Friday, February 24, 2012

Imam Samseng: Mahkamah buat laporan polis

Ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat satu laporan polis terhadap bekas imam, Hoslan Hussin berhubung dakwaan yang dibuat oleh lelaki berkenaan yang membaling kasutnya ke arah hakim dalam satu sesi mahkamah berkenaan, Rabu lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan pejabat pendaftar berkenaan hari ini turut menyangkal dakwaan yang ditimbulkan Hoslan (foto), termasuk tuduhan bahawa lelaki tersebut telah dinafikan hak untuk didengar dengan seadilnya.

"Tuduhan tersebut adalah tidak berasas. Pejabat ini mempunyai rakaman setiap pendengaran yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan.

"Badan Kehakiman Malaysia memandang serius perkara yang boleh mencemarkan imej Badan Kehakiman sama ada melalui sebarang tindakan secara langsung atau tidak, termasuklah membuat komen atau kenyataan yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan imej institusi kehakiman.

"Pejabat ini tidak berhasrat untuk memberikan komen lanjut mengenai kes ini memandangkan perkara tersebut masih dalam siasatan pihak Polis," menurut kenyataan itu lagi.

Laporan akhbar Malay Mail hari ini menyebut, polis menyiasat kes membaling kasut itu mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan untuk menghalang tugas penjawat awam.

Dalam insiden Rabu lalu, Hoslan bertindak membaling kasutnya ke arah panel hakim yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menghalang beliau daripada terus tinggal di kuarters imam, Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi itu pada Jun 2011 apabila Hoslan berkeras untuk tinggal di kuarters berkenaan walaupun selepas ditamatkan perkhidmatan sejak 2008.

Perintah Mahkamah Tinggi itu dirayu oleh Hoslan di Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan tersebut semalam.

Hoslan tampil mewakili dirinya sendiri di mahkamah semalam dan bertindak membaling kasut berkenaan apabila mendengar keputusan tersebut yang menjadikan beliau seorang penceroboh sekiranya terus tinggal di kuarters masjid.

No comments:

Blog Archive