Sunday, November 07, 2021

PRN MELAKA: PARTI YANG MENJAWAB KECENDERUNGAN RAKYAT?


KEKAL ATAU TIDAK, kecenderungan rakyat negara ini, agar kerajaan yang memerintah berasaskan gabungan berbagai parti, dan pada masa yang sama semua parti itu saling memperlukan antara satu sama lain. Atau dengan kata lain, tiada parti yang dominan.

Pada PRN-16 Sabah September tahun lepas masih membuktikan kecenderungan rakyat tersebut. Apa kah kecenderungan itu masih kekal atau tidak? Akan dibuktikan pada PRN-15 Melaka dan seterusanya pada PRN Sarawak.

Membaca pada kecenderungan rakyat tersebut, nampaknya Pakatan Harapan (PH) lebih laju membacanya, apabila komposisi jumlah calon antara tiga parti mempunyai nisbah yang hampir seimbang, iaitu 11 bagi PKR, 9 bagi Amanah dan 8 bagi DAP.

Di pihak Barisan Nasional, cukup jelas menunjukkan dominansi Umno, apabila mengemukakan 20 calon, diikuti MCA-7 dan MIC-1. Demikian juga di pihak PN, Bersatu cuba menjadi parti dominan, apabila mengemukakan 15 calon, berbanding Pas-8 di kawasan-kawasan majoriti melayu.

Tidak salah bagi mana-mana parti mahu menjadi dominan, namun rakyat melihatnya berlainan. Pengalaman rakyat berdekad lamanya dikuasai parti dominan, telah melahirkan pemimpin-pemimpin sombong dan takabur, sukar ditegur, malah sebarang teguran dianggap sebagai menentang. Para pemimpin sedemikian, bertindak serba tahu, hanya kerana mewakili parti yang dominan. Atas sebab itu, mereka ini, selepas mendapat kuasa, membina dinding tebal dan tinggi antara mereka dengan rakyat yang memberi kuasa.

Pada PRU-14, rakyat menghukum para pemimpin ini, dan telah melahirkan kerajaan yang dibentuk di peringkat Persekutuan, adalah kerajaan yang saling memerlukan antara parti, sekecil mana pun parti tersebut dilihat daripada jumlah ahli parlimen.

Akan berulang kah kecenderungan rakyat tersebut pada PRN Melaka? Sama-sama kita nantikan pada 20 November ini.

No comments:

Blog Archive