Wednesday, April 07, 2010

Sebenarnya Anwar Itu Bukan Hebat! Umnolah Puncanya Anwar Kelihatan Hebat: Sanusi Junid

WAWANCARA ASAL UNTUK MINGGUAN MALAYSIA SIARAN 4 APRIL, 2010
( Wartawan: Noraini Abdul Razak, Mohd Khuzairi Ismail dan jurugambar Mohd Izham Jaafar )

A. Soalan MM: Pada pandangan Tan Sri adakah Anwar Ibrahim mempunyai kelebihan?
Jawapan SJ: Sebenarnya Anwar adalah manusia biasa yang mempunyai cita-cita terlalu tinggi dan terlalu gopoh dalam mengambil tindakan. Dia tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang perlu dibimbangkan. Tertonjolnya Anwar di masa lampau ialah kerana dia menjadi pilihan Tun Dr. Mahathir, kejayaan Anwar yang sebenarnya, di masa kini, ialah kerana kelemahan dan kegagalan UMNO sendiri. Kegagalan UMNO jugalah yang menyebabkan orang-orang melihat Anwar sebagai jaguh. Sebenarnya dia tidak ada apa pun.

Parti Anwar ( PKR ) mendapat beberapa kerusi dalam pilihanraya 1999 kerana mata Anwar lebam dibelasah oleh Ketua Polis Negara. Tetapi itu bukan kesalahan UMNO. Tan Sri Rahim Nor tidak pun menjadi ahli UMNO. Tetapi orang Melayu tidak tahu hendak salahkan siapa apabila mata lebam itu dijadikan modal pilihanraya. Jika kita lihat di dalam siaran-siaran PKR jelas mata lebam itulah yang ditonjolkan dengan sejelas-jelasnya.

Jika Anwar begitu hebat dan ada kelebihan yang luarbiasa tidak mungkin BN boleh menang dalam pilihanraya tahun 1999 dan menang lebih besar lagi dalam pilihanraya 2004. Kalau tak salah parti Anwar tinggal satu kerusi saja dalam pilihanraya 2004. Ketika itu segala-galanya mengenai Anwar sudah diketahui, tetapi simpati pengundi kerana mata lebam Anwar sudah merosot, walau pun dia dipenjarakan tetapi BN boleh mendapat kemenangan besar.

B. Soalan MM: Bukankah Anwar mempunyai banyak kawan dan penyokong?
Jawapan SJ: Kita tidak dapat menafikan beliau mempunyai banyak kawan lebih-lebih lagi kerana beliau pernah menjadi menteri kewangan Malaysia. Siapapun yang menjadi menteri kewangan banyak kawan.

Yang melonjakkan tahap populariti Anwar adalah berpunca daripada kegagalan pemimpin UMNO selepas pilihanraya umum tahun 2004.

Kejayaan besar pada pilihanraya 2004 menyebabkan pemimpin BN terlalu leka, selesa dan khayal. Kerajaan selepas pilihanraya 2004 membiarkan masalah kecil menjadi besar sehinggakan memberi kesan negatif kepada rakyat dan pengundi.

Saya nampak ada empat perkara yang menyebabkan BN hilang pengaruh dan pembangkang menjadi kuat:

Pertamanya, kegagalan BN menyelesaikan kemelut MCA. Segala masalah dalaman MCA diserahkan kepada pemimpin atasan MCA untu diselesaikan. Kononnya kerana pemimpin UMNO tidak mahu camput tangan dalam urusan MCA, sedangkan MCA itu ialah parti komponen BN dan pucuk pimpinan BN mempunyai kuasa dan turut bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah tersebut, dan bukannya menyerahkan untuk diselesaikan oleh pimpinan MCA sendiri, sedangkan punca masalah ialah dari pemimpin-pemimpin MCA sendiri sehingga MCA, pada waktu itu, sudah lemah dan berkecamuk.

Maka akibatnyaa, orang China yang hilang kepercayaan terhadap MCA mencari alternatif - mereka pergi kepada DAP, dan yang tidak suka kepada DAP pergi pula kepada PKR dan banyak yang turut menyokong PAS sebagai undi protes.

Keduanya, masalah masyarakat India yang diketengahkan oleh Hindraff. Mereka pernah datang kepada kerajaan BN meminta pertolongan untuk menyelesaikan masalah mereka, tetapi kerajaan BN tidak ambil peduli. Oleh kerana Hindraff mewakili masyarakat India maka diserahkan kepada pemimpin tertinggi MIC supaya menyelesaikan masalah tersebut. Tetapi pemimpin MIC tidak mampu menyelesaikannya, malah MIC sendiri menjadi punca kepada masalah yang hendak diselesaikan. Krisis kepimpinan dalaman MIC sememangnya sedang membara di ketika itu. Maka Hindraff mencari alternatif lain iaitu PKR. Walau pun PKR tidak boleh menyelesaikan masalah masyarakat India menyokong PKR hanyalah sekadar menunjukkan perasaan tidak puas hati mereka.

Seterusnya ( yang ketiga ), pelaksanaan dasar-dasar baru seperti Islam Hadhari sungguh membazir masa dan wang, dan mengelirukan. Tanpa Islam Hadhari pun dunia Islam sudah berpecah-belah. Ianya sukar diterima oleh Umat Islam yang mazhab Shafi'e sudah cukup jelas. Duta dari negara-negara Islam ( Saudi Arabia, Pakistan, Bangladesh, Turki, Maldives dan Mesir ) yang menjadi ahli Majlis Universiti Islam Antarangbangsa, yang hadir waktu saya tanyakan mengenai kemungkinan UIA dijadikan pusat menyebaran Islam Hadhari ke seluruh dunia, menjadi tersenyum sinis dan memberi maklum balas, kemudiannya, bahawa negara mereka tidak menyokong ide tersebut. Seorang duta menyatakan kita sudah cukup banyak masalah dalam dunia Islam tanpa ditambah dengan Islam Hadhari.

Saya difahamkan oleh Perdana Menteri di waktu itu bahawa Islam Hadhari disokong oleh George W. Bush, Tony Blair, Perdana Menteri Australia, pemimpin Jepun dan pemimpin barat seperti Jerman. Mengikut dato' saudara saya Almarhum Hafiz Teungku Muhammad Dahan Inderapuri apabila sesuatu ide itu sangat digemari oleh golongan kuffar maka kemungkinan ide itu bersalah.

Dan akhirnya ( yang ke empat ), apabila tiba pilihanraya, pemilihan calon pula tidak mengambil kira kehendak akar umbi. Mengikut kehendak anak menantu. Bukan itu saja, orang-orang lama yang bertanding di satu-satu kawasan langsung tidak dimaklumkan mengenai pemilihan pengganti baru. Ketua-ketua UMNO Bahagian dan pandangan mereka tidak diminta dan tidak dipedulikan.

Bagi orang-orang Melayu, walau apa jua kekurangannya, tetapi sangat sarat dengan budi bahasa; jika tidak dipilih untuk terus menjadi calon pun tidak mengapa asalkan mereka diberitahu terlebih dahulu. Ini tidak. Maka apabila calon yang dipilih tidak dikenali, malah tidak disukai bila dikenali, kita pun kalah dalam pilihanraya.

Kesemuanya itu melemahkan UMNO dan BN.

Pembangkang menang bukan kerana Anwar ada kelebihan dan bukan juga keraka mereka kuat tetapi kerana UMNO dan BN itu yang lemah.

Yang kita perlu tahu ialah Anwar memang telah lama ada kemahiran dan kebolehan berpidato dan beliau juga dulunya, lama dulu, sangat berminat pada ugama. Beliau juga banyak kawan-kawan dari MCKK, Yayasan Anda, PKPIM, ABIM yang berada dalam UMNO, PKR dan PAS. Dalam PAS orang-orang Anwar diberi gelaran kumpulan Erdogan meminjam nama pemimpin Turki yang Anwar berkawan dengannya.

Penonjolannya juga kerana dia pandai memilih untuk menjadi 'man of the moment'. Misalnya, ketika ada tunjuk perasaan, pada tahun 1974 umpamany, dia bukanlah orang yang merancang tunjuk perasaan itu, tetapi dia pandai menonjolkan diri pada saat-saat penting, seperti ketika 'Black Maria' datang untuk mengheret mereka yang terlibat dalam tunjuk perasaan itu. Dia masuk ke dalam 'Black Maria' dan keluar melalui pintu pemandu sedangkan penunjuk perasaan lain tinggal di dalam untuk dibawa ke balai polis Bricksfield. Itu hanya satu contoh di masa lampau sebagai contoh untuk peristiwa-peristiwa kemudiannya.

C. Soalan MM: Pada pandangan Tan Sri mungkinkah pakatan pembangkang akan mencapai cita-cita mereka untuk memerintah negara ini?
Jawapan SJ: Saya tidak percaya mereka akan berjaya. Saya juga tidak percaya parti-parti yang menganggotai pakatan pembangkang itu akan dapat benar-benar berkerjasama jika pun mereka diberi peluang oleh UMNO untuk memerintah negara ini.

Anwar hanya diperalatkan oleh DAP. Lim Kit Siang juga diperalatkan oleh Anwar. Itu namanya kerjasama. Tapi ada batasnya. DAP perlu ada seorang Melayu untuk mengetengahkan agenda mereka. Jika tidak ada Anwar DAP akan cari yang lain, orang yang tidak cerdik pun tidak apa. Saya percaya Anwar pun tahu permainan DAP dan DAP pun tahu permainan Anwar. Tetapi kalau Anwar tidak ada nanti, DAP akan cari juga seorang tokoh Melayu, atau yang mirip Melayu, yang lain kerana DAP tahu mereka saja tidak akan mampu mencapai matlamat dan cita-cita mereka untuk menguasai negara ini.

Saya juga percaya pemimpin-pemimpin PAS juga tidak sayang sangat kepada DAP. Di hati mereka tidak mungkin mereka akan membiarkan negara ini terlepas kepada pimpinan DAP biar pun atas nama pakatan pembangkang. Mereka tentu dapat membezakan serban orang Islam dan serban orang Sikh yang menutup telinga itu. Cumanya, sekarang ini, PAS sepertinya mencuba-cuba, walau pun dengan menyembungi matlamat aslinya, untuk bekerjasama dalam pakatan pembangkang. Hanya satu saja asas yang sama bagi PKR, DAP dan PAS iaitu mereka sama-sama bencikan UMNO. Pemerintahan tidak boleh didirikan atas dasar kebencian. Rapuh sifatnya.

Biar pun Nik Aziz sering bercakap yang baik-baik mengenai DAP saya percaya dan yakin jauh di sudut hati Nik Aziz dia hanya bermuslihat berkerjasama dengan DAP secara strateji saja. Sayangnya kepada DAP hanya kerana meluatnya kepada sesetengah pemimpin UMNO. Takkanlah Dato' Nik Aziz betul-betul sayang pada Lim Kit Siang dan Karpal Singh.

Sebenarnya lebih mudah bagi DAP untuk bekerjasama dengan UMNO daripada bekerjasama dengan PAS.

D. Soalan MM: Tan Sri yakin kerjasama PAS dalam pakatan pembangkang begitu?
Jawapan SJ: Kita mesti ingat bahawa orang Melayu hanya bersatu apabila maruah mereka tercabar. Jangan disentuh mengenai raja-raja Melayu dan ugama Islam.

Orang Melayu bersatu menentang Malayan Union pun kerana orang putih menghina dan menjatuhkan maruah bangsa Melayu kerana hendak turunkan taraf dan martabat raja-raja Melayu. Sebelum rancangn menubuhkan Malayan Union orang putih dengan raja-raja Melayu berkawan baik. Dalam berkawan inilah orang putih menukar raja itu dengan raja yang mereka sukai yang baik dengan mereka. Tetapi apabila taraf raja-raja Melayu hendak diturunkan barulah mereka marah. Itulah sebabnya semua lapisan rakyat Melayu bersatu dengan raja untuk menentang Malayan Union. Kerabat di raja, tok guru dan ulama, cerdik pandai dan profesyenal Melayu, guru-guru, pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat telah bersatu.

Kenapa kita bersatu untuk menentang Malayan Union?

Kerana maruah Melayu tercabar. Melayu dihina.

Pada tahun 1962 PAS mengkafirkan UMNO. Tapi bila berlaku peristiwa 13 Mei, 1969 dan bangsa Melayu dihinakan oleh DAP pihak PAS telah melupakan bahawa UMNO itu pernah mereka kafirkan dan UMNO juga dapat memaafkan PAS yang dulu mengkafirkan mereka.

Saya pernah tanya Ustaz Abu Bakar Hamzah, yang satu masa dulu penjadi Naib Presiden PAS kenapa dia tidak masuk saja menjadi ahli UMNO untuk menyatupadukan orang-orang Melayu dan dia jawab kerana UMNO itu seperti tong najis dan dia tidak mahu memasukinya. Bila PAS setuju masuk menjadi anggota Barisan Nasional saya bertanya lagi padanya mengenai pandangan beliau berkawan dengan UMNO dan berada bersama di dalam BN, dan dia menjawab bahawa dia tidak masuk ke dalam tong najis tetapi hanya berada di tepi tong. Berertilah banyak alasan yang boleh digunakan untuk berkelahi dan banyak juga alasan untuk berkawan jika ingin bersatu.

E. Soalan MM: Jadi Tan Sri yakin Anwar bukan lagi isu dan tidak lagi relevan?
Jawapan SJ: Tergantung kepada UMNO. Yang mempopularkan Anwar ialah UMNO. Bagi saya Anwar bukan isu dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan mengenai Anwar. Cumanya kita terlalu melayan dan memberi ruang kepada Anwar menyebabkan dia berasa dia hebat, dia rasa dia ada kelebihan; sebenarnya tidak pun, Anwar tidak relevan.

F. Soalan MM: Tapi Tan Sri sekarang ini ada trend orang Melayu sendiri mula menghina institusi raja-raja. Misalnya di Perak apabila bekas Menteri Besarnya sendiri merendahkan institusi raja-raja Melayu?
Jawapan SJ: Dalam kes di Perak, Nizar bukan mewakili suaru murni Melayu. Dia anak campuran. Tetapi orang ramai fikir dia Melayu tulin. Bagi orang Melayu menghina sesama sendiri OK. Saya kenal Melayu yang mengkritik rajanya apabila berada sesama Melayu. Raja itu bukan maksum. Tetapi apabila yang bukan Melayu mengkritik raja, secara menghina di khalayak ramai, maka orang Melayu akan tersentuh hati, naik marah dan akan bertindak.

Orang Melayu akan tersentuh hati apabila orang luar atau orang bukan Melayu yang menghina raja-raja Melayu atau ketuanan Melayu.

G. Soalan MM: Pada pandangan Tan Sri adakah cita-citaa pakatan pembangkang untuk menguasai negara ini akan tercapai?
Jawapan SJ: Tidak mungkin. Saya lihat pemimpin-pemimpin pembangkang kini terpaksa mempunyai berbagai wajah.

Di antara sesama pemimpin parti pembangkang pun saya percaya di belakang mereka bercakap berlainan dengan apa yang mereka bercakap bila derdepan. Sebab itulah saya percaya mereka tidak boleh memerintah.

Misalnya DAP secara terang-terangan menolak rancangan penubuhan negara Islam, tentunya di hati kecil pemimpin PAS, yang mahukan negara Islam, tidak mahu pimpinan negara ini terlepas ketangan DAP. Agenda DAP berlainan.

Dalam keadaan sekarang UMNO sepatutnya bergerak untuk menjadi kuat, kerana pakatan pembangkang sebenarnya lemah.

UMNO patut bekerjasama dengan semua NGO termasuk PERKASA lebih-lebih lagi kerana Ibrahim Ali lebih kenal Anwar daripada saya. Mereka sahabat sepenjara.

UMNO bernasib baik kerana DAP menolak 1Malaysia, bermakna cakap-cakap bahawa 1Malaysia adalah jelmaan Malaysian Malaysia telah dapat dipatahkan. Begitu juga dakwaan Anwar 1Malaysia itu berilhamkan one Israel ...

H. Soalan MM: Bagaimana pula pandangan Tan Sri terhadap siri pendedahan yang dibuat oleh wakil rakyat bebas?
Jawapan SJ: Pendedahan-pendedahan wakil rakyat bebas juga memberi gambaran yang jelas mengenai kedudukan pakatan pembangkang yang lemah dan boleh membantu UMNO. Pendedahan ini juga membantu memperjelaskan bahawa sebenarnya pakatan pembangkang bukanlah kuat dan Anwar bukanlah hebat.

Tetapi UMNO harus ingat kerana orang Melayu yang lari dari PKR boleh berpindah keahlian dan sokongan ke PAS dan yang bukan Melayu boleh berpindah ke DAP.

I. Soalan MM: Apakah yang sebenarnya kehendak orang Melayu sekarang ini?
Jawapan SJ: Orang Melayu mahukan pemimpin yang berani. Pemimpin yang dilihat berjuang untuk mereka, terutamanya di kalangan orang-orang muda; sebab itulah mereka suka kepada Anwar yang kelihatan berani.

Anwar kini sedang melengah-lengahkan kesnya di mahkamah dengan harapan akan menjadi Perdana Menteri lepas pilihanraya ke 13 supaya kesnya itu bolehlah dibatalkan. Mungkin usaha yang kelihatan berani menentang mahkamah ini sebenarnya kerana takut kepada keputusan mahkamah. Wallahua'lam.

Tetapi Ibrahim Ali juga berani. Sebab itulah PERKASA mendapat sambutan kerana pemimpinnya dilihat berani dan memperjuangkan hak mereka. Sokongan kepada PERKASA bukan sahaja dari kalangan orang-orang tua dan dewasa malahan ramai sungguh orang-orang muda turut tertarik dan memberi sokongan kepada perjuangan PERKASA, kerana keberaniannya.

J. Soalan MM: Bagaimana untuk membetulkan persepsi di kalangan segelintir rakyat Malaysia kononnya Anwar itu hebat?
Jawapan SJ: Tidak sukar. Perkuatkan UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO hendaklah membuktikan keberanian mereka, secara jujur, untuk memperjuang dan mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera dan jangan takut kepada mereka yang memusuhi hak-hak ini.

No comments:

Blog Archive