Thursday, December 08, 2022

KEPUTUSAN PARLIMEN PADANG SERAI DAN DUN TIOMAN- KESAN KERAJAAN PERPADUAN BELUM MENYERLAH

ANTARA kesimpulan yang boleh dibuat pada keputusan Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, adalah apabila peratusan keluar mengundi melebihi 60 peratus, sokongan berpihak pada Perikatan Nasional (PN), jika sebaliknya berpihak pada Barisan Nasional (BN) seperti mana berlaku di PRN Melaka dan Johor.

Di Parlimen Padang Serai, dengan peratusan keluar mengundi menghampiri 70 peratus, maka calon PN bukan sahaja merampas kawasan itu daripada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kawasan tersebut sejak tahun 2008 menerusi calon PKR, akan tetapi menang dengan majoriti besar, hampir 2 kali ganda berbanding PRU-14.

Manakala di DUN Tioman, kerana peratusan keluar mengundi kurang 55 peratus, maka calon BN berjaya mempertahankan DUN tersebut yang berdekad dimenangi parti itu, walaupun dengan majoriti yang amat menurun.

Kesimpulan berikutnya, gelombang sokongan pada PN belum reda, walaupun dengan jelas parti itu bukan peneraju kerajaan Persekutuan.

Kesimpulan ke-3, nampaknya kerjasama PH dan BN belum berkesan, dan belum diterima pengundi.

Selepas keputusan semua 222 kawasan parlimen diketahui kedudukan masing-masing parti adalah- PH-82, PN-74, GPS-23, GRS-6 dan 7 parti-parti lain.

Di Semenanjung daripada 165 kerusi parlimen kedudukan antara PH dan PN seimbang, masing-masing memiliki 71 kerusi, baki 23 kerusi dimiliki BN.

Akan tetapi di masa hadapan, senario akan berbeza, jika kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan campuran yang dinamakan Kerajaan Perpaduan, diperkasakan, terutama berhadapan pilihan raya untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dengan PN.

Samada gelombang sokongan pada PN berterusan sekali lagi diuji pada 6 PRN tahun hadapan. Demikian juga kesan KERAJAAN PERPADUAN akan diuji pada PRN tersebut.

No comments:

Blog Archive