Thursday, September 19, 2013

Naib Presiden Umno: Apa Kah Safie Apdal dapat laluan mudah?

Datuk Safie Apdal dikatakan mempunyai laluan mudah mempertahankan kedudukan Naib Presiden Umno, ekoran pengumuman Pengerusi Perhubungan Umno Sabah- Datuk Seri Musa Aman, tidak menyertai pertandingan.

Sebelum Musa membuat pengumuman, dikatakan peluang Safie mempertahankan jawatan Naib agak tipis, kerana kalaulah Musa menyertai pertandingan itu, sokongan perwakilan Umno Sabah akan jatuh kepada Ketua Menteri Sabah itu.

Ekoran pengumuman Musa untuk tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti 19 Oktober ini, termasuk mempertahankan kedudukan Ahli Majlis Tertingginya, sebenarnya mengejutkan banyak pihak. Namun, rata-rata akur dengan keputusan beliau itu, malah ramai yang menyifatkan tindakan beliau itu sesuatu yang amat berani dan berterus terang dalam soal-soal kepimpinan.

Pengumuman Musa itu, menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang tidak tamak kepada kedudukan, sebaliknya beliau lebih fokus kepada kemajuan dan pembangunan negeri.

Walaupun di atas kertas, kemenangan Safie semakin terang, ekoran keputusan Musa, tidak menyertai pertandingan; namun banyak faktor yang tidak menjurus kepada kemenangannya.

Safie tidak boleh mengambil mudah, perasaan 21 Bahagian di mana sebelum ini, membuat gesaan terhadap Ketua Menteri Sabah untuk merebut jawatan Naib Presiden parti.

Tidak bermakna, apabila Musa tidak bertanding, maka sokongan 21 bahagian itu akan jatuh kepada Safie. 

Secara umum ada yang beranggapan, bahawa salah seorang Naib Presiden Parti, perlu datangnya daripada Sabah, kerana Sabah lah di samping Sarawak menjadi simpanan tetap kerusi-kerusi dewan rakyat kepada barisan nasional sejak diadakan Pilihanraya Umum di Negara ini. Puncaknya adalah pada tahun 2008 dan tahun ini, apabila rakyat dua negeri itu, masih merupakan simpanan tetap BN.

Namun, kekecewaan terpancar daripada majoriti akar umbi parti dan rakyat Sabah secara umumnya, bahawa wakil yang mereka julang dan sokong telah gagal menzahirkan aspirasi rakyat Sabah.

Rakyat Sabah memang masih segar dengan kegagalan Dasar Ekonomi Baru yang ditubuhkan pada tahun 1971, namun tidak menerpa rakyat Sabah, khususnya golongan bumiputera. Keadaan itu berulang lagi, apabila Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang dikemudikan oleh pemimpin yang yang dijulang, disokong gagal, mengwujudkan polisi jangka panjang, untuk menebus dosa-dosa DEB yang gagal dinikmati rakyat Sabah.

Kegagalan Kementerian KKLW menyalurkan peruntukan kepada agensi kerajaan negeri, seperti SLDB yang mempunyai peranan seperti Felcra, kegagalan menyalurkan dana kepada LTGS, Ko-Nelayan, Safoda, KPD, Usahamaju dan banyak lagi agensi kerajaan yang boleh dikategorikan dalam kemajuan luar bandar dan wilayah, telah mengulangi dosa-dosa DEB yang telah dimansuhkan pada tahun 1990.

Safie, sebagai menteri KKLW, sepatutnya dari awal-awal lagi, melakukan tindakan dengan mengubal polisi yang kekal, bahawa peruntukan kementerian itu, jika berkaitan Sabah atau Sarawak, perlu disalurkan kepada Kerajaan Negeri, kerana kerajaan negeri lah yang mengetahui hala tuju pembangunan negeri.

Selain itu, jika agensi-agensi kerajaan negeri mempunyai cukup dana, maka ianya boleh berkembang; apabila berkembang, maka wujudlah peluang-peluang lain, demi rakyat Sabah atau Sarawak.

Apabila Safie, gagal menebus dosa-dosa DEB, dan terus mempraktikkan, kaedah lama, bahawa penyaluran peruntukan daripada KKLW, tetap sahaja disalurkan kepada agensi Persekutuan seperti Felcra, Felda dan sewaktu dengannya, maka peluang agensi-agensi kerajaan negeri yang hanya bergantung suntikan dana daripada kerajaan negeri; bagaikan rumput-rumput di tepi jalan, walaupun masih hidup, tetapi masih memerlukan ikhsan bagi meneruskan kehidupan.

Setidak-tidaknya kemuskilan di ataslah yang menyebabkan 21 Bahagian Umno, mencadangkan Musa untuk bertanding jawatan Naib, untuk memberi isyarat kepada parti, bahawa suatu perubahan perlu dilakukan, bagi membela rakyat Sabah yang masih ketinggalan, daripada semua segi.

Apa kah sudah terlambat bagi Safie? sehinggakan perwakilan parti khususnya daripada Sabah pada pemilihan 19 Oktober ini, tidak lagi mengulangi sokongan mereka sepertimana berlaku pada tahun 2009.

Melihat kepada kajian maya dan akar umbi, kedudukan Safie masih tidak selamat, meskipun Musa tidak menyertai pertandingan.

No comments:

Blog Archive