Saturday, March 05, 2011

Sodomi II: Sebenarnya Anwar tahu dia ditahan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu yang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peguamnya ada dimaklumkan alasan penangkapan ketua pembangkang itu oleh polis berdekatan rumahnya di Jalan Segambut pada 16 Julai 2008.

Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Siasatan Khas Bukit Aman, Superintendan Ahmad Taufik Abdullah yang melakukan penangkapan, berkata alasan itu pada mulanya diberitahu kepada peguam Anwar, SN Nair.

“Saya beritahu Nair sebab tangkapan Datuk Seri atas kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Pada masa itu Anwar dalam kereta sedang menelefon dan pintu kereta terbuka,” katanya menjawab soalan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden pada prosiding bicara dalam perbicaraan.

Prosiding itu bagi menentukan sama ada sehelai bulu, tuala ‘Good Morning’, berus gigi putih dan botol air mineral jenama ‘Cactus’ yang diambil dari lokap Anwar di Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) 16 Julai 2008 hingga keesokannya boleh diterima sebagai barang bukti kes.

Ahmad Taufik berkata, beliau kemudian memaklumkan alasan penangkapan kepada Anwar sebelum meminta ketua pembangkang itu mengikutnya ke kereta untuk dibawa ke IPK KL, lokasi di mana waran tangkap disempurnakan dengan dibacakan di hadapan Anwar.

Katanya, waran itu dibacakannya selepas diminta berbuat demikian oleh Pegawai Penyiasat kes, Superintendan Judy Blacious Pereira dan Anwar menerima waran berkenaan dengan menurunkan tandatangannya.

Selanjutnya, saksi itu berkata, beliau mencatatkan masa sebelum menyerahkan waran tangkap bertarikh 15 Julai 2008 itu kembali kepada Pereira selain membuat satu salinan waran dan dimasukkan ke dalam failnya.

Menjawab soalan Mohamed Yusof siapakah yang memberikan arahan menangkap Anwar, Ahmad Taufik menjawab: “Saya mendapat arahan langsung daripada Ketua JSJ Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.”

Dalam keterangan kelmarin, Anwar memberitahu mahkamah, beliau bersama Nair ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah untuk solat Zuhur sebelum ke IPKKL untuk diambil kenyataan.

Menjawab cadangan Peguam Karpal Singh bahawa ada dua tangkapan dibuat, iaitu di Segambut dan IPKKL, Ahmad Taufik menjawab, hanya satu tangkapan dilakukan iaitu di Jalan Segambut dan penyempurnaan waran tangkap dibuat di IPKKL.

Sementara itu, Anwar yang dipanggil semula memberikan keterangan, mengakui ada menurunkan tandatangan pada dokumen kenyataannya yang diambil polis mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah dan beliau tidak menafikan tuduhan yang dibacakan di hadapannya, tetapi menegaskan tiada alasan penangkapan diberikan.

Kepada soalan Karpal pula, ketua pembangkang itu berkata, ada beberapa percanggahan dalam salinan asal dokumen 112 dan salinan yang diberikan kepada peguamnya, antaranya salinan asal ada perkataan `sulit’ tetapi tidak dalam salinan yang dirujuk kepada beliau selain tandatangan berbeza di antara kedua-dua dokumen itu.

Hakim Datuk Mohamed Zabidin Mohd Diah menetapkan Isnin ini bagi kedua-dua pihak mengemukakan hujah.

No comments:

Blog Archive