkan secara terbuka menyokong Datuk Seri Anwar Ibahim sebagai Perdana Menteri.

Tindakan empat ahli Parlimen berkenaan mengejutkan, dikala dikatakan parti bersiap sedia bersama rakan komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk mengambil alih pentadbiran negara sejak Ogos lalu.
Malah kedudukan Anwar kini, dilihat semakin kukuh melalui sokongan tersebut, meskipun sebelum ini hilang sokongan majoriti dua pertiga apabila bekas Presiden MUDA, Syed Sadidiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar menarik sokongan Kerajaan Perpaduan pada September lalu, sebagai protes DNAA Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menganggotai kabinet Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Meskipun tindakan empat Ahli Parlimen BERSATU tersebut mampu memperkukuhkan dan mengekalkan kestabilan politik negara dan Kerajaan Perpaduan, tindakan berkenaan secara tidak langsung memperlihatkan kelompangan yang wujud dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang wakil rakyat bertukar parti sehingga menjejaskan peranan parti mengawal wakil rakyat mereka.

Dalam konteks sistem politik negara hari ini, belum ada jaminan mana-mana parti bebas daripada pengkhianatan, kerana masih terdapat wakil rakyat gagal menjiwai politik taat, setia selari dengan falsafah perjuangan parti yang mereka wakili.

Hal ini memperlihatkan DNA “katak politik” masih terdapat dalam kalangan segelintir ahli politik seperti mana ditonjolkan menerusi tindakan empat wakil rakyat BERSATU.

Justeru, kelemahan dan kelompangan masih terdapat dalam akta ini perlu diperbaiki bagi memastikan DNA katak politik dihapuskan dalam kalangan wakil rakyat daripada semua parti.

Walaupun wakil rakyat terbabit menyatakan mereka masih ahli parti dan setia kepada perjuangan parti, terpaksa bertindak untuk kepentingan rakyat, ungkapan itu sekadar janji palsu cuba mengaburi mata rakyat bagi menghalalkan tindakan mereka mengalih sokongan.

Pihak yang disokong tidak seharusnya bergembira, kerana mereka juga tidak dapat lari daripada risiko pengkhianatan dalaman.

Nampaknya pengkhiantan terhadap pengundi masih berlaku. Undang-Undang Antilompat yang dikatakan boleh menjadi kunci pada pengkhiantan, ternyata dijadikan mainan, seolah-olah akta itu tidak berfungsi langsung.

Jelas, apabila masih terdapatnya budaya/DNA katak, tiada undang-undang yang boleh menyekat. Apa yang boleh menyekat adalah integriti, prinsip dan taat-setia pada perjuangan.

No comments:

Blog Archive