KLANG: Krisis air yang dikatakan makin serius di Lembah Klang semakin dirasai apabila penduduk di daerah ini mengalami masalah terputus bekalan air dan tekanan air rendah sejak dua bulan lalu.
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati penduduk di rumah pangsa Sri Sementa, Kapar, di sini, terputus bekalan air sejak pagi kelmarin.
Penduduk rumah pangsa berkenaan, Norah Tamsir, 52, berkata, kawasan itu terputus bekalan air sejak jam 10 pagi kelmarin hingga 3 pagi semalam.
“Selepas jam 3 pagi, bekalan air kembali pulih, tetapi terputus kembali pada jam 9 pagi tadi (semalam) dan hingga kini (petang semalam) rumah kami masih terputus bekalan air,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Norah yang tinggal di tingkat tiga rumah pangsa itu berkata, ekoran masalah itu penduduk blok empat rumah pangsa itu menghubungi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang kemudian menghantar air dengan menggunakan lori tangki.
“Rumah saya ada tujuh orang. Bila bekalan air tiada, nak masak, mandi, buang air pun susah! Malah, kami sekeluarga terpaksa mandi di Taska Sungai Kapar Indah kira-kira 800 meter dari sini,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Meor, 29, berkata, sejak awal tahun ini, gangguan bekalan air kerap berlaku.
“Sekurang-kurangnya sebulan sekali dan antara sehari hingga tiga hari air tiada.
“Khamis lalu, saya perasan air sudah mula perlahan dan saya menghubungi Syabas yang memaklumkan tekanan air rendah menyebabkan air tangki tidak penuh,” katanya.
Beliau yang sudah dua tahun menetap di situ, berkata Syabas menghantar lori tangki membekalkan air kepada penduduk bermula pagi semalam hingga ke petang.
Akhbar semalam melaporkan Syabas bercadang melaksanakan catuan air di Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang berikutan krisis air makin serius di Lembah Klang sejak April lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ruslan Hassan berkata, cadangan itu dikemukakan berikutan rizab air di kawasan tadahan sekitar Selangor berada pada peringkat kritikal menyebabkan banyak penduduk di tiga kawasan berkenaan terputus bekalan air.
No comments:
Post a Comment