Friday, July 08, 2022

HANYA KERANA ISU JAGUNG BIJIAN- HARGA AYAM TERPAKSA DIKAWAL

HARGA ayam tiba-tiba menjadi berita panas, kerana makanan tersebut merupakan sumber protein paling popular bagi rakyat Malaysia.

Harga bukan sengaja dinaikkan, akan tetapi terpaksa hanya kerana kos makanan haiwan yang merupakan perbelanjaan utama makanan ayam meningkat mendadak.

Peningkatan mendadak ini, hanya kerana isu jagung bijian yang diimport sepenuhnya daripada pengeluar luar negara.

Harga di peringkat global bahan makanan haiwan ini melonjak dengan ketara berpunca daripada konflik Russia-Ukraine serta kekurangan bekalan dari negara pengeluar utama lain, apatah lagi logistik yang belum diselesaikan yang terganggu akibat pandemik Covid-19.

Malaysia mengimport kira-kira 300,000 tan jagung bijian setiap tahun yang menelan belanja RM4bilion. Sebelum krisis yang melanda dunia bermula tahun 2020, perbelanjaan mengimport sejumlah tersebut, masih memberi comparative advantage berbanding menanam sendiri, atas sebab itu kerajaan tidak memberi perhatian yang wajar terhadap penanaman jagung bijian.

Penanman jagung bijian sebenarnya sudah mula diusahakan di Malaysia seawal tahun 80-an, akan tetapi tanaman ini tidak popular dalam kalangan petani yang lebih gemar menanam jagung manis yang boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi.

Jagung bijian tidak menjadi pilihan komoditi bagi negara, sebaliknya menyokong kelapa sawit. Kerana sokongan kerajaan pada industri kelapa sawit menerusi berbagai dokongan termasuk R&D, lembaga yang menyusun atur dan rangkaian pasaran yang cekap, maka kelapa sawit menjadi komoditi primadona negara.

Kini, rakyat negara ini terperangkap dalam dua keadaan, komoditi yang tidak diberi perhatian seperti jagung bijian menyebabkan harga makanan seperti ayam terimpak, dan pada masa yang sama juga, kerana peningkatan harga minyak kelapa sawit, rakyat juga terpaksa membayar mahal.

Dalam keadaan dua isu serangkai ini, kerajaan juga terpalit, apabila terpaksa memberi subsidi, bukan sedikit jumlahnya tetapi berbilion. Malangnya, tidak semua barangan yang disubsidi terutama minyak paket 1kg dinikmati rakyat negara ini, akan tetapi berkongsi juga dengan rakyat negara jiran, apabila dikatakan berjuta kilogram minyak menyeberang sempadan, semata-mata untuk tujuan mendapatkan keuntungan berkali ganda daripada petualang-petualang dalam negara.

No comments:

Blog Archive