Tuesday, September 03, 2019

SABAH BAKAL NEGERI TERKAYA?

TAHUN 2017, penulis pernah menulis, bahawa Sabah bakal menjadi negeri terkaya di Malaysia. Perkiraan itu didasarkan kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang cukup baik, malah sentiasa mengatasi pertumbuhan negara.

Pertumbuhan ekonomi Sabah rata-rata di atas 6%, malah pertumbuhan itu meningkat ke atas 8%, menyokong perkiraan penulis, bahawa Sabah akan menjelma sebagai negeri terkaya di negara ini.

Sebenarnya, perkiraan penulis, bahawa Sabah bakal muncul kepada status tersebut, kerana kejayaan HALATUJU pembangunan dan kemajuan Sabah yang diperkenalkan pada tahun 2003 oleh Ketua Menteri masa itu, Datuk Seri Musa Aman (kini Tan Sri). (Musa menduduki Ketua Menteri Sabah bermula daripada 27 Mac 2003, sehingga 11 Mei, 2018).

Unjuran penulis, bahawa Sabah bakal mencapai kedudukan negeri terkaya, apabila perbelanjaan tahunan merupakan kedua tertinggi di negara ini selepas Sarawak, iaitu purata pada RM4bilion setahun.

Sebenarnya pertumbuhan ekonomi Sabah berkembang 176 kali ganda dalam tempoh 52 tahun, kerana pada tahun 1963 besarnya ekonomi Sabah hanya RM410 juta, manakala tahun 2016 telah berkembang kepada RM70bilion. Sementara itu pendapatan isi rumah pula meningkat 10 kali ganda daripada RM500 tahun 1976 kepada RM5,000 38 tahun kemudian. Kadar kemiskinan tahun 2016 hanya 3.9%, berbanding tahun 1976 58%. Demikian juga rizab negeri pada tahun 1976 hanya RM80juta, manakala sehingga Disember 2017 meningkat kepada RM3.74bilion.

Pendapatan Sabah tahun 1972 hanya RM176juta, sedangkan masa itu, kayu balak merupakan sumber utama, akan tetapi pada tahun 2015 pendapatan negeri telah menjadi RM3.5bilion, satu pencapaian luar biasa.

Kini, anggapan penulis pada tahun 2017 tersebut, nampaknya tidak akan tercapai, memandangkan, kadar pertumbuhan ekonomi menjunam selepas pergantian Kerajaan selepas PRU-14. Pada tahun 2018, kadar pertumbuhan ekonomi negeri hanya 1.5% berbanding tahun sebelumnya 8%.

No comments:

Blog Archive