Monday, May 08, 2023

TIDAK SEMESTINYA PEMIMPIN PARTI DAPAT SOKONGAN RAKYAT

MENURUT Datuk Bung Moktar Radin, mereka yang menang PRU dan PRN enggan bersama kepimpinan dipersilakan keluar, kerana masih ramai yang layak dan setia menjadi pemimpin parti.

Apa yang Bung kata itu benar dalam konteks parti, bukan dalam konteks pemimpin yang menjadi pemimpin parti juga mendapat sokongan rakyat.

Kekuatan seseorang pemimpin, bukan sahaja kerana memimpin parti, akan tetapi yang paling penting rakyat secara umum menyokong.

Ramai pemimpin parti, apabila bertanding dalam pilihan raya, selain tidak menang hilang wang pertaruhan.

Ketegasan dalam pemimpin memang perlu, akan tetapi ketegasan itu perlu bertempat dan sesuai dengan keadaan.

Penulis percaya, Bung membuat hujah itu merujuk pada beberapa ADUN atau ahli parlimen Umno yang tidak akur dengan tindakan Pengerusi Umno Sabah itu menarik sokongan daripada Kerajaan GRS untuk berkerjasama dengan Parti Warisan untuk menubuhkan kerajaan baharu negeri pada awal Januari lalu.

Para wakil rakyat tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana menghormati keputusan rakyat yang memberi mereka mandat, kerana semasa PRN ataupun PRU itu, walaupun mereka daripada parti Umno akan tetapi mendapat sokongan daripada GRS.

Bagi mereka yang tidak akur dengan kepimpinan merasakan adalah tidak wajar bekerjasama dengan parti lawan untuk menyingkirkan kawan.

Rakyat akan menilai sendiri, tentunya bukan ahli parti yang taksub pada pemimpin, bagai mana pemimpin yang khianati mandat yang diberikan rakyat.

Akan dilihat nanti pada PRN-17 Sabah, sejauh mana kekuatan Umno kerana perlu bersaing dengan GRS terutama Gagasan Rakyat di kawasan-kawasan tradisi parti itu.

Gagasan Rakyat walaupun belum teruji akan tetapi di lapangan atau peringkat akar umbi mendapat sokongan.

Memang benar Umno kelihatan masih relevan, atas sebab keahlian di atas kertas melebihi setengah juta, jika separuhpun keluar, tidak menyebabkan cawangan-cawangan terbubar.

Latar belakang parti politik Sabah, apabila sesebuah parti yang menerajui kerajaan ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya, maka parti itu akan terus ditolak kecuali mengubah haluan dan strategi.

Pengalaman PBS mengajar mana-mana untuk kekal relevan, kerana semasa parti itu ditolak rakyat pada PRN Tahun 1999, membuat keputusan untuk bergabung dengan Barisan Nasional pada tahun 2002. Selepas PRU-14, bergerak solo, walaupun bekerjasama dengan GRS secara separa pada PRN-16 dan kini bersama GRS sebagai salah satu parti pengasas penubuhan Gabungan.

No comments:

Blog Archive