Thursday, October 27, 2022

RAKYAT SABAH PERLU SEDAR HANYA BERSATU SAHAJA MENJADI KEKUATAN

SEPATUTNYA rakyat Sabah telah sedar, bahawa hanya bersatu sahaja menjadi kunci kekuatan. Dalam arena politik negara, Sabah hanya diwakili 25 ahli parlimen daripada 222 keseluruhan ahli Dewan Rakyat.

Jumlah ahli dewan rakyat yang berjumlah 25 orang, hanya 11.3% daripada keseluruhan. Jika jumlah ini datangnya daripada sebuah blok parti atau kerjasama antara blok-blok parti, maka boleh menjadi kekuatan, malangnya, sudah lah sedikit berpecah lagi, berpuak-puak lagi.

Meminjam kata-kata Ketua Menteri Sabah- Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Sabah tak berdaya jika tidak bersatu.

Rakyat Sabah bakal dipecah-pecah lagi menerusi PRU-15 kali ini, apabila berbagai blok parti memanfaatkan pesta demokrasi dengan bertanding untuk memaksa rakyat saling berpecah, apabila meminta rakyat menyokong parti masing-masing.

Rakyat Sabah pada hakikatnya telah memutuskan parti yang perlu memerintah negeri adalah GRS-BN, akan tetapi keputusan rakyat itu dicabar pada PRU ke-15 ini, seolah-olah tidak percaya pada keputusan rakyat Sabah pada PRN-16 September 2020.

Bukan sahaja parti-parti lain yang mencabar keputusan rakyat Sabah yang memberi mandat pada GRS-BN, akan tetapi ada wakil rakyat GRS dan setiausaha politik yang yang mewakili GRS menolak kehendak rakyat Sabah, apabila keluar parti dan bertanding melawan calon-calon dua parti itu.

Tindakan mereka ini, tidak mahu Sabah kuat, sebaliknya mahukan menjadi lemah, agar mudah diperkotak-katikan.

Kepada rakyat Sabah, jangan terpengaruh pada agen-agen yang mahu melemahkan kekuatan politik Sabah, kerana jika ianya berlaku akan merugikan kita semua.

Rakyat negeri ini perlu ingat dan menyemat di dada masing-masing, hanya menerusi kerajaan negeri yang diterajui GRS-BN julungkalinya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimasukkan dalam Perlembagaan Negara, dan pada era dua parti itu sahaja, Sabah kembali sebagai salah satu daripada tiga Wilayah membentuk Persekutuan Malaysia.

Juga rakyat Sabah jangan lupa, pada era kerajaan GRS-BN sahaja, SST 5% daripada jualan minyak dan gas yang dikeluarkan daripada perut bumi negeri dicampur dengan 5% bayaran tunai daripada Petronas terealisasi.

komitmen tinggi daripada dua blok parti ini, adalah sandaran rakyat Sabah mendapatkan seluruh Hak-Hak Rakyat negeri seperti mana dalam MA63, sedangkan parti-parti lain juga pernah menjadi kerajaan, akan tetapi hanya memberi harapan, harapan setinggi langit, tetapi hasilnya semua kosong belaka.

Selain itu juga, rakyat negeri perlu benar-benar belajar semasa Parti Warisan menjadi kerajaan, walaupun untuk tempoh singkat, akan tetapi kesan negatifnya pada rakyat dan negeri sungguh luarbiasa. Antara kesan negatif tersebut dalam tempoh itu pertumbuhan ekonomi daripada positif 8.7%, terus menjunam ke negatif 9.5%, bukan itu sahaja, pertambahan pengundi cukup luar biasa.

Rakyat Sabah perlu menelaah dengan teliti maksud “reset Sabah” pendekatan baharu parti berlambangkan perahu layar tersebut. jika ianya berlaku, kita semua perlu bersedia, hanya menjadi penumpang di negeri sendiri. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive