Tuesday, July 04, 2023

ISU AIR: SABAH MASIH MENUNGGU RM320 JUTA YANG DILULUSKAN PERDANA MENTERI

PADA 1 Jun, Perdana Menteri dengan “tegas” meluluskan RM320,250,000.00 untuk menyelesaikan masalah air yang sangat kritkal di Sabah yang merangkumi 20 projek untuk 9 daerah dalam jangka pendek.

Malangnya sehingga kini peruntukan itu belum diterima. Kelambatan menerima peruntukan itu dikhuatiri memperburuk lagi keadaan, kerana tujuan peruntukan itu untuk mengganti paip-paip usang punca Non Reveniue Water (NRW) yang tinggi yang memberi kesan bekalan kepada pengguna.

Tidak diketahui punca kelambatan penyaluran dana Persekutuan tersebut, sedangkan menurut Menteri Kerja Raya Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri III- Datuk Ir Shahelmey Yahya, bahawa Jawatan Kuasa Teknikal telah dua kali bermesyuarat memperhalusi kaedah penyaluran peruntukan tersebut.

Oleh kerana dana yang sangat diperlukan masih belum diterima, Sabah menerusi Jabatan Air Sabah (Kementerian Kerja Raya Sabah) hanya boleh bertindak untuk menstabilkan bekalan, agar bekalan kepada pengguna tidak mengalami gangguan dengan masa yang lama.

Penulis salah seorang pengguna yang kerap berhadapan dengan gangguan bekalan, hanya semalam, selama 8 jam bekalan terputus, tidak seperti selalunya lebih 24 jam.

Bagi hemat penulis, sesuatu peruntukan yang diumumkan sendiri oleh pemimpin nombor satu negara, sepatutnya, para pegawai yang terlibat mengurusnya bertindak cekap dan cepat.

Tindakan cepat dan cekap, boleh mengurangkan kerugian daripada segi masa dan tentunya kutipan hasil yang sudah diketahui menguap begitu sahaja, atas sebab masalah yang sudah dikenalpasti tidak dapat diselesaikan dengan segera.

Jawatan kuasa teknikal perlu bertindak cepat, kerana masa sangat suntuk, memandangkan telah memasuki suku keempat, dan seperti biasa hujung tahun, angin monson bertiup yang boleh menyebabkan kerja-kerja terhenti, kerana cuaca termasuk banjir.

No comments:

Blog Archive