Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Tan Sri Dr Rais Yatim berkata cara berkempen secara beramai-ramai oleh calon-calon bagi pemilihan Umno di setiap negeri tidak memanfaatkan calon berkenaan.
Katanya berkempen dengan cara seumpama itu tidak ubah seperti pertandingan ratu cantik kerana hanya perlu duduk di atas kerusi di pentas dan mengangkat tangan apabila nama mereka dipanggil.
"Berkempen di negeri secara beramai-ramai sebegitu bagi saya tidak memanfaatkan kepada individu itu sebab dia hanya duduk di pentas seperti model tetapi tidak berpeluang memberi pandangan atau membuat syor," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam program bertemu mahasiswa dan kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan di sini Selasa.
Syarat berkempen yang ditetapkan pada pemilihan kali ini sepatutnya diubah kerana beliau berpendapat calon-calon yang berada di pentas itu membentuk kumpulan tertentu dan mereka boleh melontarkan pandangan masing-masing dalam konteks berkempen.
"Saya tengok ramai calon MT yang tiada peluang untuk berbuat demikian selain tunjuk muka saja, pada saya mereka semua segak tetapi kita tak tahu apa yang mereka boleh buat untuk kita sekiranya terpilih kelak kerana mereka tidak berpeluang memberikan pandangan," katanya.
Rais juga berpendapat sekiranya kelonggaran berkempen tidak diberikan kepada calon, maka kemenangan akan berpihak kepada calon yang popular.
"Yang akan menang orang biasa keluar televisyen dan radio sebab mereka dikenali ramai, calon yang tak dikenali tak kan menanglah, jadi kelonggaran berkempen boleh beri peluang sama rata kepada calon, " katanya.
Mengenai cadangan bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam agar keenam-enam calon naib presiden dalam pemilihan Umno 2013 bersemuka dalam satu perdebatan di televisyen, Rais berkata cara itu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh mereka yang terlibat, bukannya untuk gimik pemilihan semata-mata.
Katanya melalui perdebatan, pemilih dapat melihat calon itu berhujah mengenai perjuangannya dalam Umno selain pemilih dapat mengetahui perkhidmatannya yang telah dilaksanakan kepada rakyat.
"Di situ kita boleh tahu apa khidmat yang telah dia buat, di kalangan naib presiden misalnya kita mesti tahu setiap naib presiden itu apa yang telah dia lakukan sama ada berjaya atau tidak atau hanya pandai bercakap sahaja," katanya.
Pada pemilihan parti 19 Oktober ini, selain tiga penyandang naib presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, calon lain adalah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment