Menyoroti perjalanan PRU15, tarikh 19 November 2022 membuktikan ibu segala pilihan raya itu menjadi medan penjajaran politik baharu dengan pelbagai kejutan serta keputusan diambil demi kestabilan politik negara.
Perjalanan PRU15 bermula dengan pengumuman pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sekali gus menoktahkan tanda tanya dan desakan dari partinya sendiri menginginkan PRU diadakan segera.
Ismail Sabri turut menyarankan semua negeri kecuali Sabah, Melaka dan Johor untuk bersama membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.
DUN Sabah, Melaka dan Johor belum mencapai tempoh matang berikutan baharu melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum itu.
Namun, hanya Perlis, Perak dan Pahang menuruti pembubaran itu, manakala Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang ditadbir Pakatan Harapan (PH) serta Terengganu, Kelantan dan Kedah dipimpin Perikatan Nasional (PN) enggan berbuat demikian dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi bencana banjir.
Dengan proses penamaan calon ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 November 2022 dan pengundian awal pada 12 November 2022, PRU15 'meriah' dengan pelbagai kejutan, terutama dalam kalangan parti bertanding.
Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tampil dengan kejutan apabila menggugurkan beberapa tokoh besar parti itu daripada bertanding, antaranya penyandang kerusi (Tanjung Karang), Tan Sri Noh Omar; Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) serta digantikan dengan muka baharu. Penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bertanding di Parlimen Sungai Buloh.
Keputusan itu mengakibatkan berlaku pergolakan dalaman UMNO susulan kekecewaan penyokong parti dengan tindakan parti tidak mencalonkan semula pemimpin berkenaan.
Bagaimanapun Shahidan dan seorang lagi pemimpin UMNO digugurkan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Maran) meneruskan perjuangan politik mereka dengan bertanding menggunakan tiket parti lawan iaitu PN (gabungan BERSATU, PAS dan GERAKAN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus tergugur keahlian mereka dalam UMNO.
Pakatan Harapan (PH) turut mengambil pendekatan serupa dengan menampilkan beberapa muka baharu untuk dipertaruhkan pada gelanggang PRU15 apabila nama besar seperti penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago, Wong Tack (Bentong), R Sivarasa (Sungai Buloh) tidak dicalonkan semula.
PH juga menyaksikan pertukaran serta perpindahan kerusi membabitkan beberapa pemimpin gabungan itu antaranya Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpindah kawasan dan bertanding di Parlimen Tambun bagi berdepan pemimpin nombor dua BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pula membuat kemunculan semula dan bertanding di kerusi lamanya Parlimen Pandan menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berpindah ke kerusi Bandar Tun Razak.
Tempoh berkempen selama dua minggu ditetapkan SPR digunakan sepenuhnya oleh semua parti bertanding menawarkan manifesto masing-masing bagi menambat dan meraih sokongan rakyat, tidak kurang juga perbuatan memburukkan parti lawan dengan pelbagai 'nama dan gelaran' yang melatari kempen pilihan raya.
PRU15 juga menyaksikan tarikh pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman terpaksa ditangguhkan ke 7 Disember 2022 susulan kematian calon disahkan bertanding iaitu M Karupaiya dari PH bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili PN di DUN Tioman.
Kejutan paling utama PRU15 ialah pada malam 19 November 2022 apabila SPR memaklumkan tiada parti bertanding merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang serta Perak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (74), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat enam kerusi.
Parti Warisan (WARISAN) (3), Bebas (2), dan masing-masing satu kerusi dimenangi MUDA, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta Parti Bangsa Malaysia (PBM) sekali gus tiada parti melepasi angka 112 majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Keputusan itu juga menjadi rekod terburuk dalam sejarah bagi BN apabila hanya menang 30 kerusi berbanding 79 kerusi pada PRU14 bersama komponen dari Sabah dan Sarawak. Pada PRU14, UMNO menang 54 kerusi tetapi pada PRU15 hanya menang 26 kerusi.
Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kalah di semua 121 kerusi Parlimen ditandingi parti itu termasuk hilang wang pertaruhan.
Selain Dr Mahathir gagal mempertahankan kerusinya di Langkawi dan anaknya merangkap Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jerlun, beberapa nama besar turut tersungkur antaranya Khairy yang mewakili BN tewas kepada calon PH, Datuk R Ramanan di Parlimen Sungai Buloh.
Pemimpin veteran UMNO yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah gagal mempertahankan kerusi Gua Musang; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir tewas di Lumut dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kalah di Grik.
PH pula menyaksikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tewas di kerusi Kulim Bandar Baharu manakala Nurul Izzah Anwar gagal mempertahankan kerusi tradisi PKR di Permatang Pauh.
Tidak ketinggalan, beberapa pemimpin PN turut mengalami nasib serupa antaranya Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU gagal mempertahankan kerusi Tambun selepas tewas kepada Anwar, manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kalah kepada bekas anak muridnya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di kerusi Gombak.
Di Sabah pula, seorang Presiden Parti, menjadi mangsa PRU-15, iaitu Presiden PBS yang mewakili GRS di Parlimen Kota Marudu, kawasan tradisi parti itu. Kekalahan itu adalah kali ke-2 seorang presiden parti itu kalah dalam pilihan raya, pertama pada PRU-14, apabila persiden pertama kalah.
Bagaimanapun PN yang bertanding buat kali pertama dalam gelanggang PRU15 berjaya mencipta kejutan apabila menguasai sebahagian besar kawasan kepunyaan BN dengan menyapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu, Kelantan dan Perlis selain menang besar di Kedah.
PN turut merampas penguasaan kerajaan negeri di Perlis daripada tangan BN buat kali pertama apabila memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN dipertandingkan.
Sementara itu, DUN Pahang dan Perak pula tergantung apabila tiada parti meraih majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan. Keputusan di Pahang menyaksikan BN hanya memenangi 17 kerusi, PN (17) dan PH (8), manakala di Perak, PN meraih 26 kerusi diikuti PH (24) dan BN (9). Akhirnya PH dan BN bekerjasama bagi membentuk Kerajaan Perpaduan di Perak serta Pahang.
Paling mengejutkan, keputusan PRU15 menyaksikan tiada mana-mana gabungan atau parti memperoleh majoriti untuk menubuhkan kerajaan.
Namun, atas semangat kestabilan dan kemakmuran selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada pihak yang menang semua serta tiada pihak kalah semua, negara menyaksikan penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan parti politik yang dahulunya seteru bergabung membentuk kerjasama
Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri merangkumi gabungan parti politik iaitu PH, BN, GPS, GRS, WARISAN, Bebas, KDM dan PBM.
Negara juga buat kali pertama menyaksikan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan, diisi Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
PN pula memilih untuk berada di blok pembangkang bagi memainkan peranan semak dan imbang walaupun dijemput menyertai Kerajaan Perpaduan.
Biarpun PRU15 sudah melabuhkan tirainya, perjalanan pilihan raya sudah semestinya akan tertumpu kepada enam negeri yang akan melaksanakan PRN pada tahun depan.
Ia juga akan menjadi medan untuk melihat sejauh mana sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan yang disertai pelbagai gabungan parti politik atau menjadi platform PN meluaskan pengaruh mereka.
No comments:
Post a Comment