Friday, July 29, 2022

UNDANG-UNDANG ANTI LOMPAT- IMPAKNYA PADA PRU-15?

ADA anggapan rakyat yang tidak keluar mengundi pada PRN Melaka dan Johor, kerana bimbang undi mereka akan menjadi sia-sia, apabila calon yang menang tukar parti.

Selain kebimbangan, dikatakan golongan tersebut berada dalam keadaan mood muak dan mual berkaitan tindak tanduk pemimpin politik.

Anggapan tersebut berasas, sebabnya negara dalam tempoh 3 tahun, bertukar 3 kali kerajaan dengan 3 Perdana Menteri.

Pada PRU-15, kerana telah ada jaminan, kerajaan tidak akan bertukar kerana perbuatan segelintir ahli-ahli parlimen, kerana adanya Undang-Undang Anti Lompat, kecuali membabitkan parti akan mendorong golongan yang bosan mengundi keluar mengundi lagi.

Akan dibuktikan pada PRU-15, apa kah golongan ini akan berduyun-duyun ke peti undi? Apabila itu berlaku, ada parti gembira dengannya, ada juga parti bimbang mengenainya.

Parti yang gembira, kerana tahu, pengundi dalam golongan ini sentiasa menolak calon-calon Umno/BN. Keadaan ini juga yang membimbangkan parti itu.

Kecenderungan golongan pengundi pasif dan atas pagar telah dicerminkan bermula pada PRU tahun 2008, berlanjutan pada PRU tahun 2013, dan penamatnya pada PRU tahun 2018.

Hakikatnya tiada siapa yang boleh menduga atau meramal dengan tepat perilaku manusia, sebab, rambut hitam hati lain-lain.

Mana-mana parti hanya boleh membuat andaian, kerana satu dua isu atau faktor atau dengan istilah lain faktor penarik, boleh membangun sokongan pada sesebuah parti.

Bagi penulis, Parti Pas, faktor penariknya adalah agama, kerana fitrah manusia apabila semakin dewasa cenderung kepada keagamaan; Parti Bersatu, kerana integriti; PKR, faktor kesama rataan; Dap, faktor kecinaan; Umno, faktor melayu; GPS dan GRS faktor kenegerian.

Selain itu juga, ada faktor penolak, parti Pas, ditolak penganut agama lain; Parti Bersatu, isu khianat dikalangan penyokong PKR, Amanah, DAP dan Umno; PKR, tiada yang isu yang jelas, selepas Datuk Seri Anwar diberi pengampunan DiRaja; Umno, faktor salah guna kuasa dan rasuah; DAP, kaum cina tidak mengambil kira faktor penolak, kerana menggap, parti itu, sebagai naungan untuk mempertahankan kaum tersebut; sementara GPS dan GRS tiada isu yang boleh menjadi penolak.

Pada PRU-15, sejauh mana faktor agama menyebelahi Pas; sejauh mana faktor kesamarataan menyebelahi PKR; sejauh mana faktor integriti menyebelahi Bersatu; sejauh mana faktor melayu menyebelahi Umno, faktor-faktor yang terkait dengan parti-parti itu lah yang mencorakkan sebanyak mana boleh diterjemahkan dalam bentuk kerusi.

Bagi pendapat penulis, secara keseluruhan, perkara utama yang boleh menjadi faktor penarik utama di mata rakyat, sehinggakan boleh menjadi penentu, parti mana yang diberi mandat, adalah CALON PERDANA MENTERI. Umno telah menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pakatan Harapan (PH) menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perikatan Nasional (PN) menamakan Tan Sri Muhiyiddin Yassin. Ketiga-tiga calon ini, mempunyai kekuatan tersendiri.

Juga pengundi mungkin memberi bereksperimen sekali lagi seperti pada PRU-14, apabila memberi mandat pada Pakatan Harapan (PH).

Sebenarnya senario PRU-15 berbeza sekali dengan PRU-14, kerana parti-parti yang bakal mengambil bahagian mempunyai komposisi yang berbeza.

Pada PRU kali ini, Barisan Nasional (BN) bukan sahaja perlu bertembung dengan Pakatan Harapan (PH) akan tetapi juga Perikatan Nasional (PN).

Di atas kertas, BN mendapat undi penyokong tegar parti itu, seperti mana berlaku pada PRN Melaka dan Johor, manakala PH dan PH pula saling rampas merampas kerusi antara satu sama lain.

Jika diamati riak-riak kecenderungan pengundi di Semenanjung, daripada 165 kerusi parlimen yang tersedia, BN boleh menang 82, manakala bakinya oleh PH dan PN. Parti-parti lain yang ikut bertanding, hanya menjadi peserta pesta demokrasi, termasuk Pejuang dan Muda, apa tah lagi Warisan.

Mana-mana parti yang mendapat kerusi 112, daripada 222 boleh membentuk kerajaan.

Berpandukan pada angka ramalan, samada BN, PH dan PH, perlu sokongan GPS Sarawak atau GRS Sabah.

Parti yang berkemungkinan membentuk kerajaan adalah BN, jika hanya jika PH dan PN kekal berkerat rotan.

Isu yang menjadi penghalang kerjasama antara PH dan PN ada lah isu Perdana Menteri, kerana kedua-dua parti mempunyai calon sendiri. Berbeza dengan BN, dengan calon tunggal, walaupun mungkin berubah di saat perlantikan, seperti mana berlaku di Johor.

PRU-15 masih dianggap sebagai pilihan raya terbuka, kerana selain adanya Undang-Undang Anti Lompat, juga penyertaan Undi-18 dan pengundi pertama kali, selain kebarangkalian peratus yang keluar mengundi tinggi.

Apa kah hasil PRU-15, rakyat negara ini bakal mempunyai kerajaan yang diterajui mereka yang bebas isu, terutama isu moral? Atau kah kembalinya mereka yang sebelum ini telah diberi peluang berdekad-dekad, tetapi peluang tersebut disalah guna, sehingga menyebabkan negara popular di mata masyarakat dunia, sebagai negara kleptokrasi.

No comments:

Blog Archive