Thursday, May 13, 2010

Polis Kesan Banyak wang Mengalir Ke Luar Negara: Musa Hassan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan pada masa ini terdapat banyak kegiatan membawa wang keluar dari negara ini secara haram. Ia dilihat sebagai satu aliran trend jenayah membabitkan kawasan sempadan dan pintu-pintu masuk negara ini yang mampu merosakkan ekonomi negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kegiatan itu adalah sebagai cubaan pihak tertentu ‘membersihkan’ wang mereka hasil dari perniagaan haram seperti pelacuran dan penyeludupan manusia.

‘‘Dalam negara, mereka terlibat dalam macam-macam kegiatan seperti pelacuran, jadi untuk ‘membersihkan’ wang, mereka membawanya keluar.

‘‘Ini melibatkan Akta Pengubahan Wang Haram yang perlu kita awasi kerana ini boleh merosakkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Seri Ibrahim Jaapar selepas mesyuarat kedua peringkat tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan PDRM di sini hari ini.

Menurut Musa, pihak terbabit juga terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia termasuk membawa rakyat asing ke negara ini secara sah tetapi kemudian dieksploitasi untuk membuat kerja haram.

Justeru, beliau berkata, PDRM dan KDRM sepakat mahu meningkatkan kerjasama menangani isu tersebut dengan lebih mantap selain mendapatkan maklumat-maklumat bagi memantau keselamatan negara.

Sementara itu, Ibrahim berkata, kedua-dua agensi tersebut sepakat untuk menumpukan tiga isu utama membabitkan kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan dan pintu-pintu masuk utama negara.

Antara lain, kata beliau, tumpuan kawalan akan dilakukan ke atas tiga lapangan terbang antarabangsa yang berprofil tinggi dari segi penyeludupan dadah.

Katanya, ia melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

‘‘Fokus kepada lapangan terbang itu adalah bagi menentukan kerjasama antara KDRM dan polis dapat menangani penyeludupan dadah yang begitu besar iaitu ketamin dan syabu dari Iran, India dan sebagainya.

‘‘Kastam akan berkongsi pengalaman dengan polis yang mempunyai pengalaman luas bagi memastikan kawalan boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut Ibrahim, tumpuan kawalan di kawasan sempadan juga membabitkan usaha menangani penyeludupan kereta curi yang turut melibatkan kawasan-kawasan pelabuhan.

Selain itu, kata beliau, kawalan juga akan dipertingkatkan untuk menangani isu penyeludupan manusia, wang haram dan barangan lain.

Bagi tujuan tersebut, Ibrahim berkata, kedua-dua agensi itu bersetuju menubuhkan jawatankuasa kerja penyelarasan.

Katanya, ia membabitkan operasi penguatkuasaan, latihan bidang kebersamaan, tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 serta aktiviti sosial dan sukan.

‘‘Kita cuba selaraskan bagaimana masalah itu dapat dibincangkan ke peringkat bawahan bagi dilaksanakan untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

No comments:

Blog Archive