Monday, January 11, 2021

SABAH MENUJU KEMANDIRIAN POLITIK

PERSEFAHAMAN politik antara parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah petanda, bahawa Sabah menuju kepada kemandirian politik, tanpa terikat dengan politik luar.

Iltizam semua pemimpin politik dalam gabungan tersebut, apapun perkembangan politik di luar Sabah, tidak menjejaskan hubungan dan kekukuhan GRS. 

Umno Sabah yang merupakan sebahagian daripada komponen GRS, mempunyai autonomi sendiri menentukan halatuju parti tersebut di Sabah. 

Sesuai dengan autonomi tersebut, sebelumpun menantandangi Persefahaman parti-parti dalam gabungan tersebut, jauh sebelum itu, selepas sahaja GRS diberi mandat oleh rakyat Sabah menerajui kerajaan negeri, Pengerusi Umno Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah- Datuk Seri Bung Moktar Radin, beberapa kali menegaskan, bahawa Umno Sabah komited mempertahankan, memperkukuhkan kerajaan GRS. 

Komitmen Bung tersebut, juga merupakan iltizam semua pemimpin dalam gabungan tersebut, malah Pengerusi gabungan tersebut, yang juga Ketua Menteri Sabah- Datuk Hajiji Haji Noor, menegaskan, ikatan, kerjasama dalam gabungan tersebut bebas daripada pengaruh politik di luar Sabah. 

Walaupun menerusi GRS, Sabah menuju kepada kemandirian politik, hubungan dengan Kerajaan Persekutuan terus dipelihara, kerana menurut Hajiji, Persekutuan Malaysia juga dibentuk oleh Sabah, rakyat Sabah, malah sebahagian kakitangan kerajaan Persekutuan juga berasal daripada Sabah. 

Kemandirian politik, bukan bermaksud berkonfrontasi, tetapi bersandarkan kepada keadah menang-menang antara negeri dan Persekutuan. 

Sabah memerlukan bantuan persekutuan, dalam banyak perkara, khususnya berkaitan kewangan, keselamatan dan kesihatan. Dan pada masa yang sama, Sabah hanya menuntut apa yang menjadi hak negeri melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Kemandirian politik Sabah perlu diambil, memandangkan kemajmukkan rakyat Sabah, yang terdiri daripada tidak kurang 36 etnik yang berbilang agama. Sabah perlu kemandirian, agar lebih inklusif, dan tidak terganggu dengan kecenderungan politik khususnya di Semenanjung, yang berlegar-legar pada tiga suku bangsa- melayu, cina dan india.

No comments:

Blog Archive