Thursday, March 10, 2011

Dewan Rakyat: Pakatan seperti anak ayam kehilangan ibu: Nazri Aziz

Tanpa ketua sementara untuk mengetuai pembangkang di persidangan Dewan Rakyat, Pakatan Rakyat boleh diibaratkan seperti 'anak ayam kehilangan ibu', kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata mereka tidak perlu mengisi kekosongan itu tetapi tidak ada ketua pembangkang pada sesi ini.

"Jadi, tidak ada sesiapa yang akan bertindak sebagai ketua. Jadi mereka ibarat seperti anak ayam kehilangan ibu, saya umpamakan sedemikian kerana pembangkang tiada ketua sementara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada pelajar-pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang akan melanjutkan pengajian ke Jepun, di Putrajaya hari ini.

Pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat Disember lepas, empat ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung selama enam bulan iaitu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Azmin Ali (PKR-Gombak), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Pembangkang kini berjumlah 76 di Dewan Rakyat selepas ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrisnan keluar daripada PKR dan menjadi anggota Bebas.

"Jelas menunjukkan tiada persetujuan pada sesi ini siapa yang patut bertindak sebagai ketua pembangkang, kerana mereka tidak boleh bersetuju untuk satu jawapan," katanya.

Ditanya sama ada Pakatan Rakyat akan melantik seseorang menggantikan Anwar, Nazri berkata beliau tidak tahu tetapi yang jelas katanya terdapat kesukaran untuk berbuat demikian.

"Jika tidak, mudah jika mereka ada Hadi (Datuk seri Abdul Hadi Awang) atau Kit Siang (Lim Kit Siang), tetapi kenyataannya mereka tidak boleh membuat sebarang keputusan, membuktikan mereka tidak boleh bekerjasama," katanya.- Bernama

No comments:

Blog Archive