Sunday, April 03, 2011

Video sex: Yang tulen, yang pahit :Awang Selamat

Perkembangan paling menarik perhatian. Hasil siasatan polis mendapati, video seks melibatkan seorang pemimpin pembangkang menyerupai Anwar Ibrahim, adalah tulen.

Awang dari awal lagi sudah menjangkakan ketulenan video seks tersebut apabila ia didedahkan awal minggu lalu.

Antara asas keyakinan Awang ialah risiko yang diambil oleh pihak yang membuat pendedahan, cukup besar. Mereka tampil ke hadapan dan tidak bertindak baling batu sembunyi tangan sebagaimana kes video seks yang lain.

Ia dikukuhkan lagi dengan pendedahan itu dilakukan oleh Shahzryl Eskay Abdullah, sahabat kepada pemimpin pembangkang tersebut - bukan orang luar atau pihak asing. Selain itu, ramai tahu rekod moral orang yang dimaksudkan tidaklah sebersih mana.

Berikutan kesahihan video tersebut, Awang percaya pihak berkuasa akan mengambil langkah susulan termasuk merujuk kes itu ke Peguam Negara selain Jabatan Agama Islam.

Dalam pada itu, gelombang gesaan banyak pihak dan orang ramai agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, makin kuat. Namun ramai pemimpin pembangkang menolak cadangan itu terutama Pengerusi DAP, Karpal Singh. Awang faham sangat mengapa. Sebenarnya mereka takut kepada realiti. Lebih banyak perkara akan terbongkar menerusi suruhanjaya siasatan itu nanti.

Awang turut tertarik dengan saranan pemimpin NGO dan Ahli Parlimen supaya klip video itu dipertontonkan kepada Ahli-Ahli Parlimen. Meskipun janggal bunyinya tetapi wajar. Ia bagi mengelakkan mana-mana pihak memanipulasi isu tersebut dan tidak mempertahankan orang yang sebenarnya bersalah.

Pada Awang, ia tamparan hebat kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh. Pada Disember 1989, beliau pernah mempunyai pandangan berbeza dalam kes video seks pemimpin MIC, D.P Vijandran. Berdasarkan rekod, Karpal kemudian digantung keanggotaannya selepas Dewan Rakyat meluluskan usul Menteri Pendidikan, Anwar Ibrahim dengan disokong oleh majoriti ahli Dewan. Kini kedua-duanya berkongsi aspirasi politik pembangkang dan Pengerusi DAP itu merupakan peguam utama bagi kes liwat Anwar.

Kewibawaan Karpal terus dipersoalkan kerana sikap dwi standard. Beliau tidak komited mencari kebenaran dan keadilan tetapi taksub menjaga percaturan politik. Memalukan. Sungguh tidak diduga seorang tokoh guaman boleh bersikap sedemikian. Dalam kes liwat pertama melibatkan Anwar, Karpal pernah membuat dakwaan termasuk di Dewan Rakyat bahawa beliau mempunyai bukti Anwar terlibat gejala itu. Kini Karpal mempertahankan Anwar atas muslihat politik DAP untuk memperkudakan Ketua Pembangkang itu seandainya beliau menjadi Perdana Menteri seperti diidamkan.

Moral, kebenaran dan integriti tidak lagi menjadi sandaran para pemimpin pembangkang. Menurut satu laman blog, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pernah menuduh Anwar tidak bermoral pada 1990. Sebaliknya kini Kit Siang melacurkan imej partinya, untuk selamatkan Anwar. Kain hitam, dikatakan putih. Yang kotor dianggap bersih. Ini budaya buruk pembangkang, yang rasanya tiada di kalangan pembangkang negara lain. Pada Awang, DAP telah melepaskan kesempatan terbaik untuk menjaga imejnya.

Mujurlah dalam Pas, masih ada sedikit harapan. Segelintir pemimpin parti itu masih berpegang kepada prinsip moral yang tinggi walaupun yang lain termasuk tok guru hanyut termakan tipu daya. Adakalanya kebenaran itu memang pahit. — Mingguan Malaysia

No comments:

Blog Archive