Saturday, January 01, 2011

Amanat Najib pada semua MP BN 8 Januari ini

Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabtu depan.

Pengerusi BN itu dijadual akan mengadakan pertemuan dengan kesemua ahli Parlimen untuk mendapatkan maklum balas mengenai langkah mengadakan pilihan raya umum awal memandangkan pemimpin-pemimpin perikatan itu kelihatan berbelah bahagi dalam soal itu.

Najib akan bertemu dengan setiap ahli Parlimen BN selama lima minit pada 8 Januari. Pertemuan itu dijangka mengambil masa kira-kira 11 jam, jadi kemungkinan akan berlarutan sehingga Ahad ( 9 Januari).

Seorang ahli Parlimen BN mengesahkan pertemuan itu sambil berkata Najib telah meminta mereka melaporkan pandangan tentang persediaan di bahagian masing-masing.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan pada suku pertama tahun depan ketika cuti sekolah bulan Mac. Mandat semasa hanya akan berakhir 20 April 2013.BN juga sedang membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

Bagaimanapun BN sekarang dikatakan mempertimbangkan untuk menangguhkannya sehingga apabila projek-projek ekonomi diperkenalkan Najib mula merancakkan ekonomi tempatan.

Namun sumber-sumber yand boleh dipercaya, kemungkin besar PRU-13 akan berlangsung pada November 2011-bersama PRU-Sarawak.(Kerajaan Sarawak akan mempergunakan masa 60 hari selepas Julai 2011)

Bagaimanapun perkembangan-perkembangan terbaru ini menunjukkan wakil rakyat-wakil rakyat yang tidak berhasrat untuk bertanding mahukan pilihan raya diadakan tahun depan.

“Ahli-ahli Parlimen kanan mengharapkan faedah daripada pelbagai projek yang dilaksanakan sebelum pilihan raya umum. Mereka juga menyebarkan khabar angin bahawa ahli-ahli Parlimen muda (penggal pertama) tidak akan memperoleh pencen jika pilihan raya umum diadakan awal,” kata sumber itu lagi.

Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 memperuntukkan pencen bagi wakil rakyat jika mereka berkhidmat sekurang-kurangnya 36 bulan.

Penasihat-penasihat Najib pula dikatakan menggesa beliau agar mengadakan pilihan raya umum seawal Jun ekoran kebimbangan bahawa ekonomi dunia kemungkinan perlahan, sehingga boleh memberi kesan ke atas ekonomi tempata pada suku ketiga.

Najib, perdana menteri keenam, telah memperkenalkan pelbagai projek untuk merangsang ekonomi negara meskipun ramalan menunjukkan ia akan perlahan tahun ini.

Ia termasuklah projek transit aliran massa (MRT) yang akan menelan RM36 bilion, menara Warisan Merdeka RM5 bilion, Daerah Kewangan Antarabangsa KL RM26 bilion, projek ekoresort RM3 bilion di Karambunai, Sabah dan pembangunan kawasan seluas 1,084 hektar milik Institut Penyelidikan Getah (RRI) di Sungai Buloh.

Bank Pembangunan Asia (ADB) baru-baru ini meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam lingkungan lima peratus, satu peratus lebih rendah daripada diharapkan oleh pentadbiran Najib.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, dua minggu lalu mengadakan konvensyen kedua mereka di Kepala Batas, Pulau Pinang dan menerima Buku Jingga yang menggariskan Program 100 Hari.

Seminggu sebelum itu BN telah mengadakan konvensyen mereka, yang memfokus usaha ke arah persiapan pilihan raya umum.

No comments:

Blog Archive