Monday, June 21, 2010

Kedudukan Tian Chua: Parlimen Tidak Perlu Ikut Campur

Parlimen tidak perlu memutuskan sama ada Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen berikutan denda RM2,000 yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini.

Beliau sebaliknya berkata semua pihak perlu berpegang kepada keputusan Hakim Ghazali Cha bahawa keputusannya mengurangkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 kepada denda RM2,000 adalah bagi mengelak berlakunya pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu yang diwakili Tian Chua.

“Dalam soal Tian Chua, yang berhak untuk mengintepretasi undang-undang ialah hakim. Jadi kepada saya tidak perlu Parlimen memutuskan. Hakim telah memutuskan bahawa dia mendenda Tian Chua RM2,000 kerana dia tidak mahu Tian Chua hilang kelayakan. Kita kena ikut dia (hakim) punya intepretasilah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Umno Bahagian Padang Rengas di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar memberitahu The Malaysian Insider pihaknya menyerahkan kepada Dewan Rakyat untuk menentukan sama ada wujud kekosongan kerusi Parlimen Batu, sekali gus memutuskan sama ada perlu memanggil pilihan raya kecil.

Badan itu menyatakan pendirian ini ketika teka-teki sama ada negara akan menyaksikan pilihan raya kecil ke-12 dan yang pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak Mac 2008 masuk hari ketiga hari ini.

Wan Ahmad berkata, pihaknya hanya boleh menentukan tindakan susulan sama ada perlu mengadakan pilihan raya kecil ataupun sebaliknya selepas menerima notis rasmi daripada Dewan Rakyat.

Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Dewan Rakyat akan menyerahkan kepada SPR dan Jabatan Peguam Negara untuk menentukan status Ahli Parlimen Batu yang kini berhadapann dengan risiko dilucutkan kerusi walaupun dendanya diturunkan kepada RM2,000 .

Wan Junaidi berkata, bagi mengelakkan masalah berkaitan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Dewan Rakyat akan merujuk kes berkenaan kepada SPR untuk diputuskan.Sementara itu Mohamed Nazri berkata cadangan untuk membina bangunan Parlimen baru seperti yang dinyatakan beliau sebelum ini masih dalam peringkat pertimbangan dan semua pihak khususnya Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) boleh mengemukakan pandangan masing-masing berhubung perkara itu.

“Bagilah pandangan...yang sahihnya sememangnya kita tak akan buat bangunan baru yang makan belanja RM800 juta.

“Itu saya rasa ramai di kalangan ahli jemaah menteri tidak bersetuju, Cuma kita bersetuju kalau nak pindah ke PICC (Putrajaya International Convention Centre)... sama ada sementara ataupun terus jadikannya sebagai bangunan Parlimen,” katanya.

No comments:

Blog Archive