Friday, October 07, 2022

TIDAK TERBABIT SITUASI POLITIK SEMENANJUNG-ASAS KERJASAMA GRS-BN SABAH

WALAUPUN berbagai pihak cuba mengeruhkan hubungan antara GRS-BN Sabah dengan membangkitkan situasi politik Semenanjung, akan tetapi pemimpin dua blok parti itu tetap pada pendirian, mengekalkan kerjasama, bukan sahaja sebagai tunjang pada Kerajaan Sabah, akan tetapi pada PRU-15 yang hanya membabitkan Parlimen dan DUN Bogaya di Sabah.

Jika meneliti kenyataan Pengerusi GRS, Pengerusi BN Sabah dan Setiausaha Agung GRS, hubungan GRS-BN Sabah bukan setakat mengelak pertembungan pada PRU-15, akan tetapi akan menonjolkan kerjasama dalam agihan kerusi dengan mengutamakan, calon yang mempunyai kebarangkalian tinggi untuk menang.

Dua blok parti itu akan berhadapan saingan Parti Warisan Sabah di kawasan bumiputera, manakala di kawasan kaum cina, Pakatan Harapan (PH).

Di kawasan Bumiputera, kawasan seperti Kota Belud, Sepanggar, Putatan, Penampang, Papar, Tenom, Batu Sapi, Lahad Datu (dulu Silam), Semporna dan Kalabakan, hanya calon daripada dua blok parti itu yang mempunyai kebarangkalian tinggi untuk menang perlu dipilih untuk dicalonkan.

Antara dua parti tersebut, tidak boleh berpuas hati kerana salah satu diberikan laluan bertanding, akan tetapi, pemilihan calon perlu menjadi keutamaan, memandangkan kecenderungan pengundi di kawasan-kawasan tersebut, condong pada calon yang bertanding. Jangan mengulangi kesilapan pada PRN-16 Sabah, atas sebab kehendak tinggi menjadi calon pada kawasan-kawasan tertentu, sehingga gagal mengukur baju di badan sendiri.

Bagi parlimen lain seperti Kudat, Kota Marudu, Tuaran, Ranau, Kimanis, Sipitang, Beaufort, Libaran, Beluran, Kinabatangan, Pensiangan dan Keningau, agak mudah bagi dua parti itu memilih calon yang mempunyai kebarangkalian tinggi menang, selain disandang oleh dua parti tersebut, akan tetapi kekuatan dua parti itu lebih menonjol berbanding parti Warisan ataupun PH.

Bagi parlimen majoriti kaum cina, seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, dua parti itu, perlu memilih calon yang boleh diterima generasi muda, calon yang dinamik, menonjol, selain sebagai aktivis kerana ciri-ciri itu lah yang diminati, pengundi kawasan-kawasan tersebut.

Secara umumnya, bagi pandangan penulis, dua blok parti itu, di kawasan bumiputera, semestinya meletakkan calon-calon yang boleh menang, diterima pengundi, disukai pengundi, termasuk mereka yang mahu “comeback”dan juga mereka yang mempunyai kedudukan ADUN.

Dua parti itu perlu mempertimbangkan pemimpin yang mempuyai rekod di kawasan-kawasan tertentu yang kini tidak lagi menjadi wakil rakyat atau memegang jawatan parti, akan tetapi masih dipandang tinggi di kawasan yang pernah diberi perkhidmatan.

Apa yang penting, bagi dua blok parti itu, jangan terjebak mencalonkan calon-calon yang hanya muncul seperti cendawan selepas hujan, pandai berlakon, dan hanya mementingkan jawatan, kerana penulis melihat kehadiran mereka memegang jawatan-jawatan politik pada kerajaan GRS-BN Sabah pada masa ini, sedangkan, kelibat mereka sebelum ini, terutama selepas PRU-14, HILANG TANPA DIKESAN.

No comments:

Blog Archive