Monday, October 10, 2022

PRU-15 MUSIM BANJIR PENGHALANG TITIK PERUBAHAN POLITIK TANAH AIR

KEPUTUSAN melibatkan pengundi baharu, khususnya pengundi automatik dan undi-18 pada PRU-15 sebagai titik perubahan (game changer) politik tanah air tidak kesampaian, memandangkan kemungkinan besar pilihan raya kali ini diadakan pada musim tengkujuh/banjir, selain musim sekolah dan kuliah.

Contoh kecil, 5 anak penulis, yang termasuk pengundi pertama kali, tidak dapat menunaikan tanggungjawab pada pesta demokrasi kali ini, kerana berjauhan dengan Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing. Penulis yakin, sebahagian daripada hampir 7 juta pengundi dalam kategori ini juga berhadapan dengan keadaan yang sama.

Bersandarkan pada pengundi matang, dan diperkecil lagi hanya ahli dan penyokong tegar parti-parti politik menyertai pesta demokrasi kali ini, maka tiada sesiapa yang boleh menghalang kemenangan parti yang mempunyai ahli dan penyokong tegar teramai. Parti yang mempunyai simpanan undi, tidak lain tidak bukan adalah parti-parti lama, seperti Umno, Pas dan DAP.

Jika pada PRU kali ini, hanya pengundi matang menunaikan tanggungjawab, maka tidak mustahil, status quo keputusan PRU sebelum PRU-14 akan berulang.

Seperti mana yang kita semua maklum sehingga PRU-13, Umno-BN lah yang menang. Pada PRU kali ini, walaupun tanpa parti-parti daripada GPS Sarawak, Umno-BN di semenanjung, bakal mengulangi pencapaian seperti mana PRU-13 dan mungkin PRU-12.

Tidak mudah bagi mana-mana parti menghalang pengundi simpanan Umno-BN menyokong mereka, seperti mana berlaku pada PRN Melaka dan Johor, walaupun menyerang  pemimpin parti itu yang termasuk dalam kluster mahkamah.

Memang tidak dapat ditolak, parti-parti yang melawan Umno-BN akan menang beberapa kerusi, akan tetapi kerusi itu hanya terhad pada pemimpin utama atau penyandang yang sekian lama menjadi wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Memandangkan PRU kali ini, diadakan pada musim yang tidak kondusif, maka kawasan-kawasan tradisi Umno yang jatuh ke tangan parti lawan pada PRU-14, berkemungkinan besar akan ditawan semula, sehinggakan parti itu, akan muncul parti yang terbanyak menang kerusi daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung.

Mana-mana parti yang melepasi 112 daripada 222 kerusi yang dipertandingkan, boleh menubuhkan kerajaan dan menduduki Putrajaya.

Nampaknya, parti-parti yang melawan Umno-BN, tidak dapat berbuat banyak, termasuk juga SPR untuk mendesak pengundi bukan penyokong parti politik untuk keluar mengundi pada musim musibah, kerana terbukti pada PRN Melaka dan Johor.

Kerana PRU-15 belum menjadi TITIK PERUBAHAN politik tanah air, mungkin akan berlaku pada PRU-PRU akan datang. Apa yang pasti perubahan pasti berlaku, seketat manapun ianya dihalang.  Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive