Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat sedia berhadapan dengan jumlah calon Bebas yang ramai yang dilihat bertujuan memecahkan undi terhadap mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Kemunculan kumpulan tersebut mungkin jumlah terbesar dalam sejarah pilihan raya negara ini yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru dan pelbagai penjuru.
Tidak seperti sebelum ini apabila calon Bebas adalah pemberontak kepada parti, pada kali ini golongan tersebut terdiri daripada mereka yang tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional dan Pakatan.
Peringatan telah diberikan kepada Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak serta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mereka sedia berhadapan calon Bebas walaupun ada sesetengah pihak menganggapnya sebagai kumpulan kecil.
Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, 43, dan pelajar Sains Politik Mohamed Bukhairy Sofian, 23, yang mendakwa mewakili Gerakan Mahasiswa PRU13, akan menentang Najib di Pekan.
Pemilik blog kontroversi, Papagomo pula mengumumkan akan bertanding menentang Anwar dan calon BN Dr Mazlan Ismail di Permatang Pauh.
Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mungkin antara yang termasuk dalam senarai calon Bebas sekiranya dia berhasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pandan.
Ahli Parlimen Seremban (DAP) John Fernandez, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang dari DAP, Lee Kim Sin berkata, mereka akan bertanding sebagai calon Bebas pada 5 Mei ini.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd Shariff Omar, Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Bakri, Md Ghazali Salamon, Penyelaras Gerakan Batu Kawan Mohan Apparoo dan Ketua Cabang PKR Tapah Ridzuan Bani turut menyuarakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas.
Sementara itu, Tok Mun atau Maimun Yusuf, 93, dijangka akan bertanding semula di kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Seorang lagi calon Bebas, Billi Lim Peng Soon yang bertanding dan tewas di Bukit Bintang pada 1999 dan 2004 dan di Kelana Jaya pada 2008. Beliau dijangka bertanding semula di Kelana Jaya.
Kebanyakan pertembungan pelbagai penjuru dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak.
Pada pilihan raya umum 2008, 89 pertembungan pelbagai penjuru berlaku di kerusi DUN dan Parlimen dengan kebanyakannya di Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) percaya lebih 50 calon Bebas akan bertanding di kerusi Parlimen seluruh negara berdasarkan bilangan ahli politik yang kecewa kerana tidak tercalon.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menjangkakan jumlah tersebut mungkin lebih ramai.
"Walaupun jika terdapat pertembungan satu lawan satu untuk 222 kerusi Parlimen, kita boleh melihat 444 calon. Namun dengan melihat trend semasa, mungkin boleh jadi lebih 500 calon.
"Bilangan calon Bebas yang bertanding di kerusi DUN pastinya lebih ramai memandangkan terdapat 505 kawasan yang dipertaruhkan," katanya.
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata calon Bebas telah membeli 301 borang pencalonan untuk kerusi Parlimen dan 696 di kerusi DUN.
No comments:
Post a Comment