SEBAIK Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk Kerajaan selepas PRN-16 Sabah, penulis telah beberapa kali mengulas berkaitan ancaman "little Napoleon" baik pada kerajaan, agensi atau syarikat-syarikat berkait kerajaan.
Selepas enam bulan, akhirnya, kerajaan menyadari, memang wujud "little Napoleon" dalam sistem.
Dengan menyedari keadaan tersebut, setidak-tidaknya sangkaan penulis daripada mula lagi, ada kebenarannya.
Penulis juga memperhatikan dengan dekat, mereka yang diberi tanggungjawab, semacam "lambat" bergerak, masih santai-santai, tiada kemampuan berfikir diluar kotak, macam biasa-biasa, tidak menunjukkan sebarang lonjakan bagi membantu misi kerajaan SABAH MAJU JAYA.
Menerusi keadaan demikian, menambah lagi prasangka penulis, bahawa mereka ini sebahagian daripada "Little Napoleon".
Mungkin ada diantara pembaca, pernah mendengar apa itu "Little Napoleon" tetapi tidak pasti apa disebalik panggilan tersebut.
Perkataan "Little Napoleon" berasal daripada individu bernama Napoleon Bonaparte yang dilahirkan pada 15 Ogos 1769 di Ajaccio, Pulau Corsica, Perancis.
Kariernya sebagai anggota tentera yang paling digeruni bermula apabila menyertai Tentera Revolusi Perancis pada lewat 1790an.
Michael H. Hart meletakkan Napoleon Bonaparte pada senarai ke 34 dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History kerana kehebatan pengaruhnya.
Napoleon Bonaparte menjadi Jeneral Revolusi Perancis yang merupakan Konsul Pertama atau Konsul Perdana Republik Perancis pada 11 November 1799 sehingga 18 Mei 1804.
Setelah menjadi Konsul pertama beberapa tahun, Napoleon Bonaparte kemudian telah menjadi Maharaja Perancis dan Raja Itali di bawah nama Napoleon I dari 18 Mei 1804 hingga 6 April 1814 (Abbot, 2005).
Hampir satu dekad, angkatan-angkatan tentera Perancis di bawah pimpinan Napoleon Bonaparte bertempur dengan hampir setiap kuasa Eropah dan menguasai kebanyakan tanah besar barat dan tengah Eropah melalui penaklukan.
Ini menjadikan Napoleon Bonaparte begitu terkenal sebagai seorang tentera yang hebat, ketua taktikal serangan yang licik dan pentadbir yang dikagumi kerana kebolehan merancang taktik yang terbaik daripada pelbagai sumber dan memodenkan angkatan tentera Perancis untuk mencapai kemenangan.
Kempen-kempennya telah dikaji di akademi-akademi seluruh dunia dan secara amnya Napoleon Bonaparte dianggap sebagai salah seorang daripada komander terutama yang pernah hidup (Abbot, 2005).
Selain kehebatan kuasa tenteranya, Napoleon juga dikenang sebagai antara watak penting Kod Napoleon yang menjadi asas kepada sistem perundangan sivil Perancis (G. Stolyarov II , 2007).
Sejarah hebat hidup Napoleon Bonaparte sering dikaitkan secara sinis dengan sifat fizikalnya yang pendek.
Napoleon Bonaparte disifatkan sebagai pemimpin kuku besi yang menunjuk-nunjuk kuasa dengan menutup kekurangan fizikalnya melalui kemasyhuran kisah perjuangan dan kehebatan kepimpinannya sebagai seorang ketua.
Apa pula kaitan dengan Little Napoleon? Istilah ini mula dibangkitkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia ke lima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memberi amaran tidak mahu melihat wujudnya Little Napoleon di kalangan penjawat awam.
Ini kerana ada segelintir penjawat awam yang menunjukkan kuasa dengan cara melambatkan kerja dan keputusan.
Tun Abdullah menyifatkan Little Napoleon sebagai golongan yang kecil tetapi memberikan kesan dan mencemarkan nama baik perkhidmatan awam (Utusan Malaysia, 15 April 2006).
LITTLE NAPOLEON DAN PERKHIDMATAN AWAM Perkhidmatan awam adalah tulang belakang sesebuah kerajaan (Abdullah, 1997). Seorang penjawat awam di Malaysia adalah tertakluk untuk mematuhi nilai dan etika dalam perkhidmatan awam (Deborah, 2007).
Sebagai sebuah perkhidmatan awam yang telah lebih dari lima puluh tahun diwarisi dari sistem British, perkhidmatan awam di Malaysia telah melalui pelbagai fasa penambahbaikan.
Perintah Am yang diperincikan perlaksanaannya melalui pekeliling dan surat pekeliling kerajaan di tambah baik dari masa ke semasa supaya mutu perkhidmatan awam di Malaysia sentiasa menepati keperluan.
Namun dalam bidang gelagat organisasi, golongan pekerja yang menimbulkan masalah adalah suatu kebiasaan.
Kadang kala masalah wujud hanya disebabkan oleh perbezaan persepsi, tafsiran, amalan kerja atau kefahaman di kalangan penjawat awam.
Justeru itu, peranan untuk memastikan matlamat dan peranan utama organisasi dilaksanakan dengan sebaik mungkin terletak di bahu pengurus awam di kalangan pegawai kerajaan terutama dari kumpulan pengurusan dan profesional.
Golongan Little Napoleon adalah kumpulan kecil dalam perkhidmatan awam di Malaysia yang menjadi masalah dalam usaha memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan.
Dalam definisi mudah, Little Napoleon merujuk kepada penjawat awam yang berada di sesuatu kedudukan (bukannya peringkat tertinggi) tetapi berlagak seolah-olah begitu berkuasa seakan pegawai yang berada di peringkat tertinggi.
Kadangkala lagak itu didukung oleh persekitaran dan mereka yang berurusan dengannya lantaran kuatnya hubungan si Little Napoleon tadi dengan mereka yang berkuasa di peringkat tertinggi.
Sikap menunjuk-nunjuk kuasa ini bukan sahaja ditonjolkan oleh Little Napoleon kepada orang awam yang berurusan dengan pejabatnya tetapi juga di kalangan rakan sekerja.
Ini kerana Little Napoleon bukan sahaja mengawal sistem, proses atau prosedur kerja untuk kepentingan diri dan menunjuk kuasa, tetapi juga mempunyai hubungan baik atau kepercayaan dari pegawai atasan yang lebih berkuasa.
Ini menjadikan Little Napoleon bukan sahaja tidak disukai oleh orang awam yang berurusan, tetapi juga oleh rakan-rakan dalam satu organisasi.
Bagi memudahkan urusan atau mempercepatkan proses, Little Napoleon akan memanipulasi orang awam yang memerlukan perkhidmatan jabatannya dengan meminta rasuah dalam bentuk wang, sagu hati, keraian atau apa sahaja untuk kepentingan diri atau rakan-rakan terdekatnya yang terlibat sama.
Contohnya, keputusan tender untuk sesuatu projek sudah boleh diumumkan selepas jawatankuasa di peringkat jabatan memutuskan syarikat yang berjaya. Little Napoleon akan mengambil kesempatan dengan melengah-lengahkan makluman melalui surat dan akan memanipulasi keadaan seolah-olah keputusan masih dalam proses.
Di sinilah Little Napoleon akan menghubungi syarikat yang diketahui sudah berjaya tadi untuk meminta rasuah dalam apa bentuk sekali pun.
Setelah matlamat itu tercapai, surat keputusan penganugerahan tender akan diserahkan seolah-olah ia sebagai membalas kepercayaan dan imbuhan yang diterima.
Ada juga keadaan di mana Little Napoleon ini meminta wang sagu hati sebagai bayaran bagi mempercepatkan proses sesuatu urusan yang sebenarnya tidak memerlukan bayaran.
Kebiasaannya, orang awam yang kurang faham tentang proses dan prosedur kerajaan akan membayar jumlah yang diminta bagi memastikan proses berjalan lancar tanpa menyedari tindakan itu adalah sebahagian dari pemberian rasuah.
Tun Abdullah memberi gelaran Little Napoleon kerana sifat menunjuk-nunjuk kuasa mereka seperti Napoleon Bonaparte.
Tindakan ini mencemarkan integriti dan nama baik perkhidmatan awam ibarat kata pepatah, sebab nila setitik rosak susu sebelanga (Utusan Malaysia, 12 April 2006).
Tun Abdullah menjelaskan tentang limitasi kuasa dan larangan terbuka terhadap mana‐mana pegawai kerajaan yang cuba atau pernah menunjuk‐nunjuk kuasa dengan niat yang tidak betul.
Beliau mengaitkan perbuatan menunjukkan kuasa sebagai berkait langsung dengan sikap individu berkenaan (Syahruddin, 200).
Dalam keadaan lain, Little Napoleon memanipulasi ketua jabatannya dengan memberikan pelbagai maklumat dan input terkawal.
Kebiasaannya maklumat tersebut adalah maklumat yang baik-baik sahaja supaya ketua akan terus percaya dan suka untuk berurusan dengannya.
Keadaan ini menyebabkan si Little Napoleon menjadi orang kepercayaan ketua dan akan menyebabkan rakan-rakan lain dalam organisasi yang sama takut akan terjejas kedudukan mereka sekiranya melalukan sesuatu yang tidak bertepatan dengan kehendak ketua atau menjadi bahan cerita si Little Napoleon kepada ketuanya.
Kepercayaan ini akan digunakan untuk mengukuhkan kedudukan dalam organisasi. Contohnya, si Little Napoleon akan membawa seberapa ramai rakan-rakan yang boleh bekerjasama dengannya bagi memastikan tujuan dan matlamat tercapai dengan berpakat untuk membawa rakan dari unit atau bahagian lain supaya ditukarkan ke organisasi yang sama dengannya.
Tidak cukup dengan itu Little Napoleon boleh membuat syor kepada ketua jabatan apabila ada temuduga jawatan baru untuk mengambil pekerja baru dari kalangan rakan-rakan mereka bagi meramaikan kroni di organisasi.
Ketua jabatan yang kutang membuat penelitian dan termakan dengan nasihat dari golongan ini akan mengikut sahaja telunjuk si Little Napoleon ini tanpa menyedari agenda tersembunyi yang cuba dimainkan.
inilah yang disifatkan oleh Tan Sri Ramon Navaratnam, Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) yang menjelaskan bahawa golongan Little Napoleon adalah boneka yang menjadi begitu berkuasa lantaran sokongan dan dukungan yang diperoleh dari pihak-pihak tertentu. Beliau memuji langkah Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mahu memantau dengan dekat prestasi kakitangan awam dan menghukum siapa sahaja yang menyeleweng, rasuah atau menyalahgunakan kuasa.
Akan tetapi Tan Sri Ramon juga menyarankan agar perhatian diberikan kepada golongan atau kumpulan yang memberi sokongan dan dukungan tersebut (The Sun, 17 Disember 2007).
Little Napoleon boleh bertindak menunjuk kuasa dengan melengahkan perlaksanaan kerja, menyembunyikan fail, menahan keputusan yang sepatutnya boleh diketahui umum dan mengambil kesempatan atas orang awam.
Little Napoleon lambat laun akan menjadi barah yang akan memusnahkan modal insan dan melumpuhkan keseluruhan organisasi (Warta Darul Aman, 8 September 2008).
Perlakuan Little Napoleon membawa imej penjawat awam yang tidak mesra pelanggan dan anti-pembangunan iaitu tidak suka kepada pembaharuan atau perubahan.
Little Napoleon juga cenderung untuk melawan arahan pegawai atasan yang tidak sehaluan dengan mereka kerana mereka hanya mematuhi arahan ketua atau pegawai atasan yang bersama dengan agenda sempit untuk kepentingan mereka sahaja.
Jelas sekali Little Napoleon membawa masalah ketidakharmonian kepada organisasi.
Kewujudan Little Napoleon tidak boleh dibiarkan kerana ia akan membenihkan rasa tidak puas hati bukan sahaja di kalangan orang awam yang berurusan dengan sesebuah jabatan tetapi juga di kalangan kakitangan di organisasi tersebut.
Perbuatan tersebut adalah satu bentuk salah guna kuasa. Walau pun kumpulan ini hanya sebilangan kecil dalam perkhidmatan awam, namun ia menjadi beban besar kepada perkhidmatan awam sekiranya tidak dibendung.
Tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, yang memberi isyarat untuk mengnyahkan unsur-unsur "Little Napoleon" dalam perkhidmatan Kerajaan GRS. Pun demikian, sokongan berbagai pihak diperlukan, khususnya para pemimpin, jika tidak, usaha itu, tidak akan ke mana-mana.
No comments:
Post a Comment