JIKA esok pilihanraya, memang Bersatu tersepit, kerana parti itu sedang berada di tengah-tengah antara PH dan MN/BN.
Dalam senario politik sekarang, sukar mana-mana parti menang dalam pilihanraya tanpa pakatan dengan parti-parti lain.
PH mungkin akan menguasai kawasan majoriti kaum cina, manakala MN/BN kawasan-kawasan majoriti melayu atau bumiputera.
Senario PRU-14 sudah berlalu, meskipun hanya 2 tahun lalu.
Pada 9 Mei, 2018 BN kalah kerana senario politik masa itu, akan tetapi rakyat khususnya di kawasan melayu/bumiputera cepat sedar, sehingga pada 5 PRK terakhir selepas PRU-14, kawasan-kawasan PRK tersebut di menangi calon-calon yang disokong MN/BN.
Kerana trend tersebut, maka berlaku gelombang dalam PH, sehinggakan kerajaan itu tumbang pada 24 Februari, selepas 22 bulan memerintah.
Ironinya, kerajaan yang mengambil alih adalah kerajaan bukan berasaskan ikatan parti-parti akan tetapi ahli-ahli parlimen.
Kerajaan hari ini akan diuji pada 18 Mei semasa sidang parlimen, jika lah usul tidak percaya dibahas, kerana usul sedemikian sudahpun diterima oleh Speaker untuk dimasukan dalam aturan mesyuarat.
Jika usul tidak percaya tidak dibahas, maka berterusan tomahan bahawa kerajaan tidak mempunyai sokongan majoriti sehingga sidang akan datang yang dijadual pada Julai, 2020.
Persidangan kali ini, dijadualkan hanya sehari,kerana wabak COVID-19. Peperangan melawan virus ini masih berjalan, sehingga lah vaksin penawar ditemukan.
Hakikatnya kerajaan hari ini, bukan pun takut mengadakan sidang parlimen penuh, tetapi keadaan tidak mengizinkan, kerana sukar untuk mematuhi penjarakan sosial, termasuk mematuhi 3C- Crowded Places, Confined Spaces dan Close Conversation walaupun boleh mengamalkan 3W-Wash, Wear dan Warn.
Jika sidang penuh diadakan dikhuatri, parlimen akan jadi kluster transmisi covid-19.
Bagi pembangkang, semakin lama kerajaan pimpinan Tan Sri Muhiyiddin, maka konsoldisasi kekuatan akan dibina, mungkin akan berlaku ikatan rasmi antara parti-parti sehingga kerajaan Perikatan Nasional berdiri secara rasmi. Jika itu berlaku, maka harapan pembangkang pada PRU-15, semakin tipis.
Tidak mustahil akan berlaku tolak ansur, antara Bersatu dan Umno, kerana menerusi kaedah itu sahaja akan wujud situasi menang-menang.
Dalam senario politik sekarang, ego masing-masing pihak mesti diketepikan untuk menghalang terbentuknya kerajaan seperti Pakatan Harapan yang mana selama 22 bulan menjadi saksi kepada segenap rakyat negara ini, bagai mana terseksanya rakyat yang kurang bernasib.
No comments:
Post a Comment