Friday, February 24, 2023

SEJAUH MANA TEROBOSAN GAGASAN RAKYAT?

PADA 2 Mac depan parti baharu bagi Sabah Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat akan dilancar di Kota Kinabalu.

Pelancarannya akan disempurnakan oleh Presiden parti itu yang juga Ketua Menteri Sabah.

Walaupun baru dilancar akan tetapi telah ada 24 wakil rakyat bersamanya, yang terdiri daripada mantan-mantan wakil rakyat parti Bersatu, Umno dan Warisan.

Parti Gagasan, pada hakikatnya telah diterima sebagai salah satu komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Disember tahun lalu.

Parti baharu yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada hakikatnya adalah jawapan kepada kemelut politik apabila ada dakwaan daripada Presiden Parti Warisan, Pengerusi Perhubungan Umno Sabah dan Presiden Parti KDM, bahawa Hajiji kehilangan keabsahan sebagai Ketua Menteri kerana tidak berparti apabila Pengerusi GRS tersebut bersama wakil rakyat Bersatu mengumumkan keluar daripada parti itu pada 10 Disember tahun lalu.

Ekoran dakwaan tersebut, Bung bersama 12 ADUN Umno menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri pada 6 Januari.

Pada perancangan awal Bung, Datuk Shafie dan Peter Anthony, mereka boleh menumbangkan kerajaan negeri, kerana secara bersama-sama mempunyai 40 ADUN daripada 79 ADUN Sabah, akan tetapi perancangan mereka itu gagal, apabila 5 ADUN Umno memilih mempertahankan status quo sesuai dengan keputusan rakyat Sabah pada PRN-16 Sabah September 2020.

Pada 10 Januari 2023,menerusi Sidang Khas DUN Sabah, kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri dan ketua kerajaan diabsahkan apabila mendapat sokongan 44 ADUN.

Ekoran kegagalan menggulingkan kerajaan tersebut, kedudukan Hajiji semakin kukuh, apabila mendapat sokongan 3 ADUN Parti Warisan yang keluar daripada parti mereka, kemudian disusuli tindakan pusingan U oleh 3 ADUN PKDM dan seorang ADUN Umno yang keluar daripada parti, dan seorang ADUN Umno yang berpisah dengan kumpulan Bung, akan tetapi masih kekal sebagai ahli Umno.

Hanya kurang dua bulan Hajiji bersama kerajaan yang dipimpin hampir kehilangan sokongan majoriti, tetapi menjelang dilancarkan parti baharu- Gagasan Rakyat, sebagai platform perjuangan Ketua Menteri tersebut, beliau mendapat sokongan 52 ADUN, hanya memerlukan seorang lagi untuk menepati kuasa 2/3 di DUN Sabah.

Ada lah hakikat, Gagasan Rakyat belum teruji menerusi pilihan raya, kerana itu, akan dinilai sejauh mana terobosan parti itu di peringakat akar umbi.

Keupayaan menerobos akar umbi atau rakyat akan sangat bergantung, pada pemimpin yang bakal dilantik sebagai penaja di peringkat bahagian.

Parti itu menggunakan kawasan Dun sebagai bahagian, dan jika berpandukan pada jumlah Dun, maka akan dilantik 73 ketua bahagian pada hari pelancaran parti itu.

Mudah diramal, mereka yang berstatus wakil rakyat di Dun masing-masing bakal dilantik sebagai Ketua bahagian penaja, manakala di kawasan-kawasan lain sudah tentunya akan dilantik mereka yang berklibar dan difikirkan boleh menggamit sokongan akar umbi.

Cabaran utama parti baharu, “do it right the first place”, kerana kesilapan awal, boleh menjadi kelemahan.

Disadari, memang ramai yang melobi menjadi Ketua Bahagian, kerana pertimbangan mereka, bahawa parti diketuai oleh Ketua Menteri.

Perlu diingat, parti itu merupakan komponen GRS, yang mana parti-parti yang lama mempunyai Ketua Bahagian di masing-masing kawasan. Ketua Bahagian yang mewakili parti baharu itu, bukan sahaja diterima atau disambut rakan komponen, akan tetapi juga perlu menjadi katalis pada kekuatan.

Jangan sesekali berlaku, kehadiran parti baharu di setiap DUN, ada antara pemimpin parti komponen merasa terancam, apa tah lagi jika berlaku ‘cross the floor’ antara ahli, kerana memang, ianya akan berlaku.

Parti baharu ini, selain disertai mereka yang tidak berparti, juga oleh mereka yang keluar daripada parti masing-masing seperti mana tindakan sekumpulan pemimpin dan ahli Umno Parlimen Kinabatangan yang diketuai Datuk Juhari Janan yang keluar beramai-ramai lalu menyertai Gagasan Rakyat.

No comments:

Blog Archive