KALAUPUN syarikat penerbangan mahu menaikkan harga tiket, tetapi perlu mengecualikan rakyat Sabah, kerana penerbangan pulang kampung, bukan urusan perniagaan, kerana yang terlibat samada pelajar, atau mereka yang bekerja di Semenanjung atau mereka yang terpaksa ke Semenanjung atas urusan kerja, seperti ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara daripada Sabah.
Kerajaan perlu ada mekanisme penentuan harga tiket penerbangan, misalnya harga atap seperti mana cara penentuan harga RON95 atau Diesel.
Sektor penerbangan di mana-mana lapangan terbang di Semenanjung ke Sabah, merupakan sektor yang membabitkan purata 2 juta penumpang setahun. Jumlah itu menyumbang perolehan yang cukup signifikan kepada syarikat penerbangan domestik. Sepatutnya, syarikat penerbangan, tidak mengambil peluang memaksimumkan keuntungan dengan mengambil peluang pada penumpang yang tiada pilihan.
Respon pemimpin Sabah berkaitan melambungnya harga tiket penerbangan ekoran pembukaan sempadan, cukup tepat, sehinggakan Timbalan Ketua Menteri Sabah- Datuk Bung Moktar Radin menganggapnya sebagai rompakan di siang hari.
Kerajaan Sabah terpaksa membincangkan kenaikkan tiket penerbangan antara Sabah dan Semenanjung pada Mesyuarat Kabinet mingguan, kerana harga tiket yang sungguh melampau, kerana dinaikkan sehingga melebihi 500%.
Ketua Menteri Sabah- Datuk Seri Hajiji Haji Noor membuat kenyataan halus mendesak Kementerian Pengangkutan untuk mencari jalan bagi mengurangkan harga tiket penerbangan laluan domestik kerana sangat membebankan rakyat Sabah. Bukan itu sahaja, harga tiket yang mahal akan menjejaskan kedatangan pelancong Semenanjung ke Sabah, yang akhirnya mempengaruhi sektor pelancongan domestik.
No comments:
Post a Comment