Friday, February 24, 2023

40% HAK SABAH TIDAK DIBAYAR- HAMPIR SETENGAH ABAD SABAH KEHIIANGAN KUASA KEMERDEKAAN: JEFFERY

SETELAH sekian kali Datuk Dr Jeffrey Kitingan membangkitkan isu bayaran 40% hak-hak Sabah menerusi Perlembagaan Negara, pada Khamis sekali lagi beliau membangkitkanya di Dewan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Keningau tersebut, sepatutnya setiap 5 tahun Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan semakan kewangan berkaitan bayaran tersebut, akan tetapi tidak dilaksanakan sejak tahun 1974.

Faktanya semakan berkaitan bayaran tersebut dipengerusikan oleh Tun Dr Ismail Abdul Rahman selaku Timbalan Perdana Menteri, akan tetapi, apabila Timbalan Perdana Menteri tersebut meninggal dunia, seolah-olah semakan tersebut ikut bersama beliau.

Bayaran 40% daripada hasil bersih kutipan hasil Persekutuan daripada Sabah, sangat signifikan sebagai sumber kewangan bagi negeri, untuk mempermudah membangun kemudahan-kemudahan asas bagi keperluan rakyat negeri itu.

Jika lah bayaran hak itu tidak tertangguh sekian lama, tidak lah kemudahan-kemudahan asas atau infrastrukutur di negeri di bawah bayu itu begitu ketinggalan dan daif.

Pada hakikatnya, tidak semua kesilapan itu diletakkan di tangan pemimpin Persekutuan, ianya juga perlu diletakkan sebahagian kesilapan tersebut di tangan pemimpin Sabah sendiri, yang mengadopsi atau menerima kaedah pecah dan perintah, apabila sanggup berkolaborasi dengan pemimpin Persekutuan untuk tidak menyemak hak kewangan tersebut hampir setengah abad.

Suatu ketika lalu, mana-mana pemimpin Sabah bercakap berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau 40% hak kewangan dianggap sebagai anti Persekutuan, malah ada pemimpin yang ditanggap menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada masa itu, sebelum akta itu dimansuhkan semasa era Kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Kini selepas sebahagian besar rakyat Sabah menyedari, betapa mereka kehilangan peluang kuasa kemerdekaan hampir setengah abad, rata-rata pemimpin Sabah bagi pihak rakyat, bersuara dan bertindak menggunakan berbagai strategi agar apa yang terkandung dalam MA63 direalisasikan, dan rundingan berkaitan hak-hak 40% berterusan untuk dicapai kesepakatan dan dimuktamadkan.

Sabah memerlukan peruntukan kewangan jauh lebih besar berbanding geran khas berjumlah RM260 juta bagi tahun 2023 dan peruntukan pembangunan berjumlah RM6.3 bilion bagi tahun yang sama, apabila mengambilkira keadaan infrastruktur dan kemudahan asas yang ada di negeri tersebut berbanding Wilayah Semenanjung.

No comments:

Blog Archive