Monday, June 27, 2011

Khalwat: Umno Jerlun lucut jawatan Yusmawati Yaacob dan Jasmi Mohd Ismail

Ketua Puteri Umno Jerlun Yusmawati Yaacob dan Setiausaha Umno bahagian itu, Jasmi Mohd Ismail digugurkan daripada jawatan masing-masing ekoran kes berkhalwat yang sedang mereka hadapi di Mahkamah Syariah, lapor media hari ini.

Pengerusi Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, surat berkaitan pelucutan jawatan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, 24 Jun lalu.

Isnin lalu, Yusmawati dan Jasmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Kubang Pasu atas tuduhan bersekedudukan di sebuah rumah pada bulan lalu.

Mereka yang bukan mahram ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah di sebuah rumah di Taman Tunku Sarina di sini pada pukul 1.20 pagi, 11 Mei lalu.

Jasmi dan Yusmawati didakwa bersekediaman, bersekedudukan, berkurung atau bersembunyi tanpa ikatan sah mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988.

Menurut Ahmad Bashah, ekoran perkembangan itu, Naib Ketua Puteri Umno Jerlun, Siti Hajar Ahmad Hayazi dilantik memangku jawatan Ketua Puteri sehingga pemilihan peringkat parti diadakan kelak.

Kata beliau, pelantikan berkenaan selaras dengan Fasal 12.8 Peraturan Pergerakan Puteri Umno.

Tambah beliau, bagi jawatan pengganti Jasmi pula akan diputuskan oleh Ketua Umno Jerlun, Datuk Abu Hasan Sharif.

No comments:

Blog Archive