Friday, July 09, 2010

Perang Karpal Singh Nik Aziz Semakin Memuncak

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta parti itu menghormati pendirian DAP yang menolak konsep negara Islam sebagai TIDAK BETUL.

Ini kerana jelasnya, Pas dan pakatan pembangkang lain telah lama menyetujui dasar perjuangan parti itu sebelum membina pakatan untuk menghadapi Barisan Nasional (BN).

Tegasnya, Pas akan tetap dengan dasar negara Islam yang diperjuangkan oleh parti itu sekiranya pakatan pembangkang menerajui kerajaan Pusat.

“Waktu belum kami masuk perikatan, kami dah bincang dah, dasar kami Islam. Oleh yang demikian, kami hormat pada DAP. Dan DAP hormat pada kami mula-mula kami nak buat pakatan dulu lagi, kenapa timbul balik perkara ini.

Karpal Menolak Negara Islam

Karpal sebelum ini meminta PAS menerima hakikat bahawa Malaysia ketika ini adalah negara sekular, bukannya sebuah negara Islam.

Menurut Karpal, perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan PAS seharusnya menerima kandungan tersebut.

“PAS harus terima apa yang saya katakan. Sudah kerap kali dan disokong apa yang saya katakan tadi.

“Ini bukan isu kompromi tetapi soalnya sekarang adalah... isu ini perlu diterima,” kata beliau.

Dalam temu bual dengan sebuah portal berita baru-baru ini, Karpal yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

“Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan),” kata Karpal.

Sehubungan kenyataan Karpal tersebut; Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata PAS akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam pakatan pembangkang, termasuk DAP.

Sehubungan itu beliau mahu Karpal supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS, yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun, adalah salah.

Sementara itu Ketua Pemuda Pas,Nasrudin berkata tindakan Karpal ini telah menimbulkan keresahan di kalangan ahli PAS dan akan merenggangkan hubungan antara kedua-dua parti itu jika beliau tetap mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Sebelum menyertai Pakatan Rakyat, PAS bukan mudah untuk memahamkan ahli-ahli supaya menerima dan menyokong kerjasama dengan DAP.

“Namun kita berjaya meyakinkan ahli-ahli supaya menerima DAP dalam Pakatan Rakyat, jadi jika Karpal secara masih lagi berdegil dengan mengeluarkan kenyataan tersebut ia secara tidak langsung akan menjejaskan hubungan antara PAS dan DAP.

Saya juga meminta supaya pemimpin-pemimpin PAS dan DAP supaya saling hormat-menghormati jika mahu kerjasama yang terjalin selama ini berkekalan,” katanya.

No comments:

Blog Archive